Ke mana hala tuju Obama dalam isu keselamatan?
Percubaan mengebom pesawat Northwest dari Amsterdam ke Detroit pada hari Krismas (25 Disember 2009) baru-baru ini oleh seorang warga Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab sekali lagi menimbulkan perdebatan mengenai usaha pentadbiran Obama memerangi keganasan.
Ramai yang mengkritik segala tindakan pentadbiran Obama yang selama ini cuba bertindak dengan cara politically correct sehingga meningkatkan ancaman ke atas keselamatan rakyat dan negara Amerika Syarikat (AS).
Ada yang merasakan pentadbiran Obama tidak serius dalam usaha memerangi keganasan dan melakukan tindakan wajar bagi melindungi keselamatan negara dan rakyat AS.
Tindakan pentadbiran Obama yang enggan menggunakan frasa War on Terror, menutup penjara di Telok Guantanamo dan ramai banduan dihantar kembali ke Yemen, membicara ejen CIA yang tidak mengikut peraturan soal siasat serta melihat tindakan Umar sebagai satu insiden terpencil sebagai seorang ekstrimis agama telah memburukkan lagi keselamatan negara tersebut.
Sudah tentu, pihak war mongers atau war hawks semasa pentadbiran Bush seperti John McCain umpamanya merupakan antara yang paling vokal mengkritik tindakan pentadbiran Obama menangani perang keganasan dan insiden terbaru ini.
Kali ini perhatian ditumpukan ke Yemen di mana Umar dikatakan telah menerima latihan di kem Al-Qaeda di sana. Yemen sebelum ini telah memperlihatkan satu insiden keganasan terhadap rakyat AS di mana 17 tentera laut AS terbunuh apabila kapal USS Cole yang mendarat di Pelabuhan Aden, Yemen dibom pada tahun 2000. Pada masa yang sama, Somalia juga menjadi tumpuan.
Jika pentadbiran Bush sebelum ini bertindak menyerang Afghanistan dan kemudiannya Iraq (2003) dalam 'perang keganasan' pasca 11 September, ramai yang mula melihat kepada pentadbiran Obama untuk menyerang Yemen dan juga Somalia. Lihat kenyataan Senator Joe Lieberman yang menyatakan Iraq adalah 'perang semalam', Afghanistan 'perang hari ini' dan Yemen 'perang masa depan'.
Tetapi Obama sendiri akhirnya mengakui bahawa sistem perisikan AS masih lemah dan agensi perisikan AS yang sebenarnya gagal mengkoordinasi aktiviti dan perkongsian maklumat bagi menjamin keselamatan rakyat dan negara itu. Kesilapan yang sama dilihat semasa serangan 11 September dan juga percubaan yang paling terkini.
Selepas insiden terakhir ini, jelas serangan atau percubaan keganasan boleh datang dari mana-mana negara dan bukannya Iraq, Afghanistan atau Pakistan semata-mata.
Persoalannya kenapakah pentadbiran Obama meningkatkan kehadiran tentera AS di Afghanistan? Apakah matlamat di sebaliknya?
Sebaik-baik persetujuan menarik balik tentera AS dari Iraq melalui persetujuan yang dikenali sebagai "Status of Forces Accord (2010/11)" insiden keganasan yang dicatatkan di Iraq semakin berkurangan. Anehnya pengeboman jalanan dan lain-lain tindakan keganasan berpindah ke Pakistan.
Pakistan tidak mempunyai simpanan minyak yang banyak seperti di Iraq tetapi merupakan sebuah negara yang amat strategik dari segi lokasi. Berdekatan dengan Afghanistan dan Asia Tengah (termasuk Iran dan di wilayah ini banyak negara Islam) serta Rusia dan China.
Ini bererti negara Iran telah dikepung oleh negara-negara yang mengikut telunjuk AS. Di sebelah barat Iran adalah Iraq dan Kuwait, sementara di timur pula Afghanistan dan Pakistan.
Maka sudah tentu pihak AS mempunyai kepentingan strategik dan geo-politik di Pakistan. Keadaan huru-hara dan kucar-kacir di Pakistan memburukkan lagi ketidakstabilan politik di Pakistan dan mula menggugat kepentingan AS.
Dengan ini, pihak AS tidak mempunyai pilihan lain tetapi akan terus menjadikan Pakistan sebagai rakan bagi memerangi keganasan di Afghanistan dan Pakistan. Ini menyediakan satu justifikasi bagi pihak AS untuk meningkatkan jumlah tentera AS di Afghanistan.
Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa dengan mengekalkan kehadiran tentera di Afghanistan, pihak AS berharap dapat menyekat kebangkitan Rusia.
Walaupun pentadbiran Obama dan pihak Kongres, baik Demokrat mahupun Republikan sedar akan kerajaan Hamid Karzai yang diselubungi rasuah, tetapi beliau terus disokong kerana sebagai 'patung' AS, Afghanistan akan terus menjadi vassal state AS.
Strategi geo-politik AS untuk membendung peningkatan Rusia dan China digalakkan oleh ketidakstabilan di Afghanistan dan Pakistan. Polisi membendung China tidak pernah lenyap tetapi muncul dalam bentuk baru di mana Asia Tengah akan memainkan peranan yang penting. Maka bagi tujuan geo-strategik dan politik AS, Afghanistan dan Pakistan juga dianggap penting atau sebahagian daripada cita-cita AS di Asia Tengah.
Senario dan keadaan yang wujud di Pakistan dan Afghanistan menawarkan AS satu peluang untuk meneruskan permainan Perang Dinginnya dengan Rusia dan sekarang China - sebagai penyaing utama.
Sementara itu, sekiranya AS menjadikan Pakistan sebagai rakan - pihak Pakistan juga terikat untuk bersekutu dengan AS bagi melawan ancaman domestik hasil ketidakstabilan politik Afghanistan. Ini menyediakan peluang bagi AS untuk terus menyekat pengaruh China ke Pakistan.
Dengan ini, jelas strategi AS memerangi keganasan juga melibatkan kepentingan geo-strategik dan politik AS. Usaha meningkatkan kehadiran tentera AS untuk menyekat aktiviti keganasan atau jaringan Al-Qaeda di mana-mana negara yang dilihat sebagai satu ancaman kepada keselamatan AS akan melibatkan jumlah wang yang banyak. Contohnya pentadbiran Obama membelanjakan AS$70 juta bagi bantuan tentera kepada Yemen.
Mampukah ekonomi AS menampung segala perbelanjaan ini? Sedangkan pemulihan ekonomi di AS masih lagi dibelenggu oleh data penganguran yang mencapai dua angka dan kos insurans kesihatan yang tinggi.
Malahan, lebih ramai rakyat AS yang meninggal dunia akibat ketiadaan insurans kesihatan berbanding jumlah kematian tentera AS yang berjuang melindungi keselamatan rakyat AS. Adalah dianggarkan kira-kira 45,000 orang rakyat AS mati setiap tahun akibat ketiadaan insurans kesihatan, iaitu seorang bagi setiap 10 minit, 3,750 orang sebulan iaitu lebih ramai daripada mereka yang terbunuh semasa insiden 11 September 2001.
Pada 2008, jumlah pesara tentera AS yang mati adalah empat kali ganda daripada jumlah tentera AS yang terbunuh di Iraq dan Afghanistan akibat tiadanya insurans kesihatan.
Masih ramai lagi rakyat AS yang menganggur walaupun pentadbiran Obama telah cuba sedaya upaya meningkatkan jumlah pekerjaan dan peluang pekerjaan yang baru. Kadar pengangguran di AS kini masih lagi tinggi iaitu sekitar 10 peratus. Ini menunjukkan pentadbiran Obama masih belum berjaya memenuhi janjinya semasa kempen pilihan raya Presiden, walaupun setahun mendiami White House.
Ramai rakyat AS percaya krisis ekonomi kedua akan melanda AS dan dengan ini mampukah AS membiayai perbelanjaan yang besar bagi menangani ancaman keganasan terhadap negaranya?
Jumlah ini akan terus meningkat berikutan keputusan AS untuk menambahkan lagi bilangan tenteranya di Afghanistan. Menjelang September 2010 pihak Senat AS kemungkinan besar akan meluluskan peruntukan perbelanjaan pertahanan di Iraq dan Afghanistan sebanyak AS$130 bilion.
Seterusnya jumlah perbelanjaan perang akan terus meningkat sekiranya tentera AS dihantar ke Yemen dan Somalia. Sudah tentu satu strategi politik yang lebih berkesan dalam menentukan hala tuju dasar luar AS harus dibentuk bagi melindungi keselamatan rakyat dan negara AS.
Apakah keutamaan pentadbiran Obama dalam hal ini sama ada menangani isu dalam negeri atau luar negara dalam usaha menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat AS?
Prof Madya Dr. Shakila Yacob ialah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya yang kini bercuti sabatikal di Louisiana State University, Baton Rouge, Louisiana.
No comments:
Post a Comment