Pilihan raya Kongres AS juga penting
TIDAK sampai sebulan lagi, pada 7 November nanti, Amerika Syarikat akan mengadakan pilihan raya Kongres. Ia dijalankan dua tahun sekali ini amat penting walaupun seringkali tumpuan hanya diberikan kepada pilihan raya Presiden.
Dalam hal ini, pilihan raya Kongres juga tidak kurang penting dan perlu diberi tumpuan.
Ini kerana, peranan yang dimainkan oleh Kongres dalam menentukan hala tuju perundangan dan polisi pentadbiran AS amat signifikan. Ringkasnya, segala perundangan harus digubal dan diluluskan oleh Kongres.
Terdapat 100 kerusi (dua senator daripada setiap negeri) dalam Dewan Senat tetapi pada setiap pilihan raya Kongres hanya satu pertiga daripada kerusi tersebut (iaitu sebanyak 33 kerusi) akan dipertandingkan memandangkan keahlian Dewan Senat adalah untuk tempoh enam tahun.
Bagi Dewan Perwakilan, kesemua 435 kerusi (jumlah kerusi berdasarkan kepada jumlah penduduk setiap negeri di AS) yang ada akan dipertandingkan kerana tempoh keahlian dewan tersebut hanyalah selama dua tahun.
Mampukah pihak Republikan mengekalkan majoriti di Dewan Perwakilan yang dikuasai mereka sejak tahun 1994? Begitu juga Senat yang dikuasai pihak Republikan sejak dari tahun 1994 hingga 2000. Pada tahun 2003, pihak Republikan menguasai semula Dewan Senat.
Pilihan raya Kongres ini tidak akan menjanjikan kemenangan yang mudah buat ahli-ahli Republikan. Tetapi pada masa yang sama, timbul persoalan sama ada pihak Demokrat mampu mengeksploitasi isu yang ada bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Daripada 435 kerusi yang dipertandingkan – pihak Republikan memegang 231 kerusi manakala Demokrat 201 kerusi, satu kerusi bebas dan dua kerusi kosong. Untuk menguasai Dewan Perwakilan, pihak Demokrat perlu memenangi 15 kerusi.
Manakala 100 kerusi yang ada di Dewan Senat, 55 kerusi dipegang oleh Republikan, 44 Demokrat dan satu kerusi bebas. Daripada 33 kerusi yang akan dipertandingkan, 17 kerusi dipegang oleh Demokrat, 15 kerusi oleh Republikan, manakala satu kerusi Bebas. Untuk menguasai Dewan Senat, pihak Demokrat perlu memenangi enam lagi kerusi untuk mendapat majoriti 51 kerusi.
Isu pilihan raya Kongres 2006 ini akan berkisar sekitar persoalan luar negara dan juga domestik.
Antara isu luar yang menjadi persoalan hangat adalah perang yang tidak selesai di Iraq, ujian nuklear Korea Utara, Osama bin Laden dan Al-Qaeda, hak tahanan Guantanamo dan juga hubungan AS dengan Iran serta kemelut Asia Barat keseluruhannya.
Isu tempatan pula merujuk isu-isu sosial dan ekonomi tempatan termasuklah peluang pekerjaan, kenaikan harga minyak, masalah pendatang tanpa izin dan ancaman keganasan domestik yang semakin meningkat.
Walaupun selalunya isu tempatan akan mengambil tempat utama tetapi ada yang mendakwa isu luar negara akan menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya Kongres AS.
Antara isu yang akan dieksploitasi oleh pihak Demokrat adalah merujuk Perang Iraq. Kedua-dua parti Republikan dan Demokrat mula membentuk pegangan dan pendirian masing-masing mengenai Iraq.
Pihak Republikan yang setia sudah tentu akan mempertahankan polisi George W. Bush di Iraq. Kumpulan ini berpendirian yang perang itu memang patut dilancarkan dan tentera AS harus terus berada di Iraq sehingga keamanan sepenuhnya dapat diwujudkan. Manakala, pihak Demokrat, termasuk segelintir mereka dari parti Republikan menekankan kesilapan AS memerangi Iraq dan pengunduran tentera AS harus diusahakan segera atau secara berperingkat-peringkat.
Satu lagi isu yang besar kemungkinan menjejaskan sokongan terhadap pihak Republikan adalah skandal Mark Foley. Senator dari Florida itu telah meletakkan jawatan akibat pendedahan e–mel dan mesej chat berunsur seks yang dihantar beliau kepada pelatih remaja Kongres (juga dikenali sebagai pages) pada tahun 2005.
Foley yang telah berkhidmat sebagai Senator selama enam penggal telah meletakkan jawatan pada 29 September 2006 dan baru-baru ini mengaku bahawa beliau adalah seorang gay. Skandal ini bukan sahaja mencemarkan nama baik Republikan tetapi juga mengancam kedudukan majoriti Republikan di Kongres. Skandal ini pasti akan dieksploitasi oleh pihak Demokrat untuk mempersoalkan kredibiliti calon Republikan.
Disebabkan pilihan raya Kongres dijalankan berasingan maka, ada kemungkinan parti yang mengawal Kongres datang daripada parti yang berbeza dengan Presiden yang memerintah. Pada tahun 1997, contohnya Presiden Bill Clinton adalah dari parti Demokrat manakala Kongres dikuasai oleh pihak Republikan. Ada juga ketika di mana Dewan Perwakilan dikuasai oleh Republikan manakala Dewan Senat oleh pihak Demokrat serta Presiden dari Parti Republikan. Ini berlaku pada tahun 1980 ketika pemerintahan Ronald Reagan.
Senario sebegini wujud hasil sistem timbang dan tara yang sengaja dicipta oleh Bapa Kemerdekaan AS bertujuan memastikan tiada satu cabang pun daripada tiga cabang yang ada (eksekutif, legislatif, kehakiman) menguasai perjalanan politik negara itu. Tetapi keputusan masih terletak di tangan rakyat AS.
Disebabkan pilihan raya Kongres ini selalunya berpusatkan pada parti, maka, golongan yang mungkin mampu membawa perubahan adalah golongan Bebas (membentuk 25 hingga 30 peratus daripada pengundi) yang tidak terikat kepada mana-mana parti. Jumlah peratus pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya Kongres selalunya kecil. Jelas di sini bahawa rakyat AS kurang menyedari tanggungjawab mereka bukan sahaja dalam menentukan perjalanan politik dan ekonomi negara mereka tetapi juga antarabangsa.
Ini memandangkan pilihan raya Kongres ini akan menentukan hala tuju dasar dalam dan luar AS. Seandainya pihak Republikan terus menguasai ketiga-tiga institusi ini maka semakin kuatlah kedudukan Bush serta mudah bagi beliau meneruskan agenda dasar luar yang agresif serta meninggalkan impak ke atas politik dan ekonomi antarabangsa.
- PROF. MADYA DR. SHAKILA PARVEEN YACOB ialah pakar sejarah dan politik AS.
No comments:
Post a Comment