Friday, June 17, 2011

AS-OIC

AS-OIC: Pemerhati atau pemanipulasi

PRESIDEN George W. Bush mengumumkan pada 27 Jun 2007, Amerika Syarikat (AS) akan memberi mandat seorang Wakil Khas ke Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Peranan Wakil Khas ini adalah untuk memerhati dan mempelajari dari dunia Islam, berkongsi pandangan dan nilai dengan AS.

Berikutan pengumuman tersebut Sada Cumber telah dilantik sebagai Wakil Khas AS pada 3 Mac 2008. Pada masa yang sama, Wakil Khas ini berperanan memudahkan dan meningkatkan hubungan di antara AS dan dunia Islam agar dapat memperoleh sokongan negara-negara ini terhadap polisi dan strategi demi kepentingan AS.

Pentadbiran Bush dengan bijak melantik Cumber sebagai Wakil Khas ke OIC - menggunakan rakyat Muslim AS sebagai jambatan untuk merapatkan hubungan Barat dengan dunia Islam dan sejak pelantikan beliau sehingga kini, Cumber telah pun melawat 24 buah negara.

Sada Cumber, lahir di Karachi, Pakistan pada tahun 1951 telah berhijrah ke AS pada tahun 1978 dan dalam lapan tahun berjaya memperoleh kewarganegaraan AS. Cumber, seorang usahawan dan pelabur yang berpangkalan di negeri kelahiran Bush, Texas, berharap menggunakan latar belakang budayanya yang pelbagai serta kemahiran politik, perniagaan dan sosial beliau untuk menggalakkan kerjasama antara budaya, pembangunan ekonomi antarabangsa dan menganjurkan dialog antara agama dan tamadun.

Faktor Geostrategik

Pada 19 Ogos 2008, Cumber mendesak Brunei supaya mengiktiraf negara majoriti Muslim Kosovo di Balkan. Balkan pernah menjadi proksi kepada konflik AS dan Rusia (yang menyokong Serbia). Sokongan AS bagi satu Kosovo yang merdeka adalah sebahagian daripada strategi lama mengimbangi sokongan Rusia terhadap Serbia.

Begitu juga, tekanan terkini AS ke atas Iran untuk melepaskan program pengayaan uranium dan pembangunan nuklear adalah untuk menyekat pengaruh Rusia rantau tersebut yang sebelum ini telah pun kehilangan Afghanistan kepada AS pasca 11 September.

Kedua-dua negara Iran dan Afghanistan menyediakan 'pintu masuk' ke Lautan Hindi yang menjadi hab komunikasi di antara Selat Melaka dan Lautan Pasifik. Kedua- dua jalan laut ini mewakili saluran komunikasi strategik dan bekalan (terutama sekali minyak) bagi AS. Pihak AS mengekalkan angkatan laut di Lautan Hindi bagi mempertahankan kepentingannya di negara-negara Telok dan Asia Barat.

Asia Tengah merupakan satu lagi rantau strategik bagi AS untuk digunakan sebagai 'zon penampan' terhadap Rusia terutama merujuk Asia Barat - tempat tumpuan pengeluaran minyak dunia. Juga Asia Tengah dapat digunakan untuk membuka satu 'barisan/laluan kedua' menentang Rusia dengan Eropah Timur ( kini Eropah Baru) menjadi 'barisan/laluan pertama'.

Ini merupakan satu encircling strategy NATO. Ini bererti dari segi geografi dua sahabat Rusia, Serbia dan Iran, akan terpinggir atau terpencil.

Jelas, faktor geostrategik menjadi perangsang bagi AS untuk berada 'di dalam' OIC bertujuan mempengaruhi organisasi tersebut dan menekan mana-mana negara ahli yang 'degil' serta enggan tunduk kepada kehendak dan kepentingan AS. Kombinasi strategi 'lembut' melalui OIC dan strategi 'keras' melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan terus mengekalkan AS sebagai kuasa tunggal dunia.

Diplomasi Minyak

AS juga berkeinginan meningkatkan pengaruh melalui 'suaranya' di OIC dan melentur pandangan dan polisi yang mendokong kepentingannya. Sama seperti tekanan AS semasa krisis minyak/tenaga yang berlaku hasil Perang Yom Kippur 1973, kini AS cuba menggunakan platform OIC bagi mendesak OIC meningkatkan pengeluaran minyak dalam usaha mengurangkan harga minyak.

AS juga maklum sebuah Rusia di bawah Putin yang ingin menghidupkan semula era kegemilangan USSR dan Empayar Tsar akan sekali lagi cuba mengembangkan sayap dan pengaruhnya ke Asia Tengah.

Persaingan ideologi yang menjadi teras perang dingin lama kini digantikan dengan politik minyak dimana AS sudah tentu ingin mengekalkan pengaruhnya melalui diplomasi minyak yang di ganggu gugat oleh Iran yang merupakan sahabat lama Rusia dan China. Iran satu-satunya negara yang mengganggu strategi minyak AS memandangkan kedudukannya di tengah-tengah Iraq dan Afghanistan yang berada di bawah jagaan AS.

Faktor penting kenapa AS ingin berada 'di dalam' OIC adalah untuk mengimbang tara status pemerhati Rusia. Perdana Menteri Valdimir Putin telah pun lama berbaik dengan OIC. Negara-negara Trans-Caucasian dan Komanwel Negara-negara Merdeka seperti Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, dan Uzbekistan adalah negara-negara majoriti Muslim yang mewakili kepentingan geo- strategik AS.

Adalah tidak menghairankan AS mahu Afghanistan mengadakan jalinan dengan negara-negara ini melalui saluran paip minyak. Pangkalan udara AS di Kyrgystan, sebagai negara alternatif, dikekalkan bertujuan melancarkan serangan menentang Taliban dan Al-Qaeda.

Kewujudan satu Afghanistan yang stabil tidak akan menyumbang kepada faedah jangka panjang AS. Ini kerana ancaman berterusan pihak Taliban dan Al-Qaeda di Afghanistan menyediakan satu lifeline dan justifikasi bagi AS untuk terus mengekalkan kehadiran tentera AS dan juga NATO di kawasan-kawasan tertentu di Asia Tengah sekali gus menyekat dominasi Rusia.

Diplomasi 'Muslim-Friendly' AS

Dengan ini, AS ingin menjadi 'sahabat' OIC (sebagai satu diplomasi 'Muslim- friendly') untuk memperkukuhkan status kuasa tunggalnya dan memanipulasikan arah OIC bagi menyempurnakan strategi geo-politik dan minyak (bersaing dengan Rusia) AS. Dengan itu, AS ingin melonjakkan imejnya di dunia Muslim yang telah lama menderita dibawah 'taklukan' AS di Iraq dan Afghanisatan.

Satu pendekatan 'Muslim-friendly' di rantau Asia Tenggara juga kelihatan baru-baru ini. Kehadiran Duta AS ke Filipina, Kristie Kenney, dalam majlis ratifikasi memorandum persetujuan (kemudiannya dibatalkan) yang cuba mewujudkan satu Bangsamoro Juridical Entity (BJE) di Kuala Lumpur pada 5 Ogos 2008 telah menimbulkan pelbagai persoalan merujuk motif AS.

Adakah AS cuba mengadakan satu propaganda coup dalam usaha menonjolkan imejnya sebagai penyokong perjuangan pemisah Muslim untuk mendapatkan autonomi dari sebuah kerajaan majoriti Kristian Filipina?

Kesimpulannya, jelas AS mempunyai agenda serampang 'banyak mata' untuk berada 'di dalam' OIC atas nama pemerhati. OIC harus berhati-hati supaya terus dapat mengekalkan kebebasan pertubuhan itu, melawan kebijakan pentadbiran AS, demi kebajikan dan kepentingan negara-negara ahlinya di seluruh dunia.

No comments: