Tuesday, June 21, 2011

Bush dan China

Makna lawatan Bush ke China




LAWATAN pendek George W. Bush ke China pada bulan ini merupakan lawatan beliau yang ketiga sejak menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2001.
Sememangnya kedua pemimpin negara ini sering bertemu antara satu sama lain sama ada di Washington atau Beijing bagi memastikan hubungan dua hala yang baik sentiasa terjalin.
Masa depan hubungan antara AS dengan China bukan sahaja penting bagi kedua negara tersebut tetapi juga dunia pada abad ke 21 ini.
Seandainya hubungan Timur dengan Barat ini mengambil pendekatan kerjasama atau ``constructive strategic partnership'', maka ia akan meninggalkan kesan positif ke atas perkembangan ekonomi serta politik dunia.
Namun ia akan menjadi sebaliknya jika pendekatan ``persaingan kuasa besar'' diambil.
Apakah yang akan berlaku ke atas perjalanan dunia abad ke-21 seandainya China menjadi saingan kuasa tunggal AS?
Lawatan Bush kali ini jelas mempamerkan pendekatan kerjasama.
Washington ingin memastikan agar Beijing terus bekerjasama dengan AS dalam pelbagai segi khususnya memelihara pengaruh serta kepentingannya di rantau Asia Pasifik serta memastikan China terus bertindak selari dengan kestabilan rantau tersebut.
Negara China telah lama menarik minat AS dari segi sejarah.
Sejak pengeluaran nota diplomatik oleh Setiausaha Negara AS, John Hay pada 1899, AS melihat China bukan sahaja sebagai rakan dagang yang penting tetapi juga sebagai jambatan ekonomi dan politik ke rantau Asia Pasifik.
Walaupun lawatan Bush ke China berakhir dengan baik di mana kedua-dua pihak menyatakan hasrat menjalin hubungan dan penghormatan antara satu sama lain, namun, wujud banyak isu politik dan ekonomi yang membimbangkan negara AS terhadap China.
Antaranya usaha memodenkan ketenteraan yang dibuat oleh China, ketegangan hubungan China-Taiwan dan China-Jepun serta kawalan kewangan yang diamalkan oleh China.
Kawalan kewangan serta keengganan China menguatkuasakan hukuman ke atas pelanggaran hak intelektual telah memberikan negara tersebut kelebihan dari segi perdagangan.
Ramai pentadbir Washington bimbang negara China akan menggunakan pertumbuhan ekonomi serta kekuatan tenteranya sekali gus mengancam kepentingan AS di rantau Asia Pasifik.
Aliran hubungan negara China-AS masa kini merupakan sesuatu yang boleh meninggalkan kesan negatif ke atas kepentingan ekonomi dan keselamatan AS sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak di Washington.
Walau bagaimanapun, sekiranya negara kuasa besar itu cuba menekan atau membendung China daripada meneruskan usaha memodenkan tenteranya, ini boleh membawa tindak balas negatif.
Tekanan dari AS ini mungkin mendorong China untuk lebih agresif membangunkan kekuatan nuklearnya dan secara tidak langsung menggalakkan persaingan senjata di rantau tersebut.
Tekanan serta usaha membendung AS juga akan mendorong China untuk terus memencilkan diri dari sistem antarabangsa.
Atas dasar ini maka Bush semasa lawatannya ke China telah mengambil langkah berjaga-jaga dan menggunakan pertuturan paling diplomatik dalam usahanya mendesak negara tersebut untuk meluaskan amalan kebebasan politik dan beragama.
Bagaimanapun usaha dan perkembangan kapitalisme dan pendemokrasian China berjalan merupakan sesuatu yang amat penting bagi rakyat AS.
Namun, sebelum itu dalam lawatannya ke Jepun beliau telah pun membuat ucapan memuji amalan demokratik negara Taiwan yang berjaya mewujudkan suatu masyarakat China yang demokratik.
Bush juga menekankan bagaimana pertumbuhan ekonomi di Taiwan telah membawa kepada liberalisasi politik serta usaha Taiwan ini boleh menjadi contoh kepada negara China.
Bush juga menekankan hasrat Washington agar isu Taiwan-China dapat diselesaikan dengan lebih baik.
Ucapan ini sudah pasti menyinggung perasaan pemimpin Beijing yang telah lima dekad berjuang menuntut haknya ke atas Taiwan.
Bush juga telah didesak oleh pelbagai pertubuhan dan organisasi di AS untuk mengemukakan pelbagai isu berhubung negara China itu.
Antaranya soal hak asasi dan juga isu Tibet.
Organisasi hak asasi mahu Bush menegur China agar mengambil berat ke atas pelanggaran isu hak asasi di negara tersebut.
Selain itu, Dalai Lama yang menjadi pemimpin agama di Tibet juga mengambil kesempatan memujuk Bush untuk mengemukakan usaha memperbaiki hubungan Tibet dengan China.
Walaupun negara China menuduh Tibet cuba mendapatkan kemerdekaan, pemimpin Tibet itu menafikan serta menekankan keinginan Tibet mendapat autonomi dan kebebasan budaya dari negara China.
Walaupun wujud cabaran-cabaran di atas, Presiden Bush tidak lupa untuk memuji negara China dalam usahanya menjadi hos rundingan enam pihak - AS, China, Jepun, Rusia dan Korea Selatan - mendesak Korea Utara menggantung program nuklearnya dan sokongan Beijing ke atas usaha AS menentang keganasan.
Pada masa ini hubungan AS-China nampak cerah tetapi banyak perkara yang harus diselesaikan di antara kedua buah negara untuk memelihara kepentingan bersama.
Hubungan kompleks antara kedua negara yang mempunyai sejarah yang panjang ini pada bila-bila masa boleh menjadi keruh apabila wujud suatu krisis.
Semakin tinggi pertumbuhan ekonomi negara China semakin besar permintaannya terhadap sumber tenaga.
Dengan sumber tenaga yang terhad di dunia, maka saingan yang akan diberikan oleh China akan menjadi faktor perselisihan di antara dua negara besar tersebut.
Begitu juga dengan krisis dagangan yang semakin tegang di mana wujud hubungan dagangan berat sebelah serta kebergantungan syarikat besar AS ke atas barangan murah dari China untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan sekali gus mengancam industri barangan tempatan.
Walaupun AS berjaya mewujudkan perjanjian tekstil dengan China di mana import pakaian China dihadkan (dan dengan ini melanggar pegangan dagangan bebas AS dan meningkatkan kos pengguna AS) ia hanya dapat membantu pengeluar tekstil AS sehingga tahun 2008.
Cetak rompak hak intelektual AS - muzik, buku, filem - yang berlaku secara berleluasa mengeruhkan lagi keadaan.
Menjelang akhir tahun ini defisit dagangan antara AS dengan China dijangka mencapai AS$200 bilion (RM740 bilion).
Bush mengakhiri lawatan empat negaranya di Asia di Mongolia kelmarin di mana beliau telah memuji negara tersebut sebagai model bagi Asia Tengah kerana berjaya mewujudkan suatu masyarakat yang bebas lagi demokratik.
Adakah ini ditujukan kepada China?
- DR. SHAKILA YACOB ialah pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM).

No comments: