Hak tahanan Guantanamo
SEKALI lagi pentadbiran George W. Bush enggan mengakui kedaulatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila Washington menolak sama sekali laporan badan dunia itu yang disediakan oleh lima pakar hak asasi manusia.
Laporan berkisar mengenai layanan yang diberikan kepada para tahanan di Teluk Guantanamo, Cuba yang ditahan tanpa dakwaan dan sebarang ruang perbicaraan.
Alasan yang diberikan adalah ahli panel tersebut enggan melawat pusat tahanan terbabit untuk mendapat gambaran sebenar keadaan di situ.
Keengganan ini adalah kerana mereka tidak diberi peluang untuk menemu duga tahanan-tahanan di sana.
Jelas di sini bahawa polisi pentadbiran Bush tidak mempedulikan undang-undang serta melanggar hak asasi manusia seperti disebut dalam Akta Hak (Bill of Rights) yang tercatat dalam perlembagaan Amerika Syarikat (AS) sendiri.
Ini jelas boleh memusnahkan reputasi AS sebagai pejuang demokrasi dan menimbulkan persoalan mengenai ketelusan negara tersebut dalam misi demokrasinya di Afghanistan dan juga Asia Barat.
Pentadbiran Bush, sebagaimana yang ditekankan oleh Setiausaha Pertahanannya Donald Rumsfeld, menolak dakwaan bahawa tahanan Guantanamo (iaitu seramai 490 tahanan yang didakwa pengganas) telah dinafikan hak mereka, diseksa, dianiaya dan didera serta dikenakan lain-lain tindakan salah laku.
Pada masa ini bukan sahaja PBB yang mahukan pusat tahanan Guantanamo berkenaan ditutup kerana `pelbagai perkara hitam' dicatatkan di situ, malahan di kalangan pemimpin di AS sendiri seperti Senator Joseph Biden pernah menyuarakan perkara sama.
Dan terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kapasiti sebagai Pengerusi Persidangan Islam Antarabangsa (OIC) dan Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) membuat kenyataan bahawa kem tahanan di Teluk Guantanamo itu wajar ditutup sahaja.
Sebelum ini, bahkan sebaik sahaja ia dibuka, bukan tiada pihak yang mahu pusat tahanan itu ditutup. Desakan supaya ia ditutup pernah bergema kuat sebelum ini apabila berlaku insiden askar AS menganiayai para tahanan Iraq di penjara Abu Ghraib.
Gesaan penutupan pusat tahanan di Teluk Guantanamo kembali berbunyi lantang apabila televisyen Australia menyiarkan semula imej-imej kekejaman tentera AS terhadap tahanan-tahanan Iraq baru-baru ini.
Rata-rata menyamakan bahawa kekejaman askar AS itu sama sahaja baik di penjara Abu Ghraib mahupun di pusat tahanan Teluk Guantanamo.
Namun apa yang menjadi persoalan bukan semata-mata isu layanan terhadap tahanan tetapi kewujudan pusat tahanan itu sendiri di Teluk Guantanamo.
Teluk Guantanamo telah diperoleh oleh AS melalui Perang Amerika-Sepanyol pada tahun 1898 setelah berjaya mengalahkan Sepanyol yang menjajah Cuba.
AS telah mendirikan pangkalan tenteranya di Teluk berkenaan dan melalui beberapa siri perjanjian dengan Cuba, AS terus menguasainya sehingga kini.
Ia menjadi satu-satunya pangkalan tentera negara kuasa besar itu di sebuah negara komunis.
Pusat tahanan berkenaan telah didirikan pada tahun 2001 selepas peristiwa 11 September bagi menempatkan mereka yang ditangkap semasa dan selepas perang di Afghanistan.
Malah individu dari negara lain juga ditahan di pusat ini sekiranya AS mengesyaki mereka boleh mengancam keselamatan.
Tujuan pusat tahanan ini dibina di Teluk Guantanamo adalah bagi mengelak daripada penguatkuasaan undang-undang antarabangsa mahupun undang-undang AS sendiri.
Ini bermakna AS boleh melakukan sesuka hati mereka terhadap tahanan-tahanan di pusat ini tanpa diberikan ruang undang-undang seperti hak mendapatkan peguam, mengemukakan bukti dan perbicaraan oleh hakim yang berkecuali.
Penglibatan
Penguatkuasaan undang-undang sebegini sudah tentu akan menghalang tujuan utama tahanan ini dipenjarakan.
Apakah tujuan sebenar tahanan ini dipenjarakan? Mereka ini bukanlah ditahan kerana tindakan dan penglibatan mereka dalam perang di Afghanistan semata-mata.
Malahan bukan untuk menghalang mereka terlibat sekali lagi dalam aktiviti pengganas tetapi paling utama adalah mereka ini dianggap oleh AS sebagai aset perisikan yang boleh mendedahkan maklumat sulit mengenai operasi Al-Qaeda, Taliban dan lain-lain markas pengganas di seluruh dunia.
Tetapi setelah lima tahun berlalu adakah maklumat yang diperoleh dari tahanan ini masih relevan?
Penahanan sebegini sebagaimana yang telah dijelaskan dalam laporan PBB jelas melanggar Konvensyen Geneva.
Keengganan Washington memberi layanan serta hak undang-undang kepada tahanan Guantanamo dan seterusnya menutup pusat tahanan ini walaupun didesak oleh pelbagai pihak (juga sekutunya Britain walaupun pendirian Perdana Menteri, Tony Blair terhadap isu ini agak kabur) menjadi duri dalam daging dalam kempen antikeganasan pentadbiran Bush.
Ini kerana isu tahanan Guantanamo jelas menggugat usaha AS memperbaiki dan meningkatkan pengaruhnya di dunia Islam.
Sekiranya AS ingin memulihkan kedudukannya sebagai pejuang demokrasi maka Washington harus akur dengan cadangan PBB untuk menutup pusat tahanan Guantanamo dan seterusnya mengadili serta membebaskan tahanan yang tidak bersalah.
Seandainya tindakan sebegini dilakukan oleh mana-mana negara membangun sudah pasti pemerintah negara berkenaan akan dilabelkan oleh AS sebagai kejam dan zalim.
Adakah pentadbir AS lupa akan kempen mereka mengutuk kekejaman rejim Khmer Rouge pada pertengahan hingga akhir 1970-an di Kemboja?
Sebagaimana Augusto Pinochet di Chile yang dibicarakan atas salah laku hak asasi manusia, adakah Bush juga dalam 20 tahun akan datang bakal dibicarakan atas salah laku tahanan Guantanamo?
Masa boleh menentukan nasib Bush itu.
- DR. SHAKILA PARVEEN YACOB ialah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM)
No comments:
Post a Comment