Usaha AS pupuk persefahaman dengan Islam
SETIAUSAHA Rendah bagi Diplomasi Awam dan Hal Ehwal Awam di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Karen Hughes tiba di Kuala Lumpur pada hari Sabtu lalu dengan tujuan mengadakan siri lawatan dua hari di negara ini.
Sejak pelantikan beliau pada 29 Julai 2005, Hughes telah pun mengadakan beberapa siri lawatan ke negara Islam. Usaha beliau itu adalah untuk meningkatkan imej AS selain cuba melupuskan pandangan buruk yang wujud di kalangan masyarakat Islam terhadap negara kuasa besar itu.
Ini khususnya merujuk kepada pelbagai isu yang menyentuh umat Islam.
Sebagai contoh, isu di Iraq, hal di Afghanistan, konflik Israel-Palestin dan juga permasalahan tahanan Islam di Teluk Guantanamo, Cuba.
Beliau telah pun membuat satu siri lawatan ke negara Asia Barat iaitu merangkumi Mesir, Arab Saudi dan Turki di mana beberapa siri dialog diadakan bagi mendapatkan pandangan penduduk Islam di negara berkenaan mengenai dasar luar AS.
Hughes, dipertanggungjawabkan untuk membersihkan serta meningkatkan imej AS di mata dunia terutamanya negara Islam.
Ini merupakan satu `kerja' yang besar dan bukan mudah kerana untuk mengubah persepsi masyarakat Islam terhadap dasar AS sudah pasti mengambil masa yang lama.
Namun dengan jumlah belanjawan yang besar diperuntukkan ke arah usaha ini iaitu sebanyak AS$630 juta (RM2.3 bilion) setahun (Lihat Summon the Spin Doctor, Wall Street Journal, 26 September 2005), besar kemungkinan melalui perancangan yang teliti serta penekanan dalam bidang yang relevan, sedikit sebanyak dapat membantu mengubah pandangan masyarakat Islam serta masyarakat dunia amnya terhadap dasar luar AS.
Tetapi apa yang penting adalah komunikasi berkesan antara pentadbiran Presiden George W. Bush dengan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Ucapan-ucapan yang dibuat harus dirancang dan disampaikan dengan teliti diiringi bersama fakta-fakta yang betul serta mengambil kira sensitiviti umat Islam.
Ini amat penting dalam usaha memupuk dan membina persefahaman dan hubungan baik dengan masyarakat Islam sedunia.
Lebih berkesan lagi seandainya pentadbiran Bush dapat mempergunakan modal intelek dari kalangan rakyat Muslim-AS sendiri.
Ini adalah kerana mereka lebih memahami sensitiviti serta mempunyai pemahaman yang baik tentang masyarakat serta agama Islam.
Tindakan ini bukan sahaja dapat membina jambatan baik antara AS dengan dunia Islam tetapi juga berupaya memperbaiki persepsi rakyat Amerika lain terhadap masyarakat Islam di negara terbabit.
Sementara itu, Hughes ketika berada di Jakarta, Indonesia pada 21 Oktober lalu telah bertemu dengan pelajar Islam Indonesia yang mengkritik dasar luar AS di Iraq.
Malangnya, beliau telah memperbesar-besarkan jenayah yang kononnya dilakukan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein yang dikatakan telah membunuh beratus-ratus ribu penduduknya menggunakan gas beracun.
Hakikatnya, tuduhan pembunuhan puak Kurdis menggunakan gas beracun oleh Saddam hanyalah melibatkan seramai 5,000 orang.
Begitu juga Bush sendiri dalam ucapannya sejurus tragedi 11 September 2001 telah menggunakan perkataan crusade dalam usaha menentang pengganas telah menimbulkan bantahan masyarakat Islam di AS dan dunia amnya kerana mengingatkan mereka terhadap usaha-usaha ganas serta operasi ketenteraan penganut Kristian terhadap dunia Islam seribu tahun dahulu.
Kesilapan sebegini tidak harus berlaku sekiranya pentadbiran Bush ingin memperbaiki dan meningkatkan imejnya di mata masyarakat Islam.
Tidak kurang pentingnya bagi pentadbiran Bush ialah menggubal dan mengamalkan dasar luar yang seimbang serta tidak mempamerkan sebarang diskriminasi terhadap masyarakat Islam dunia.
Selebihnya, AS tidak harus mengukur demokrasi sesebuah negara itu mengikut tafsiran mereka sendiri.
Penulis sendiri telah menjadi hos majlis berbuka puasa untuk Hughes yang ingin melalui pengalaman berbuka puasa dengan keluarga Melayu-Islam di Malaysia pada hujung minggu lalu.
Beliau berharap untuk memahami dengan lebih baik ibadat puasa yang dijalani umat Islam di samping memupuk persefahaman antara agama yang berlainan.
Dalam wacana intelektual semasa majlis berbuka puasa bersama Hughes yang turut dihadiri Duta AS ke Malaysia Christopher Le Fleur bersama berpuluh-puluh jemputan lain rakyat Malaysia, jelas kedua-duanya ingin mencari jalan terbaik bagi meningkatkan hubungan dua hala Washington-Kuala Lumpur terutama merujuk kepada hubungan people to people.
Antara cadangan yang muncul dalam wacana intelektual ini adalah untuk mempertingkatkan hubungan pendidikan dua hala.
Dasar AS yang terlalu ketat yang dilaksanakan berikutan tragedi 11 September 2001 terhadap kemasukan pelajar Islam ke universiti di negara itu jelas dirasai kesannya pada hari ini.
Bilangan pelajar Malaysia ke AS juga mengalami kekurangan yang ketara. Justeru, amat perlu bagi kerajaan AS melonggarkan kembali syarat-syarat kemasukan pelajar Islam Malaysia terutamanya ke institusi pengajian tinggi di negara itu.
Pada masa yang sama, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di Malaysia juga boleh mengeksploitasi keistimewaan yang wujud di universiti tempatan bagi menarik kedatangan pelajar AS ke Malaysia.
Antara bidang pengajian yang ditawarkan oleh universiti tempatan yang mampu menarik kehadiran pelajar AS adalah pengajian Islam yang pada hari ini merupakan antara pengajian paling popular di kalangan pelajar AS.
Di samping itu, ramai juga pelajar AS yang berminat mempelajari tentang perkembangan Islam di Malaysia dan negara Asia Tenggara amnya yang ada ditawarkan dalam bidang pengajian Asia Tenggara.
Kehadiran pelajar AS di universiti tempatan akan meninggalkan pelbagai kesan positif terhadap usaha mewujudkan Malaysia sebagai hab pendidikan global dan membantu meningkatkan prestasi pelajar tempatan melalui interaksi mereka dengan pelajar AS. Selain hubungan people to people, hubungan antara kerajaan juga penting.
Kerajaan AS berminat untuk menimba pengalaman dan kejayaan Malaysia terutama isu-isu berhubung Islam, usaha-usaha menentang keganasan komunis, isu perpaduan dan kepelbagaian masyarakat, serta perkongsian kuasa antara pelbagai kaum.
Ini juga merupakan antara harapan yang disuarakan oleh Hughes dalam pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Isnin lalu.
Pada masa yang sama, diharapkan kerajaan Malaysia juga dapat mengeksploitasi keistimewaan AS terutama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta pencapaian ekonomi.
- DR. SHAKILA YACOB ialah pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM).
No comments:
Post a Comment