Gerakan anti-Islam kian kuat
ISLAMOFOBIA yang semakin bersemarak di Amerika Syarikat (AS) pasca 11 September baru-baru ini dirangsang oleh usaha pembinaan sebuah pusat Islam di bandar raya New York berdekatan dengan tapak serangan 11 September 2001.
Wujudnya prejudis terhadap agama Islam dan orang Muslim ini diapi-apikan oleh pihak pelampau politik dan agama yang bebas menyuarakan pandangan mereka dalam satu sistem demokrasi di AS.
Sifat prejudis ini sebenarnya tidak mencerminkan sikap majoriti pentadbir dan masyarakat AS amnya. Yang paling penting adalah reaksi dan tindakan umat Islam menangani gerakan Islamofobia ini.
Di AS, faktor utama yang menyemarakkan atau merangsang sifat prejudis dan semangat anti-Islam adalah pilihan raya Kongres yang bakal berlangsung pada 2 November ini. Sebanyak 36 kerusi Senat dan kesemua 434 kerusi Dewan Perwakilan akan dipertandingkan.
Dengan ini, pihak Republikan dalam usaha mendapat sokongan rakyat AS untuk menguasai Kongres telah membahas dan mempersoalkan segala tindakan dan polisi yang dilaksanakan oleh pentadbiran Presiden Barack Obama dalam kempen pilihan raya mereka. Segala janji Obama dalam pilihan raya umum 2008 dipersoalkan.
Kegagalan pentadbiran Obama mengatasi masalah ekonomi negara sejak pelantikan beliau hampir dua tahun lalu menyediakan peluang kepada pihak Republikan untuk meraih sokongan rakyat AS.
Pengangguran masih berada pada tahap 10 peratus. Kemelesetan populariti Obama kebelakangan ini juga tidak membantu.
Obama mula dilihat sebagai Presiden yang memecahbelahkan rakyat AS. Anehnya ramai yang masih belum mengenali beliau dan ini terbukti dalam tinjauan Pew yang mana seramai 18 peratus rakyat AS masih menggangap beliau sebagai seorang Muslim dan satu tinjauan lain menunjukkan 24 peratus rakyat AS percaya beliau tidak dilahirkan di AS.
Malahan Obama baru-baru ini melahirkan kebimbangan bahawa rakyat AS akan lupa segala pencapaian beliau selama ini dari segi reformasi pendidikan, kesihatan dan kejayaan beliau menyelamatkan industri automobil AS contohnya.
Mereka lupa beliau mewarisi kemelesetan ekonomi negara hasil pentadbiran George W. Bush yang meninggalkan hutang negara yang besar dan dua peperangan, dan dengan ini rakyat AS akan memberikan kuasa kembali kepada pihak Republikan yang sebelum ini telah mewujudkan keadaan tersebut.
Apabila pentadbiran Obama, atas dasar kebebasan beragama sebagaimana termaktub dalam pindaan perlembagaan AS yang pertama, menyokong idea pembinaan pusat Islam di bandar raya New York berdekatan dengan tapak serangan 11 September, maka tindakan ini telah hangat diperdebatkan, terutama oleh pihak Republikan dalam kempen pilihan raya mereka.
Tentangan hebat yang datang daripada ahli politik Republikan sudah tentu memberi lampu hijau kepada golongan Kristian sayap kanan di AS untuk bangun menentang dan melancarkan protes terhadap usaha pembinaan pusat Islam tersebut.
Sempena menyambut ulang tahun ke-9 serangan September 11, 2001 terdapat satu kumpulan fundamentalis Kristian sayap kanan sebuah gereja di Florida di bawah pimpinan Terry Jones yang mengambil langkah untuk menghukum masyarakat Muslim dengan melancarkan Hari Pembakaran al-Quran Sedunia.
Ini sudah tentu menimbulkan kemarahan masyarakat Muslim dan akan ada golongan ekstremis politik dan agama yang akan mengambil kesempatan menjalankan satu siri tindakan keganasan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Malahan, Jeneral Petraeus, komander tentera AS, telah memberi amaran kepada Terry Jones bahawa tindakan membakar al-Quran akan membawa kepada kematian lebih ramai askar AS yang berada di Afghanistan.
Protes dan bantahan yang bersifat agresif dan ganas juga akan berlangsung sebagaimana yang kita lihat dalam kes surat khabar Denmark yang menerbitkan kartun mencemuh Nabi Muhammad SAW pada tahun 2005.
Tindakan dan serangan ganas serta protes yang melampau ini mempamerkan ciri-ciri yang tidak bertamadun dan sama sekali ditegah oleh agama Islam itu sendiri.
Inilah bentuk tindakan yang diinginkan oleh kumpulan pelampau agama dan politik tersebut bagi membuktikan pandangan anti-Islam dan sifat prejudis mereka terhadap agama Islam dan masyarakat Muslim itu sendiri.
Tindak balas masyarakat Muslim sedunia hasil perkembangan semangat Islamophobia ini amat penting kerana segala tindakan itu akan mencerminkan agama Islam dan sikap masyarakat Muslim itu sendiri.
Setakat ini segala usaha yang dijalankan oleh pelbagai pertubuhan Islam di AS amat bertepatan dan bersifat aman serta rasional. Maka, perlu ada perpaduan dan tindakan serta kaedah paling berkesan daripada masyarakat Muslim sedunia bagi menangani fenomena Islamophobia ini daripada bertukar menjadi sokongan minoriti kepada majoriti masyarakat bukan Islam dunia.
Prof. Madya Dr. Shakila Yacob
Jabatan Sejarah Fakulti Sastera
dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
No comments:
Post a Comment