Tuesday, June 21, 2011

Obama dan Perkauman di AS

Obama harungi prejudis perkauman AS



PILIHAN raya ‘primary’ pertama di New Hampshire semalam menjadi tumpuan dunia setelah kaukus yang pertama di Iowa menjadi petanda bermulanya pemilihan calon Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi Parti Demokrat dan Republikan dalam pilihan raya AS November nanti.
New Hampshire salah sebuah daripada kelompok negeri yang membentuk New England, di Pantai Timur AS merupakan negeri yang progresif dalam sudut pandang politik AS. Timbul persoalan mengenai kedudukan Senator Barrack Obama di New Hampshire selepas berjaya memenangi hati rakyat kulit putih yang membentuk 94 peratus daripada penduduk Iowa.
Obama besar kemungkinan tidak akan menghadapi masalah di New Hampshire serta kedudukan beliau lebih selamat dalam pertandingan di negeri-negeri New England ini. Tetapi mampukah beliau menghadapi negeri-negeri di selatan yang konservatif, penuh prejudis dan mudah dipesongkan oleh pegangan neokonservatif, fundamentalis agama yang membayangi White House hari ini. Ia merupakan satu cabaran besar buat Obama.
Obama dengan ini perlu berusaha dua kali ganda dalam kempen pilihan raya ke arah menentukan kejayaan beliau sebagai calon Parti Demokrat dalam perlumbaan menguasai White House November nanti. Adalah sesuatu yang menggalakkan seandainya seorang calon campuran Afrika-Amerika dan kulit putih menjadi Presiden di negara kuasa besar tersebut.
Adakah latar belakang keturunan beliau menjadi satu kekuatan bagi pencalonannya atau kekurangan yang akan membawa kepada keciciran beliau dalam pertandingan pemilihan calon Presiden bagi Parti Demokrat?
Latar belakang keturunan Obama, bagi sesetengah pihak, dilihat sebagai manifestasi kepelbagaian yang wujud di negara tersebut. Wujud kemungkinan di mana Obama akan berjaya menarik perhatian rakyat AS yang ingin mempamerkan kepelbagaian masyarakat sebagai ciri kekuatan negara kuasa besar tersebut. Pihak ini melihat pencalonan Obama yang mempamerkan kepelbagaian sebagai satu calon ‘global’ bagi satu era global.
Obama dilihat sebagai calon yang berpotensi mengembalikan maruah AS di kalangan negara dunia yang musnah akibat dasar-dasar pentadbiran Bush selama ini. Bagi pihak ini, beliau tidak dilihat sebagai mewakili rakyat AS yang begitu jauh ‘berbeza’ berbanding rakyat Afrika-Amerika atau Latin.
Tetapi tidak kurang juga yang berpendapat Obama mewakili rakyat Afrika-Amerika (walaupun beliau sebenarnya kurang mendapat sokongan rakyat AS keturunan Afrika) tanpa mengambil kira faktor keturunan kulit dan melihat pencalonan beliau sebagai satu usaha menjadi Presiden kulit hitam yang pertama di AS.
Walaupun keturunan Obama sebagai rakyat Afrika-Amerika belum menjadi isu kempen pilihan raya, ramai berpendapat perkara ini akan menjadi faktor utama kepada kekalahan beliau. Ini jelas apabila kita mengambil kira titik hitam amalan perhambaan dan prejudis kulit hitam-kulit putih yang sentiasa melanda sejarah politik AS sehingga membawa kepada gerakan sivil besar-besaran menuntut perubahan nasib mereka pada tahun 1960-an.
Obama senator muda dari Illinois berusia 46 tahun ini naik dengan begitu cepat sebagai alternatif kepada pencalonan Demokrat berbanding Senator Hillary Rodham Clinton yang telah lama mengatur strategi bagi pencalonan Presiden Demokrat 2008. Sejak pilihan raya Presiden 2004 lagi, nama beliau diuar-uarkan sebagai calon Parti Demokrat.
Hillary Clinton menghadapi satu tamparan hebat apabila kalah dengan John Edwards di Iowa walaupun telah bertungkus-lumus berkempen di negeri kecil itu. Apakah masalah Hillary? Pertama, beliau membawa bersama beban sewaktu menjadi wanita pertama sepanjang Presidens Bill Clinton di White House (1993-2001). Beliau sentiasa dibayangi oleh pegangan Clinton semasa menjadi Presiden dahulu.
Pencalonan Hillary dipercayai akan menggugat kedudukan Parti Demokrat untuk merebut White House kerana ia berupaya membawa kepada peralihan undi kepada calon Republikan.
Kedua, Hillary semasa di Senat telah menyokong serangan ke atas Iraq, dan ketiga, Hillary tidak popular di kalangan generasi muda tetapi hanya meraih sokongan golongan tua.
Di samping itu, seperti Obama, Hillary Clinton juga menghadapi prejudis gender yang begitu mencabar kerana AS merupakan sebuah negara yang hebat mengamalkan diskriminasi wanita berbanding dengan dunia Barat lain. Walaupun wujud pelbagai retorik mengenai persamaan gender, jelas negara AS jauh ketinggalan dalam penerimaan persamaan hak bagi wanita berbanding negara Eropah lain.
Tanggal 5 Februari 2008 atau lebih dikenali sebagai Super Tuesday lebih menarik diberikan tumpuan kerana pada hari itu perwakilan daripada 20 buah negeri akan ditentukan termasuklah New York, California dan Illinois. Mampukah Obama mengekalkan kedudukan beliau dalam persaingan paling sengit sejarah pilihan raya AS? Sekiranya Obama berjaya menangkis prejudis perkauman yang telah lama mewarnai sejarah politik AS, maka, tercapailah ‘impian’ beliau untuk menyatukan AS yang berpecah (a divided America) mengikut pelbagai pembahagian termasuk warna kulit!
* DR. SHAKILA YACOB ialah Prof. Madya Sejarah Perniagaan dan Timbalan Pengarah Institut Antarabangsa Pengurusan dan Dasar Awam (INPUMA), Universiti Malaya.

No comments: