Thursday, September 15, 2005

Ulasan

Utusan Malaysia (Isnin, Julai 18, 2005):

Kesan Sejarah Membentuk Dasar Amerika Syarikat:

Dalam usaha untuk muncul sebagai kuasa besar seperti hari ini, Amerika Syarikat (AS) pernah dijajah dan menjajah. Sejarah awal Amerika mempamerkan satu isu penting yang memainkan peranan utama dalam membentuk keperibadian dan kenegaraan Amerika. Isu itu adalah berhubung dengan perselisihan antara koloni dengan bekas penjajah mereka, Britain secara khusus atau Eropah secara keseluruhannya.

Pembentukan negara baru Amerika bermula selepas berjaya dalam perjuangan kebebasan semasa Perang Kemerdekaan pada tahun 1776. Kejayaan itu dianggap sebagai bukti keagungan tamadun Amerika dan mengukuhkan lagi semangat rakyatnya untuk mengasingkan diri daripada tamadun Eropah yang dianggap boleh meruntuhkan keperibadian mereka.

Negara Amerika berjaya memperoleh kemerdekaan tetapi malangnya tidak ada perpaduan atau penyatuan di antara 13 negeri. Selepas Amerika terbentuk, ia muncul sebagai negara terawal mengamalkan demokrasi dalam dunia yang diperintah oleh monarki.

Selepas menandatangani Perjanjian Keamanan Paris pada tahun 1783, Amerika mempunyai tempat sah di kalangan negara merdeka di dunia. Dan sejak itu, cabaran demi cabaran ditempuhi, AS berjaya melaluinya dengan menjadikan sejarah sebagai landasan serta teladan untuk membolehkannya bangkit.

Pendek kata, AS mempunyai sejarah tersendiri sebelum unggul pada abda ke-20 sebagai sebuah kuasa besar dunia. Justeru apa yang menjadikan ia muncul sebagai kuasa kuat di dunia seperti yang berlaku hari ini?

Jawapannya ialah sejarah. History atau sejarah bukan hanya kisah yang menarik, setiap peristiwa atau perkembangan juga mempunyai makna yang mendalam. Maklumat yang terkandung dalam sejarah harus dianalisis dan ditafsir bagi memberikan faedah dalam membina keperibadian masing-masing.


Sumbangan:

Itulah yang berlaku kepada AS sehingga ia membentuk sebuah negara bangsa yang mempunyai jati diri. "Ini waktu paling sesuai menerbitkan buku tentang sejarah AS. Hingga kini, masyarakat Malaysia tidak banyak terdedah kepada masyarakat Malaysia tidak banyak terdedah kepada masyarakat AS walaupun filem keluaran negara itu ditayangkan di Malaysia sejak awal abda ke-20," kata pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Profesor Emiterus Datuk Dr. Khoo Kay Kim yang menulis prakata buku ini.

Menurut Kay Kim, pemahaman masyarakat di negara ini berkenaan budaya orang Amerika masih tidak mendalam. Tetapi katanya, sitausi di Malaysia bertambah baik apabilia semakin banyak majalah keluaran Amerika diedarkan di negara ini selain bilangan pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran ke negara kuasa besar itu bertambah.

Namun dalam tempoh itu juga, tidak keterlaluan dikatakan bahawa tidak banyak sumbangan yang diberikan masyarakat Malaysia sekembalinya mereka ke tanah air selepas itu. Dengan kata lain hampir tiada buku atau naskhah tertentu yang ditulis mereka tentang AS.

"Pandangan dunia, tidak terkecuali masyarakat Malaysia terhadap Amerika banyak yang negatif sahaja. Kita hanya memandang Amerika sebagai kuasa penjajah yang gila berperang, mahu medominasi kuasa dan menindas negara-negara miskin lagi lemah.

"Tetapi kita lupa satu perkara bahawa sejarah yang mengajar AS menjadi begitu. Walaupun banyak kepincangan dilakukan, ada juga kebaikan atau kelebihan AS yang boleh dijadikan sempadan. Justeru sebuah naskhah yang barangkali boleh memperbetulkan sedikit tanggapan negatif terhadap Amerika itu perlu diterbitkan," kata penulis buku ini ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Shakila yang juga pensyarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM berkata, beliau mengambil masa selama kira-kira empat tahun untuk menyiapkan buku tersebut. "Asalkan buku itu adalah untuk memenuhi permintaan pelajar yang mahukan maklumat mendalam mengenai sejarah AS dalam Bahasa Malaysia. Ada banyak buku rujukan tentang AS di negara ini, tetapi kesemuanya dalam Bahasa Inggeris. Saya boleh katakan ini buku bahasa Melayu pertama membincangkan secara panjang lebar sejarah AS," ujar Shakila, yang juga pakar dalam sejarah serta politik AS.

Menurut Shakila, Amerika mahu mempromosikan demokrasi di dunia hari ini kerana ia pernah dijajah dan tidak gemarkan sistem pemerintahan beraja mutlak.

"Justeru saya melihat walaupun AS menggila dalam memperjuangkan demokrasi (kini di Asia Barat), ada keikhlasan dalam tindakan AS itu jika diperhalusi dari segi sejarah."


Kuasa:

Katanya, sejarah yang membentuk AS mempunyai jati diri dan bangsa menjadi sebuah negara sekarang. Itulah kunci utama pembangunan sebuah negara kuasa besar seperti AS. Tetapi katanya, hubungan Malaysia-AS tidak pernah bermasalah.

Kita seolah-olah menjalinkan hubungan 'benci tapi rindu' dengan AS. Kita katakan kita tidak sukakan Amerika tetapi pada masa sama kita setia kepada Starbuck, Coca-Cola, KFC dan sebagainya.

"Kita tidak boleh menolak ini semua. Hakikatnya, kita memang banyak bergantung kepada Amerika," ujar beliau.

Membaca buku setebal 374 halaman ini seolah-olah mempamerkan hubungan AS dan negara dunia lain khususnya Malaysia tidak pernah dilanda masalah dan betapa ia perlu saling bergantung di antara satu sama lain.

Selebihnya buku ini menjawab secara langsung dan tidak langsung perkembangan masyarakat AS sejak sebelum wujudnya AS sebagai sebuah negara bangsa hingga kini.