Pentadbiran satu tahun Obama mula dilanda krisis
Kekalahan dramatik pihak Demokrat dalam pertandingan kerusi Senat di Masachusetts pada 19 Januari 2010, sehari sebelum ulang tahun pertama pelantikan Obama, menjadi petanda kepada tsunami politik yang bakal melanda pentadbiran Obama dan kepimpinan Demokrat di Kongres.
Kerusi senat yang dikosongkan akibat kematian Senator Edward Kennedy pada Ogos lalu gagal diisi oleh calon Demokrat, Martha Oakley yang kalah (47.1 peratus) dengan calon Republikan, Scott Brown (51.9 peratus).
Setelah mewarisi peperangan di dua buah negara, krisis kewangan yang besar dan hutang negara yang tinggi, pentadbiran Obama masih gagal menarik Amerika Syarikat (AS) keluar daripada pelbagai permasalahan yang melanda.
Masalah ekonomi, hutang negara, reformasi sistem penjagaan kesihatan dan peningkatan penglibatan AS di Afghanistan merupakan isu-isu penting yang cuba ditangani oleh pentadbiran Obama setahun yang lalu tetapi masih belum memperlihatkan sebarang pembaikan atau kejayaan.
Seperti kebiasaannya dalam sejarah AS, masalah ekonomi menjadi tumpuan rakyat AS dan menjadi kayu pengukur sokongan rakyat AS terhadap kepimpinan seseorang presiden. Begitu jugalah dengan kepimpinan Obama.
Ekonomi yang masih lemah akibat daripada letupan gelembung kewangan dan perumahan, bersamaan dengan hutang negara yang melonjak tinggi serta kadar pengangguran yang kekal pada tahap 10 peratus menyebabkan kebanyakan pelaburan dan sumber kewangan berpindah ke timur terutama ke China.
Berikutan itu, populariti Obama menurun dengan mendadak. Mengikut undian yang dijalankan oleh Washington Post dan ABC News, hanya 58 peratus rakyat AS yang menyokong kepimpinan Obama berbanding 79 peratus pada tahun lalu.
Baru-baru ini, data pengangguran AS telah diumumkan dan ramai yang terkejut melihat kadar pengangguran masih berada pada tahap 10 peratus walaupun pada penghujung tahun 2009, ramai yang meramal kadar pengangguran akan menurun kepada 7.5 peratus.
Strategi dan polisi pemulihan ekonomi Obama gagal meninggalkan impak yang diingini. Ini kerana keruntuhan kewangan yang berlaku pada tahun 2008 sebenarnya jauh lebih buruk impaknya ke atas perniagaan dan juga rakyat AS berbanding dengan apa yang dijangkakan.
Ada pihak yang mendakwa pakej stimulus sebanyak RM3.4 trilion (AS$1 trilion) yang dipohon oleh pentadbiran Obama dan pihak Kongres hanya meluluskan RM2,040 bilion (AS$600 bilion) untuk memulihkan ekonomi AS. Ia sudah tentu tidak mencukupi untuk menghidupkan kembali ekonomi AS yang memerlukan sekurang-kurangnya RM6.8 trilion (AS$2 trilion)!
Ramai juga sebaliknya mendakwa perancangan dan perbelanjaan pakej stimulus itu tidak kena pada tempatnya dan penambahannya hanya akan meningkatkan hutang kerajaan dan perbelanjaan kerajaan yang sudahpun terlalu tinggi.
Dengan ini, ia gagal menghidupkan kembali ekonomi AS. Begitu juga, campur tangan kerajaan yang semakin meningkat dalam ekonomi dan peningkatan cukai pada masa depan membimbangkan komuniti peniaga AS.
Di samping itu, reformasi sistem kesihatan yang cuba diperkenalkan oleh pentadbiran Obama masih diperdebatkan oleh pihak Kongres. Rakyat AS juga berbelah bahagi mengenai polisi baru ini.
Maka, keinginan pentadbiran Obama untuk segera memperkenalkan sistem kesihatan yang baharu ini pasti akan melalui pelbagai halangan. Apa yang dijanjikan dan diusahakan oleh pentadbiran Obama dari segi ekonomi dan juga sistem kesihatan masih lagi tidak dapat diperkotakan.
Kesemua permasalahan ini terutama sekali merujuk ekonomi menjadikan rakyat AS resah dan mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Obama. Rakyat AS mula memikirkan kembali sama ada kewujudan majoriti daripada pihak Demokrat di Kongres (kedua- dua Dewan Senat dan Dewan Perwakilan) merupakan sesuatu yang baik untuk mereka.
Keresahan ini terpamer di Massachusetts apabila seorang calon yang kurang dikenali seperti Brown dipilih sebagai senator untuk mewakili Massachusetts berbanding mantan Senator Edward Kennedy, seorang ikon liberal, yang sangat popular di AS mahupun peringkat antarabangsa.
Malahan, Massachusetts merupakan negeri 'biru' yang sentiasa bersifat liberal serta merupakan pendokong Demokrat yang setia. Dan lagi, tiada seorang pun ahli Republikan dalam Dewan Perwakilan untuk negeri Massachusetts.
Brown akan menjadi ahli Republikan yang ke-41 dalam Senat dan sekali gus memecahkan 60 undi majoriti yang dipegang oleh pihak Demokrat sebelum ini. Dengan ini, pihak minoriti mempunyai undi yang memadai untuk menghalang atau menyekat kelulusan sebarang perundangan baru.
Ini juga bererti pihak Demokrat akan menghadapi cabaran yang besar bagi mengekalkan pegangan majoriti mereka dalam Dewan Senat dan Perwakilan yang dinikmati mereka sejak 40 tahun yang lalu.
Para strategis Demokrat yang bimbang akan kedudukan pihak Demokrat dalam pilihan raya akan datang mahu pentadbiran Obama menumpukan perhatian kepada ekonomi terutama sekali dalam aspek penyediaan peluang pekerjaan untuk rakyat AS bagi menyelamatkan keadaan dan bukan kepada polisi penjagaan kesihatan.
Seandainya kadar pengangguran meningkat lebih 10 peratus pada masa akan datang, maka sudah tentu populariti Obama akan terus menurun dan sekali gus kedudukan pihak Demokrat akan tercabar dalam pilihan raya Kongres pada November 2010.
Maka, Obama harus bertindak bijak demi memastikan polisi dan strategi pembaharuan beliau menyediakan alternatif yang seimbang atau berkecuali iaitu dapat diterima oleh kedua-dua pihak kiri dan kanan di AS.
Prof Madya Dr. Shakila Yacob ialah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya yang kini bercuti sabatikal di Louisiana State University, Baton Rouge, Louisiana.
No comments:
Post a Comment