Thursday, June 09, 2011

'Hubungan baru' AS dan dunia Islam


'Pulang kampung nih!' Ia antara kata-kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama yang menarik perhatian audiens sebelum memulakan ucapannya di Universitas Indonesia di Jakarta, Indonesia baru-baru ini. Ramai yang menjangka lawatan ini memandangkan Obama mempunyai sejarah kehidupan kanak-kanak selama empat tahun di negara itu. Lawatan Obama ke Indonesia sudah tentu mempunyai objektif yang jauh lebih penting.

Pentadbiran Obama memilih Indonesia sebagai pentas (platform) kedua selepas Kaherah, Mesir untuk mendampingi negara Islam. Di Kaherah, Obama cuba mencari satu 'permulaan baru' dalam hubungan AS dengan dunia Islam. Dalam ucapan tersebut, beliau berjanji untuk bergerak lebih jauh dari isu keganasan dan keselamatan dan cuba mencari isu-isu kepentingan bersama yang dapat memupuk satu ikatan yang baik antara negara AS dan penduduk Muslim dunia seramai 1.57 bilion itu. Obama menekankan perkaitan antara pembangunan, demokrasi dan kepercayaan agama dan menganjurkan Indonesia sebagai salah satu contoh baik bagi negara Islam lain di dunia.

Dalam ucapan itu juga, Obama mengatakan negara AS akan sentiasa menyokong kebebasan dan demokrasi serta hak rakyat untuk mentadbir dan membentuk kerajaan mereka sendiri. Obama menekankan kejayaan Indonesia dalam membina satu sistem demokrasi yang kukuh melalui mekanisme timbang dan tara (checks and balances) yang baik, masyarakat madani yang dinamik, parti politik dan kesatuan sekerja, media yang berkembang baik, manakala rakyat yang peka akan memastikan kesinambungan sistem demokrasi di Indonesia.

Sama seperti di Kaherah, ucapan Obama di Indonesia bertujuan menunjukkan negara AS di bawah pentadbirannya sedang cuba sedaya upaya untuk mendapatkan kerjasama negara Islam sederhana di dunia Islam. Usaha ini selaras dengan agenda ataupun strategi mendampingi dunia Islam yang juga sebahagian daripada diplomasi 'lembut' Obama di mana negara-negara seperti Indonesia dan juga Malaysia ibarat jambatan yang menghubungkan, sekali gus merentasi batasan Timur-Barat yang wujud selama ini.

Pada masa yang sama, Obama cuba menutup kegagalan AS menangani permasalahan di Palestin yang jelas tidak ada sebarang kemajuan ke arah proses perdamaian yang diusahakan oleh pentadbirannya selama ini.

Justeru, berbanding dengan Bush, adalah jelas pentadbiran Obama lebih sensitif dengan persepsi dan pandangan dunia Islam terhadap AS. Dalam kata lain, ia merupakan satu usaha 'perhubungan awam' di peringkat antarabangsa dengan fokus yang menjurus kepada dunia Islam.

AS cuba menjalin hubungan baik dengan negara-negara Islam sederhana dan dalam kalangan negara-negara itu, Indonesia, Turki dan Mesir merupakan tiga negara utama yang menarik perhatian kerajaan AS untuk memperbaiki imej AS di mata dunia Islam.

Kepentingan negara Indonesia bukan sahaja disebabkan saiz penduduk Islamnya, tetapi juga kedudukan geopolitiknya yang strategik.

Turki pula kerana keahliannya yang lama di dalam perikatan tentera NATO (North Atlantic Treaty Organisation) iaitu sejak 1951, dua tahun selepas NATO ditubuhkan dan juga bersifat agak sekular.

Manakala, Mesir pula merupakan negara terbesar di Asia Barat dan mempunyai latar belakang sebagai pemimpin nasionalisme Arab (semasa zaman Gamal Abdel Nasser) dan peranannya menerajui Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang mewakili hemisfera Selatan, selain daripada negara utama dalam konflik Arab-Israel.

Jelas saiz dan pengaruh sesebuah negara merupakan pertimbangan yang penting dalam hubungan luar AS. Dalam konteks Asia Tenggara, kenapa Obama memilih untuk melawat Indonesia dan bukannya Malaysia yang juga merupakan negara Islam sederhana? Selain daripada saiz negara Indonesia yang lebih besar berbanding dengan Malaysia, adalah penting bagi AS memelihara hubungannya dengan Indonesia bagi tujuan memelihara kepentingan serantau strategik AS.

Semasa Perang Dingin yang berlangsung sepanjang tempoh 1947 hingga 1991, penting bagi AS memastikan Indonesia tidak terlibat dengan blok Soviet. Disebabkan Tanah Melayu berada di bawah rakan sekutunya iaitu British, maka Malaysia dianggap selamat daripada ancaman Soviet.

Selain itu, dalam tempoh masa tersebut, Indonesia merupakan sumber tenaga minyak dan gas yang penting termasuk sumber asli yang lain. Tambahan pula, Indonesia dikurniakan dengan akses yang luas dan lebar bagi Selat Melaka. Lokasi ataupun kawasan ini sentiasa menarik perhatian AS kerana Selat Melaka merupakan satu-satunya jalan perkapalan yang terpenting. Banyak kapal kargo yang melalui Selat Melaka, dan AS juga bimbang atau lebih tepat lagi obses seandainya komponen atau bahan nuklear dibawa melalui selat yang paling sibuk dan terpanjang di dunia ini.

Justeru, sudah tentu AS menganggap Indonesia sebagai salah satu rakan penting di rantau ini. Ini amat jelas. Misalnya, walaupun Indonesia berada di bawah rejim tentera Suharto dan tidak mengamalkan demokrasi, namun AS masih terus menyokong Indonesia.

Malahan, semasa era konfrontasi Indonesia dengan Malaysia antara 1963 hingga 1966, pentadbiran AS di bawah Presiden Lyndon B Johnson terus memberi bantuan kepada Indonesia dengan alasan negara penerima bantuan itu menjadi benteng anti-komunis walaupun dibantah oleh pemimpin Malaysia ketika itu yang merasa terkilan dengan tindakan AS.

Pada pasca 11 September, Indonesia terus mendapat perhatian istimewa negara AS. Ini disebabkan bahaya kumpulan Jihad yang terus berkembang di Indonesia. Ia dapat dilihat dalam peristiwa pengeboman di Bali dan Jakarta. Pertimbangan ini juga terus mendominasi hubungan luar AS dan Indonesia.

Bagi Malaysia pula, selepas kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, hubungan dengan AS berjalan lancar. Persahabatan ini diperkukuhkan oleh pendirian Malaysia yang anti-komunis dan Malaysia juga merupakan sumber penting bahan strategik terutama getah dan timah. Persahabatan ini berterusan sehingga era Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila wujud sedikit pertelingkahan politik dan ekonomi.

Dalam tempoh pasca 11 September, minat AS terhadap Malaysia tertumpu kepada usaha untuk mengelak senario pertumbuhan kumpulan Jihad selepas berlaku beberapa peristiwa keganasan melibatkan Malaysia. Sebenarnya, AS di bawah pentadbiran Obama dengan sewenang-wenangnya menganggap rantau Asia Tenggara sebagai medan terrorisme yang kedua (second front). Di samping itu, terdapat beberapa peristiwa yang mendapat perhatian kuasa besar itu seperti pemerdagangan manusia dan aktiviti 'money laundering', selain kononnya Malaysia terlibat dalam jaringan percambahan nuklear.

Sekiranya diperhatikan hubungan AS dengan Malaysia dalam konteks masa kini di bawah pentadbiran Najib, Malaysia sebenarnya memerlukan AS dan bukan sebaliknya. Ini terutamanya bagi membantu Najib mengukuhkan kedudukan politik dan menaikkan imej tempatan serta antarabangsa beliau.

Hubungan AS dan Malaysia mengikut perspektif AS akan berterusan atas dasar 'memerangi keganasan'. Secara keseluruhan, hubungan AS dan Malaysia di era Najib lebih memuaskan berbanding era Mahathir.

Dalam konteks ASEAN, adalah normal bagi Indonesia mendahului Malaysia dari segi hubungan dengan AS. Maka sebab itulah Obama untuk tahun 2010 melangkaui Malaysia dalam lawatannya ke Asia. Untuk tahun 2011, mungkinkah Obama akan membuat lawatan rasmi ke Malaysia?

Prof Madya Dr. Shakila Yacob ialah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya yang kini bercuti sabatikal di Louisiana State University, Baton Rouge, Louisiana


No comments: