Pelan penjagaan kesihatan Obama jadi perdebatan
REFORMASI penjagaan kesihatan, terutama berhubung dengan insurans kesihatan yang cuba dikemukakan oleh pentadbiran Barack Obama sejak pelantikan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) setahun yang lalu telah melalui satu proses penelitian yang panjang oleh pihak Kongres.
Pada 24 Disember 2009, pihak Senat akhirnya berjaya memperoleh majoriti (58 ahli Demokrat dan 2 ahli bebas) bagi meluluskan akta tersebut yang akan melibatkan peruntukan kewangan sebanyak AS$871 bilion (RM2,926.56 bilion).
Sebelum ini, pada 7 November 2009, ahli Dewan Perwakilan telah meluluskan beberapa aspek penjagaan kesihatan seperti percukaian, pengguguran dan pelan insurans kesihatan kerajaan yang berbeza dengan pendekatan pihak Senat. Dapatkah pentadbiran Obama mengemukakan strategi terbaik yang menggabungkan kedua-dua pendekatan itu?
Berjayakah pentadbiran Obama melaksanakan reformasi dalam aspek penjagaan kesihatan rakyat AS apabila sebelum ini pentadbiran Bill Clinton gagal memperkenalkan akta penjagaan kesihatan yang didokong oleh Hillary Clinton (hari ini Setiausaha Negara AS)? Apakah kesan daripada pengenalan akta itu? Ia menjadi persoalan ramai rakyat AS hari ini.
Sebagaimana yang kita ketahui, sepanjang sejarah pembinaan negara AS, konsep kerajaan terhad (limited government) dipegang kuat oleh kerajaan dan rakyat AS sebagai salah satu tonggak demokrasi.
Dengan lulusnya akta penjagaan kesihatan awam ini, maka kerajaan akan campur tangan dalam hampir 17 peratus ekonomi AS yang meliputi bidang penjagaan kesihatan.
Akta itu bertujuan mengawal kenaikan kos kesihatan di AS dan dianggap dapat mengurangkan defisit perbelanjaan sebanyak AS$132 bilion (RM443 bilion dalam tempoh 10 tahun) yang sekiranya tidak dikawal akan mengancam ekonomi AS yang rapuh.
Pada masa yang sama, ramai meragui kemampuan akta itu dalam mengawal kos kesihatan di AS. Malah Kongres kerap dipengaruhi oleh pihak berkepentingan di mana aktiviti melobi mempengaruhi perjalanan atau proses kelulusan sesuatu akta termasuk akta kesihatan.
Sokongan terhadap akta yang penting itu datang daripada pihak Demokrat sahaja tanpa sokongan pihak Republikan. Ini jelas menunjukkan betapa dalamnya jurang ideologi antara dua parti terbesar di AS. Mempolitikkan satu isu asas keperluan manusia iaitu penjagaan kesihatan tidak sepatutnya berlaku terutama dalam sebuah negara demokrasi seperti AS.
Ramai rakyat AS bersetuju rakyat miskin perlu ada akses kepada penjagaan kesihatan termasuk aspek pergigian. Akta penjagaan kesihatan Senat itu bererti hampir 30 juta rakyat AS akan memperoleh insurans kesihatan. Sebelum ini, mereka tidak mempunyai akses kepada insurans penjagaan kesihatan.
Tetapi pada masa yang sama, ramai yang mempersoalkan sama ada akses kepada penjagaan kesihatan itu tidak akan disalah guna oleh sesetengah rakyat AS yang mampu membeli insurans tetapi mengambil kesempatan ke atas peluang subsidi dan pelan insurans kerajaan yang disediakan.
Maka golongan itu akan menjadi beban kepada golongan lain yang bekerja kuat untuk membayar insurans kesihatan dan cukai pendapatan. Kalau satu ketika dahulu (sehinggalah lewat 1990-an) pergantungan kepada bantuan kerajaan merupakan sesuatu yang memalukan, tetapi pada masa kini, terutama selepas krisis kewangan tahun 2008-2009, ramai rakyat AS tidak lagi mempedulikan stigma yang dikaitkan dengan penerimaan bantuan kebajikan kerajaan.
Maka, ramai yang mampu berasa tidak segan silu untuk mendapat bantuan kerajaan, tidak kira rakyat kulit putih mahupun rakyat AS keturunan Afrika (yang sering dikaitkan sebagai golongan terbesar mengharapkan bantuan kerajaan sebelum ini).
Satu lagi permasalahan yang menjadi perdebatan mengenai akta Senat itu adalah merujuk kepada pembayaran kos pengguguran anak. Kerajaan tidak pernah terlibat dalam menanggung kos pengguguran anak sejak tahun 1970-an.
Pihak individu harus menanggung kos itu dengan sendiri kerana aspek pengguguran adalah soal peribadi. Ini bererti ramai rakyat AS terutama yang mengandung di luar nikah akan mempunyai akses kepada kemudahan itu yang akan meninggalkan kesan besar ke atas kehidupan sosial rakyat AS terutama di kalangan remaja.
Pada masa yang sama, pendatang asing dari negara jiran iaitu Mexico yang setiap hari melepasi sempadan panjang antara dua buah negara itu turut mendapat akses kepada kemudahan kesihatan ini. Mereka tidak membayar cukai tetapi mendapat akses kesihatan, melahirkan anak di AS dan mendapat kewarganegaraan AS.
Satu sistem penjagaan kesihatan AS yang akan ditanggung oleh rakyat AS yang membayar cukai bererti akan wujud satu sistem yang menyamai aspek sosialisme. Rakyat AS akan hilang kemerdekaan mereka, satu aspek yang sebelum ini dihargai oleh semua lapisan masyarakat AS.
Justeru, AS harus mempelajari daripada negara jirannya, Kanada di mana sistem penjagaan kesihatan adalah jauh lebih murah dan saksama. Insurans kerajaan seperti di United Kingdom adalah lebih sesuai di mana penjagaan kesihatan awam dibayar oleh sistem percukaian yang sedia ada. Rakyat AS sering membeli ubat-ubatan di Kanada kerana harganya yang jauh lebih murah (hampir 50 peratus).
Kenapa kos kesihatan murah di Kanada? Ia adalah kerana satu pembeli yang besar iaitu kerajaan akan memaksa harga ubatan menjadi murah dan dengan itu, ia menghalang perbelanjaan berlebihan sekali gus mengelak pembaziran sebagaimana yang berlaku di AS.
Kredibiliti Obama sebagai Presiden AS, selain usaha memerangi ekstremis agama yang mengancam keselamatan negara AS, banyak bergantung kepada kejayaan beliau melaksanakan reformasi penjagaan kesihatan yang dapat memberi perkhidmatan kesihatan yang memuaskan hati semua rakyat AS.
Penerimaan rakyat AS itu akan menentukan kejayaan atau kegagalan akta yang kemudiannya akan menjadi salah satu faktor kemenangan atau kekalahan pihak Demokrat dalam pilihan raya 2010.
PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya yang sedang bercuti sabatikal di Universiti Louisiana State, AS
No comments:
Post a Comment