Tuesday, June 21, 2011

Dasar Luar Bush

Kepentingan AS di Asia Selatan



India, negara kedua selepas China yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia, mempunyai potensi menjadi suatu kuasa besar dunia. India dapat menyediakan perimbangan kuasa di Asia menghadapi China dan Pakistan.
Maka, atas faktor tersebut, pentadbiran George W. Bush melihat kepentingan mengadakan perikatan strategik dan ekonomi dengan negara tersebut. Dengan itu, Bush dalam siri lawatan tiga harinya ke India sanggup menghadapi risiko serangan militan dan kumpulan komunis.
Presiden Bush dan Perdana Menteri India Manmohan Singh telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Teknologi Nuklear Awam di mana AS menyatakan persetujuan untuk menghantar pakar dan tenaga nuklear kepada India seandainya India bersetuju membuka reaktor nuklearnya kepada pemeriksaan antarabangsa.
Pakatan nuklear dua buah negara yang diumumkan Khamis lepas, melihat India bersetuju membuka 14 reaktor nuklear awamnya kepada pemeriksaan antarabangsa. India juga berjanji akan mengasingkan perancangan bahan bakar nuklearnya bertujuan memenuhi permintaan tenaga yang tinggi di negaranya daripada program militarinya.
Jelas India enggan tunduk kepada telunjuk kuasa besar dan melalui satu perundingan yang hangat berjaya merahsiakan lapan dari pusat nuklearnya yang digunakan bagi tujuan militari. Pada masa yang sama juga Bush gagal memujuk India yang selama ini tidak menandatangani Perjanjian Tidak Cambah Senjata Nuklear yang bertujuan menyekat penyebaran senjata nuklear ke negara-negara bebas nuklear.
Isu nuklear merupakan antara isu yang memburukkan hubungan AS-India selepas India mengadakan ujian nuklear pada tahun 1998. Pakatan strategik AS-India kali ini akan meninggalkan kesan besar ke atas perjalanan politik dunia terutama berhubung perlumbaan senjata nuklear.
Kenapa pakatan strategik AS-India ini diadakan? Apakah kepentingannya kepada AS dan juga India?
Mengikut Bush dalam ucapannya di India, adalah perlu bagi AS membantu India meningkatkan keupayaan tenaga nuklearnya kerana ini akan dapat mengurangkan tekanan permintaan ke atas bahan bakar nuklear, menstabilkan pasaran minyak dunia dan sekali gus membawa keuntungan ekonomi AS.
Tetapi ada faktor-faktor lain yang berkepentingan bagi AS menjalin hubungan baik dengan India.
Kepentingannya ialah bagi memastikan tiada negara lain yang mampu membina kekuatan nuklear sebagaimana negara kuasa besar itu dan sekali gus menyekat potensi India menjadi saingan kepada kekuatan militari kuasa tunggal dunia tersebut.
Dengan mewujudkan hubungan istimewa bersama India, AS boleh menjamin keselamatan serta hubungan dagangnya dan juga memastikan ia terus menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia.
AS sedar negara Asia mempunyai potensi yang lebih hebat berbanding Eropah pada abad ke-21 ini. Seandainya abad ke-20 melihat Eropah menjadi tumpuan dasar luar AS tetapi pada abad ke-21 perhatian AS mula mengalih ke negara Asia.
Perhatian
Pasca Perang Dingin benua Asia Pasifik sedikit sebanyak menjadi agenda utama hubungan AS-Asia. AS menjadi rakan dagang terbesar negara-negara Asia Pasifik dan pertumbuhan ekonomi AS juga dirangsang oleh peperangan di Korea dan Vietnam. Kini, kebanyakan negara rantau mula mengalih perhatian ke China dan berdagang dengan negara tersebut.
Amat perlu bagi AS membina hubungan dengan negara lain selain China dan sekali gus India, dapat membantunya berkongsi masalah mengenai China. Di samping itu negara yang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat itu dapat menyediakan peluang perdagangan menggantikan peluang yang telah hilang diambil alih oleh China.
Terjalinnya hubungan baik dengan India yang mempunyai cita-cita global yang tinggi di samping penduduk kelas pertengahan yang beraspirasi tinggi serta pertumbuhan ekonomi yang pesat sudah tentu akan banyak membantu AS.
Hubungan dua hala ini juga berkepentingan kepada India. India ingin mengambil kesempatan hasil daripada pakatan strategik ini.
India inginkan hubungan baik dengan negara kuasa besar dunia itu dengan harapan ia juga dapat meningkatkan statusnya sebagai satu kuasa dunia yang harus dihormati.
India juga telah lama bercita-cita mendapatkan kerusi tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Di samping itu, India ingin membina kekuatan ketenteraan dan nuklearnya kerana ingin bersaing dengan jirannya Pakistan serta Iran.
Dari segi ekonomi juga, India berpeluang meraih peluang pelaburan dan perdagangan dengan negara ekonomi terbesar dunia.
- DR. SHAKILA YACOB ialah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM).

No comments: