Tuesday, June 21, 2011

Wawancara: Mingguan Malaysia

Kemenangan Bush satu pengajaran kepada negara Islam

MUKADIMAH
KEPADA pensyarah di Universiti Malaya, Shakila Parween Yacob apa saja yang berlaku dalam politik dan ekonomi Amerika Syarikat (AS) tidak harus dipandang sepi oleh kita semua.
``Ia sebuah kuasa besar yang dominan dalam semua segi. Apa yang berlaku di sana memberikan kesan kepada kita,'' katanya kepada wartawan Noor Azam Shairi.
Beliau yang berpengalaman 10 tahun mengajar subjek Sejarah Amerika Moden ditemu bual bagi mendapatkan pandangannya tentang pilihan raya Presiden 2004 yang baru lalu.
Dalam wawancara ini, Shakila antara lain mengupas tentang kebangkitan kesedaran agama di kalangan rakyat AS.
MINGGUAN: Adakah keputusan ini memeranjatkan?
SHAKILA: Kemenangan Bush sememangnya sudah dijangka walaupun tidak dapat dinafikan akan berlaku suatu persaingan yang sengit. Trend pengundi hampir sama dengan pilihan raya tahun 2000. Walaupun kali ini Bush menang undi popular sebanyak 51 peratus berbanding kegagalannya pada tahun 2000, ia jelas membayangkan rakyat AS yang masih berbelah bagi. Dengan kelebihan sebagai penyandang, sokongan media serta peluang mengeksploitasikan tragedi 11 September, jumlah ini bukanlah sesuatu yang membanggakan. Dalam penggal kedua pemerintahan Bush harus cuba menyatukan rakyat AS tetapi saya rasa ini adalah sesuatu yang sukar dicapai.

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan John Kerry?
SHAKILA: John Kerry kalah lebih daripada 3.5 juta undi popular. Faktor kekalahan Kerry dapat dilihat dari beberapa segi.
Pertama: Parti Demokrat dilihat sebagai sebuah parti progresif yang memperjuangkan keadilan sosial dan ekonomi yang mewakili kelas pekerja, golongan minoriti dan kelas bawahan. Tetapi Kerry sendiri adalah dari kelas elit. Beliau gagal mendapat kepercayaan kelas ini kerana tiada sebarang usaha dilakukan untuk membentuk polisi yang boleh membantu golongan ini. Beliau terlalu asyik mempertahankan kedudukan dan kepentingan kapitalis AS sama ada di dalam atau luar negara.
Kedua: Kegagalan Kerry dan John Edwards dalam mengeksploitasi isu-isu domestik terutama sekali isu ekonomi yang pada pandangan saya merupakan salah satu isu penting yang menentukan pilihan pengundi. Di Ohio, negeri yang memegang kunci kejayaan pilihan raya kali ini, isu ekonomi menjadi perhatian utama kerana negeri ini telah kehilangan lebih 250,000 pekerjaan semasa pentadbiran Bush.
Seandainya Kerry di saat-saat akhir kempennya mengeksploitasikan isu ekonomi dengan lebih agresif, saya pasti beliau mampu menang. Pihak Demokrat juga gagal mengeksploitasikan kelemahan-kelemahan pentadbiran Bush yang ketara seperti isu kemiskinan, skandal perniagaan, percukaian dan pendidikan.
Ketiga: Kerry terlalu banyak menumpukan perhatian kepada dasar luar AS sedangkan ini merupakan satu area yang kuat bagi Bush dan mempamerkan pendirian flip-flop beliau. Beliau mempunyai banyak ruang lain yang boleh dieksploitasikan yang bukan sahaja selari dengan asas perjuangan parti Demokrat tetapi juga menjadi persoalan utama dalam fikiran pengundi.
Keempat: Faktor yang tidak kurang penting di sini adalah isu gay di mana berbanding sokongan Kerry terhadap golongan ini, Bush berjaya mendapat sokongan golongan anti-gay yang peratusnya sudah tentu lebih besar. Malahan, exit polls menunjukkan 21 peratus daripada pengundi AS menekankan nilai moral sebagai faktor penentu berbanding isu-isu lain.
Faktor moral ini merupakan salah satu punca kegagalan Kerry di Ohio kerana negeri ini mempunyai pegangan budaya dan keagamaan yang hampir sama dengan negeri-negeri di Selatan yang jelas disapu bersih oleh Bush.
Akhir sekali, seperti trend pilihan raya sebelum ini, Kerry sebagai calon yang menentang penyandang lebih banyak mengambil pendirian menekankan kelemahan Bush tanpa menggariskan secara jelas intipati perjuangan beliau dalam kempen-kempennya. Dengan ini, tema perjuangan beliau begitu kabur.
Apakah petunjuk daripada kemenangan Bush itu?
SHAKILA: Bush berjaya mempergunakan faktor ketakutan selepas tragedi 11 September dan mengaitkan perang di Iraq dengan perang menentang keganasan sekali gus menutup kegagalan beliau di Iraq. Di samping isu gay yang disebutkan di atas, Bush juga berjaya menggunakan isu Israel. Sokongan padu beliau kepada Ariel Sharon telah berjaya meraih sokongan golongan Yahudi. Sokongan golongan ini sangat penting bagi Bush memenangi sebuah lagi negeri yang memegang kunci kejayaan pilihan raya 2004, Florida. Di negeri ini juga Bush berjaya meraih sokongan golongan Hispanics dan golongan Kristian evangelical dan seterusnya memenangi peratus undi popular yang agak selesa.
Bush berjaya mempamerkan dirinya sebagai pemimpin yang mampu menerajui AS menghadapi ancaman keganasan walaupun sebenarnya beliau gagal dalam beberapa aspek termasuk pendedahan penyeksaan di Abu Gharib, defisit belanjawan dan kemerosotan ekonomi. Tetapi sebagaimana yang telah saya sebutkan, kemenangan tipis beliau menunjukkan masih ramai rakyat AS yang tidak menyokong Bush.
Banyak pihak yang mengharapkan Bush kalah. Tetapi setidak-tidaknya apakah hikmah daripada kemenangannya itu?
SHAKILA: Ia boleh menjadi suatu pengajaran kepada negara-negara Islam agar bersatu dalam usaha memelihara kepentingan umat Islam. Sekiranya negara-negara Islam terus berpecah ini akan memberi ruang kepada kehancuran yang lebih besar. OIC seharusnya lebih berani dalam memperjuangkan hak negara-negara Islam.
Saya sebenarnya begitu bimbang kerana saya dapat merasakan dasar luar beliau akan membelah bahagikan dunia dan membawa kepada peperangan demi peperangan atas alasan menyebarkan demokrasi dan memerangi keganasan. Saya bimbang Bush akan terus bertindak secara unilateral untuk berperang dengan negara luar walaupun tidak ada bukti-bukti yang kukuh sebagaimana berlaku di Iraq. Dengan ini negara-negara lain yang menjadi sekutunya akan berani bertindak sedemikian dengan alasan memerangi keganasan.
Saya juga sebenarnya melihat kehancuran nilai-nilai demokrasi yang selama ini didukung oleh AS dan termaktub dalam Perlembagaannya. Ini telah pun berlaku dengan lulusnya Akta Patriot 2001 yang jelas melanggar hak-hak sivil rakyat AS.
Ada penganalisis yang menyifatkan kemenangan Bush itu adalah kemenangan kepada nilai-nilai moral. Apakah ertinya pandangan itu?
SHAKILA: Sesetengah pihak akan menganggap kemenangan Bush sebagai kemenangan kepada nilai-nilai moral: nilai kekeluargaan, dan keagamaan yang didukung beliau. Ramai rakyat AS yang melihat beliau sebagai seorang yang kuat prinsip dan pegangan agama Kristiannya.
Pegangan Bush yang mementingkan nilai-nilai kekeluargaan dan dasarnya menentang perkahwinan sesama jantina dan pengguguran merupakan nilai-nilai penting bagi membina kembali keruntuhan moral masyarakat AS.
Tetapi jika dilihat dari sudut yang berbeza ia sesuatu yang membahayakan apabila agama dan politik dicampuradukkan. Pihak Republikan sudah lama membina suatu gerakan fundamentalis agama bagi menggerakkan reaksi sosial dan ketenteraan.
Kita tahu elemen fundamentalis ini ada dalam setiap agama; di AS golongan fundamentalis Kristian mula menjadi satu kuasa yang dominan. Golongan ini tidak akan berfikir dua kali untuk campur tangan dalam proses politik bagi memastikan masyarakat akur dengan world view mereka. Mereka percaya mereka betul dan dengan ini menganggap mereka berhak untuk memaksa pegangan mereka ke atas orang lain dan jika perlu menggunakan paksaan dan kekerasan. Kata mereka: ``Sekiranya anda tidak bersama kami bererti anda menentang kami.''
Ini boleh berlaku bukan sahaja dalam negeri tetapi juga di luar negara disebabkan AS merupakan satu kuasa tunggal yang mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan. Sekiranya fundamentalis agama ini dapat mempengaruhi dasar luar AS maka dunia akan berbelah bahagi: antara the good and the evil atau antara negara-negara bukan Islam dan negara Islam. Sekiranya kita meninjau kembali selepas tragedi 11 September perkataan crusade yang keluar dari mulut Bush membayangkan kecenderungan yang bahaya ini.
Malah dalam kempen pilihan raya 2000 beliau mengisytiharkan dirinya sebagai seorang compassionate conservative yang akan menggunakan kuasa kerajaan bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik dan cara paling terbaik adalah melalui organisasi kebajikan yang selalunya berasaskan gereja. Secara tidak langsung, Bush berjaya membina sokongan golongan ini. Selepas 11 September golongan ini memainkan peranan yang penting. Berlaku satu kesedaran agama di AS di mana rakyatnya yang berada dalam ketakutan mula kembali kepada agama mereka. Golongan ini menjadi penyokong utama Bush dalam pilihan raya 2004. Namun keputusan pilihan raya itu menunjukkan satu jurang keagamaan yang luas di kalangan masyarakat AS dengan negeri-negeri di Pasifik Barat dan New England jelas lebih liberal dan menyokong Demokrat.
Ini sebenarnya yang dibimbangkan kerana kita lihat polisi-polisi Bush yang berasaskan kepercayaan agama (faith-based) ada kecenderungan untuk menyimpang dan menyeleweng dari asas demokrasi yang sebenar serta apa yang diperjuangkan oleh bapa kemerdekaan AS yang menggubal satu perlembagaan sekular sebagaimana termaktub dalam pindaan pertama Perlembagaan AS yang mendukung pengasingan antara agama dan negara.
Terlalu mudah bagi Bush untuk memperkenalkan polisi beliau kerana penguasaan Republikan dalam Kongres. Di samping itu, Bush juga berpeluang melantik ketua hakim mahkamah agung yang baru serta juga beberapa hakim mahkamah agung yang sekarang ini sudah berusia dan besar kemungkinan akan berpencen. Beliau mempunyai peluang untuk memilih mereka yang bersayap kanan yang akan menyokong inisiatif berasaskan agama yang beliau kemukakan itu.
John Kerry dalam ucapannya ketika beliau mengaku kalah berkata, ``tidak peduli siapa yang menang kita semua bangun keesokan harinya sebagai rakyat Amerika.''
Dalam konteks politik Malaysia, apakah yang boleh kita pelajari daripada kenyataan ini?
SHAKILA: Kerry menerima kekalahannya dengan baik. Kenyataan beliau sebenarnya mempamerkan pemikiran pemimpin di negara maju - kalau menang tidak bererti dapat semua, kalau kalah tidak bererti hilang semua. Matlamat terakhir mereka adalah kepentingan rakyat dan negara. Mereka bersikap profesional, tidak bertindak mengikut kepentingan peribadi.
Pemikiran politik di negara maju jauh berbeza daripada negara membangun. Mungkin keadaan dan suasana negara mereka yang menyebabkan mereka bertindak sebegitu. Di Malaysia umpamanya sekiranya seseorang calon kalah beliau akan berdendam dan mencari keburukan calon yang menang bagi menjatuhkan calon tersebut. Sikap tidak profesional ini bukan sahaja mengancam kepentingan parti tetapi juga negara. Dalam pilihan raya baru-baru ini dan sebelum ini, ada pihak yang tidak puas hati dengan kekalahan mereka telah membawa kes mereka ke mahkamah.

No comments: