Tuesday, June 21, 2011

Pilihanraya Kongres

Parti Republikan goyang?



KEMPEN pilihan raya Kongres Amerika Syarikat (AS) di antara parti Demokrat dan Republikan semakin sengit bagi merebut majoriti dalam Dewan Senat dan Dewan Perwakilan.
Pada masa yang sama kempen bagi menarik rakyat AS untuk pergi mengundi juga diperhebatkan. Usaha ini merupakan satu cabaran besar buat kedua-dua parti tersebut. Ini kerana peratusan mereka yang keluar mengundi adalah terlalu rendah (hanya lebih kurang 40 peratus). Pelbagai usaha termasuk mengurangkan kerenah birokrasi, menghantar sukarelawan untuk berkempen serta menawarkan ganjaran menarik yang disediakan gagal menarik minat ramai untuk pergi mengundi.
Sekiranya kita meneliti trend kempen pilihan raya Kongres mahupun Presiden kita akan mendapati taktik menyerang polisi parti lawan jauh mengatasi cadangan atau platform politik yang bakal dipegang sekiranya memenangi majoriti di Kongres. Rakyat AS tidak diberikan suatu pilihan yang jelas mahupun menarik. Tambahan lagi, rakyat AS yang pelbagai dan begitu berbelah bagi dari segi geografi, budaya dan sebagainya menjadi faktor penyebab kepada kurangnya minat mereka untuk keluar mengundi.
Kegagalan di Iraq dan desakan pelbagai pihak di Britain agar usaha penarikan tentera secara berperingkat di Iraq amat membimbangkan pentadbiran Bush sehingga pendirian Presiden Bush ke atas Iraq mula goyah. Ramai yang mula menyamakan keadaan dan penglibatan tentera AS di Iraq dengan Perang Vietnam tahun 1970-an. Saddam Hussein yang telah dijatuhkan hukuman mati baru-baru ini tidak memberi sebarang kesan kepada keadaan di Iraq maupun meningkatkan sokongan terhadap polisi Bush di Iraq. Jelas politik Asia Barat jauh lebih kompleks daripada apa yang disangkakan oleh pentadbiran Bush.
Isu di Iraq menyediakan senjata yang tajam kepada Parti Demokrat untuk meraih sokongan rakyat AS dalam pilihan raya kali ini. Telah ada anjakan paradigma apabila rakyat AS mula mengutamakan pendirian parti berbanding personaliti dan pendirian calon dalam pilihan raya ini. Mampukah Parti Demokrat mengeksploit sentimen rakyat AS ketika ini sekali gus meraih sokongan bagi mendapat kedudukan majoriti dalam kedua-dua dewan di Kongres.
Malangnya, John Kerry, calon Demokrat bagi pilihan raya Presiden 2004 telah mengeluarkan kenyataan menyatakan mereka yang tidak berpendidikan (tentera AS) tersangkut dan tidak dapat melepaskan diri dari Iraq. Kenyataan beliau yang memperlekehkan status tentera AS di Iraq telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak terutama keluarga tentera mereka yang berada di Iraq. Tindak balas hebat ke atas kenyataan Kerry menyebabkan beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan maaf dan menyatakan ia merupakan satu jenaka beliau terhadap polisi Bush di Iraq. Kenyataan beliau ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh pihak Republikan dalam meraih sokongan rakyat AS mengenai polisi di Iraq.
Bagaimanapun isu Iraq dan skandal seks serta politik wang yang ketara dalam Parti Republikan mungkin akan menggoyangkan kedudukan parti tersebut dalam pilihan raya kali ini. Perbelanjaan besar sebanyak AS$380 bilion dolar serta kematian lebih 2,800 tentera AS dalam masa hampir empat tahun begitu mengecewakan bukan sahaja rakyat AS keseluruhannya tetapi juga penyokong kuat Republikan sebelum ini. Pihak konservatif kanan berasa kecewa dengan prestasi dan pegangan Republikan yang mereka sokong selama ini dan besar kemungkinan golongan ini akan menganjak sokongan mereka kepada parti lawan. Malahan terdapat beberapa ahli Republikan yang mula menentang polisi di Iraq.
Di samping itu, taktik parti Republikan menggunakan kempen menyerang keganasan untuk menarik undi (isu yang sama digunakan dalam pilihan raya Presiden 2004) menjadi sesuatu yang membosankan. Sekali lagi pentadbiran Bush mempergunakan isu Osama bin Laden untuk mendapatkan sokongan rakyat AS. Jelas pihak Republikan ketandusan idea untuk mendapatkan sokongan rakyat AS. Timbul persoalan di sini, adakah kerana pentadbiran Bush ingin mempergunakan Osama bin Laden bagi meneruskan penguasaan Republikan di Kongres menyebabkan usaha menjejaki Osama seolah-olah tidak serius.
Kegagalan menjejaki Osama walaupun dengan peruntukan belanjawan yang besar dan pelbagai peralatan yang canggih di samping ejen perisikan CIA yang cekap dan luas pengalaman sukar difahami.
Apa pun, seandainya pihak Demokrat dapat merampas kedudukan majoriti di Kongres apakah impaknya ke atas dasar luar dan hala tuju politik AS? Bush masih boleh meneruskan dasarnya di Iraq atau sekiranya ingin melancarkan peperangan ke atas mana-mana negara dengan menggunakan kuasa eksekutifnya sebagai Ketua Komander sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan AS. Walaupun berhadapan dengan bangkangan yang kuat. Apa yang penting kemenangan Demokrat dalam pilihan raya Kongres AS kali ini boleh melemahkan kedudukan Republikan dalam pilihan raya Presiden 2008. Pihak Demokrat akan mendapat senjata tajam mengenai kegagalan polisi luar Republikan di Iraq sekali gus mengikis kekuatan tradisi Republikan yang memperjuangkan keselamatan kebangsaan AS.
- PROF. MADYA DR. SHAKILA YACOB ialah pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya.

No comments: