Monday, February 04, 2013

Obama dan Penggal Kedua

Utusan Malaysia, 30 Januari 2013

Obama dan Cabaran Penggal Kedua

Obama baru-baru ini telah mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) untuk penggal kedua. Ini kemudiannya diikuti dengan ucapan aluan (inaugural address) yang mengajak rakyat AS untuk kembali kepada asas yang telah diletakkan oleh bapa kemerdekaan AS terutama merujuk kepada soal perpaduan dan penyatuan, soal hak individu dan hak kolektif, soal perkongsian dan agihan kekayaan, soal bangsa dan impian Amerika (American dream).

Persoalan ini merupakan isu pokok kepada kelangsungan kehidupan rakyat AS sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1786. Sebab itu Obama dalam ucapan aluannya telah membangkitkan peristiwa penting dalam perjalanan sejarah AS yang meninggalkan impak besar terhadap isu-isu pokok yang membentuk keperibadian dan pegangan rakyat dan pembinaan negara bangsa AS.

Satu ucapan yang telah ditulis dengan penuh hati-hati – ucapan aluan Obama telah mencapai tiga perkara penting. Ucapan tersebut telah membentang satu agenda yang jelas bagi penggal kedua Obama; juga amat jelas falsafahnya. Yang paling penting ucapan tersebut dikaitkan dengan pegangan sejarah yang asas dan diterima semua seperti kebebasan, keadilan sosial, persamaan hak dsbnya) yang terkandung dalam perlembagaan AS. Pihak Republikan akan mendapati ianya sukar bagi mengatakan Obama seorang yang ‘partisan’ dalam pegangan dan kedudukannya mengenai kesejahteraan AS. Ramai yang mengaitkan ucapan aluan ini dengan ucapan aluan Franklin Delano Roosevelt pada penggal kedua pentadbirannya yang perlu menghadapi kemelesetan besar yang berpanjangan di AS.  

Ucapan aluan yang bersifat populis itu menggarap cabaran yang dihadapi Obama pada penggal pertama yang juga akan terus mendasari persoalan yang akan dihadapi pada penggal kedua pentadbirannya.

Apakah hasil jangkaan sepanjang penggal kedua pentadbiran Obama?  Walaupun sukar diramal tetapi adalah jelas segala apa yang ingin dicapai oleh Obama harus dilaksanakan dalam tempoh 12-18 bulan ini. Ini dapat mengukuhkan legasi beliau. Setiap presiden yang berpeluang mentadbir di penggal kedua sudah tentu ingin meninggalkan sebuah legasi.

Agenda yang beliau tetapkan dalam ucapan aluannya adalah sangat berani, bercita-cita tinggi dan sudah tentu akan ditentang oleh pihak Republikan.  Contohnya undang-undang berkait senjata api. Beliau mungkin berjaya menggubal undang-undang berhubung pemeriksaan keselamatan tetapi larangan penggunaan senjata serbu (assault weapons) besar kemungkinan tidak dapat dilaksanakan.

Ini kerana pengeluar senjata api dan pelobi senjata api AS iaitu NRA (National Rifle Assocation) mempunyai kuasa yang terlalu besar. Dari segi imigrasi pula, akan wujud beberapa reformasi. Pihak Republikan amat memerlukan sokongan pihak Hispanic terutamanya bagi meraih undi tetapi mereka sendiri berpecah dan sukar mencapai kata sepakat berhubung undi golongan Hispanic. Golongan ini telah meningkat peratusnya dari 6.4% pada tahun 1980 kepada 16% pada tahun 2010.


Reformasi cukai mungkin bukan merupakan satu keutamaan untuk Obama tetapi beliau akan memastikan wujud satu persetujuan bagi mengukuhkan program keselamatan sosial, Medicare dan lain-lain yang berkaitan. Ini adalah program penting bagi penyokong setia Obama.

Obama akan cuba sedaya upaya bagi meluluskan perundangan bertujuan melaksanakan janji yang dibuat dalam ucapan beliau terutama untuk mereka yang menyumbang kepada kemenangan beliau iaitu (golongan wanita, golongan muda dan golongan minoriti).

Salah satu legasi politik yang akan beliau cuba bentuk adalah pengukuhan ‘winning coalition’  bagi faedah parti Demokrat di masa depan.  Untuk mengatasi tentangan pihak Republikan beliau akan terus berkomunikasi secara langsung dengan pengundi.  Beliau juga dibantu oleh fakta bahawa asas pihak Republikan sekarang ini berpecah dan tidak bersatu.  

Obama sedar rakyat AS yang berpecah dari segi idealogi, bangsa, pegangan agama, ekonomi dan sebagainya merupakan satu resipi ke arah kehancuran dan kemusnahan kedudukan AS sebagai sebuah kuasa besar.

Maka, atas sebab itu beliau melalui ucapannya cuba menaikkan semangat kebangsaan rakyat AS dengan merujuk kepada asas perlembagaan dan Deklarasi Kemerdekaan AS. Beliau juga membangkitkan peristiwa penting yang mendasari pembinaan negara AS.  Bagi beliau ini merupakan persoalan pokok isu dalaman AS yang harus ditangani dan diselesaikan.

Sebab itu lah ucapan aluan beliau terlalu sedikit menyentuh hubungan dan polisi antarabangsa. Besar kemungkinan, Obama akan hanya memberi tumpuan berhubung dasar luar pada dua tahun akhir pentadbirannya. Pentadbiran beliau akan bertumpu kepada isu Iran, Palestin dan memastikan Putin tidak mendominasi Eropah Tengah.  Walaupun beliau akan menarik balik atau membawa keluar tentera AS dari Afghanistan, pentadbiran beliau akan terus tertumpu kepada situasi di Afghanistan dan Pakistan bertujuan untuk memastikan golongan ekstrimis tidak akan muncul semula dan menjadi ancaman kembali.

Apa yang lebih penting beliau akan terus menumpukan perhatian kepada Asia Timur. Berhubung dengan ASEAN, pihak AS akan terus melibatkan diri sebagaimana di masa lalu dan memain peranan utama berhubung persoalan perdagangan.
Pentadbiran Obama juga akan memberi perhatian kepada ketegangan di Laut China Selatan. Secara keseluruhannya dalam konteks ASEAN, negara-negara ini akan menjadi tumpuan iaitu Vietnam, Myanmar, Indonesia dan Filipina.

Vietnam dan Myanmar akan terus mendapat perhatian AS bagi tujuan strategik (merujuk China) dan juga bagi tujuan ekonomi.  Indonesia kerana saiz negara Islam yang besar. Filipina juga berkait isu Laut China Selatan dan AS akan terus menjalin hubungan rapat dengan Singapura.

Malaysia pula adalah sebuah negara kecil dan tidaklah begitu strategik dalam lingkungan pengaruh kepentingan AS. Dengan itu, Malaysia harus bersaing untuk dapatkan perhatian AS dan harus melabur dengan bijak serta bersikap lebih professional sekiranya ingin mengambil satu tempat  yang penting dalam hubungan dengan AS.


Shakila Yacob adalah pensyarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.