Thursday, June 23, 2011

SOAL JAWAB DI BERITA MINGGU

Soal Jawab BERITA MINGGU: Sejarah perlu diajar bersama subjek sosial

Pengajaran peringkat awal dapat jadi teladan supaya perjuangan tokoh dihargai

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu mencadangkan mata pelajaran sejarah diwajibkan di sekolah rendah. Wartawan Berita Minggu, Rohaniza Idris menemubual pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) yang terbabit dalam penulisan buku teks Sejarah Tingkatan Empat dan Lima, Profesor Madya Dr Shakila Yacob mengenai keperluan mata pelajaran itu.

Komen Dr mengenai cadangan mata pelajaran sejarah bermula daripada usia muda?Itu cadangan yang baik. Amerika Syarikat dan Britain misalnya sudah memperkenalkan subjek ini kepada kanak-kanak, bukan hanya terhad kepada sejarah untuk kanak-kanak tetapi pengajian sosial. Bagi memupuk minat, pendedahan harus bermula pada peringkat umur rendah.
Pada peringkat ini, mereka mudah menerima ilmu dan mudah untuk menanam nilai dan memupuk semangat cintakan negara. Pada masa inilah mereka akan membentuk nilai diri dan perspektif yang akan dibawa dalam kehidupan pada masa depan. Asas yang dibina dan dipupuk pada peringkat rendah ini dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan sejarah dan relevan sejarah dalam kehidupan masa kini.
Ilmu sejarah boleh diaplikasi dalam pelbagai bidang pengajian. Saintis atau ahli geologi umpamanya perlu meneliti kejadian masa lalu supaya berupaya menganalisis atau memahami fenomena alam hari ini. Begitu juga mereka daripada bidang sains sosial perlu meniti sejarah bagi menganalisis dan memahami perkembangan kontemporari atau politik masa kini, ideologi atau identiti sesuatu masyarakat. Sejarah dapat membantu membina dan membangunkan common values dalam usaha melahirkan identiti bersama (shared identity) yang dapat mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu sebagaimana matlamat Wawasan 2020.

Benarkah tidak ada langsung ilmu sejarah yang diajar pada peringkat sekolah rendah dan cadangan menanganinya?
Dalam pendidikan sekolah rendah memang tidak ada mata pelajaran sejarah atau subjek yang menyentuh mengenainya. Sukatan pelajaran sejarah bermula pada tahap menengah rendah iaitu pada Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima dengan penumpuan adalah kepada Sejarah Malaysia.
Penumpuan pengajaran sejarah tidak harus kepada sejarah negara saja. Ia tidak bererti kita mengetepikan kepentingan sejarah negara. Mata pelajaran sejarah harus diperluaskan kepada sejarah dunia. Pada peringkat awal, pelajar boleh diajar menghargai tamadun yang dibina sejak awal kehidupan manusia.
Pelajar harus memahami kepelbagaian yang wujud di dunia dan menghormati kepelbagaian itu dan sejarah dapat mengajar kita memahami kekayaan budaya yang wujud di dunia. Dengan wujudnya fenomena globalisasi dan semakin sempitnya dunia, maka, keperluan untuk mempelajari dan memahami sejarah dunia ini amat penting dalam membina insan yang menyeluruh.
Saya cadangkan diambil satu pendekatan bersepadu dengan merombak atau menggantikan mata pelajaran sivik dan kajian tempatan dalam kurikulum sekolah rendah sekarang dan digantikan dengan pengajian sosial. Pengajian sosial adalah satu subjek yang mengkaji masyarakat, termasuk sejarah, sivik, geografi dan ekonomi.
Pendekatan bersepadu ini mengintegrasikan pengetahuan sejarah dengan geografi, ekonomi dan sebagainya bertujuan menyediakan pelajar memahami komuniti dan masyarakat mereka, negara dan dunia yang mereka tinggal supaya mampu menjadi warga negara dan warga dunia yang bertanggungjawab di mana mereka dapat sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan negara dan dunia kerana kita kini tinggal dalam satu global village. Harus diingatkan bahawa komponen sejarah menjadi komponen utama di sini.
Pengajian sosial ini sudah lama diajar di Barat dan di kalangan kanak-kanak peringkat prasekolah dan tadika bertujuan melahirkan warga negara prihatin dalam segala segi, peka akan kepentingan masyarakat, politik dan mempamerkan sifat/sikap menghormati kepentingan awam.
Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan mata pelajaran ini pada 2010 sesuai dengan Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah dan akan dimasukkan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013. Apakah silibus sesuai dan usia pengenalan?
Sejarah sebenarnya mampu mengukuhkan proses pembelajaran asas pelajar. Sejarah membina kemahiran berfikir, menganalisis, mengkritik, menghujah, menyelidik, berkomunikasi dan sebagainya yang sememangnya tidak wujud dalam kurikulum pendidikan kita sehingga kita melahirkan pelajar robot yang hanya pandai menghafal fakta tetapi tidak boleh berkomunikasi dan berfikir dengan baik. Lebih teruk tiada keyakinan langsung untuk berhujah atau mempertahankan pegangan atau prinsip yang mereka perjuangkan.
Pada saya, usia terbaik diajar sejarah adalah pada usia lapan tahun tetapi pembelajaran perlu menarik dan menimbulkan minat mereka. Jika peringkat menengah baru hendak bermula, bermakna kita sudah terlewat. Pada saya, dalam usia remaja, sudah ada nilai yang terbentuk dan sebati dengan jiwa mereka, jadi sukar menanamkan minat terhadap sejarah.
Bagaimana mata pelajaran sejarah ini boleh membantu generasi muda memahami perjuangan dan pembangunan negara?
Sejarah menyediakan pelbagai pengajaran yang dapat dijadikan teladan dan panduan hidup. Ini membina ciri kemanusiaan yang lebih cemerlang, menanam perasaan simpati dan empati supaya perjuangan tokoh awal dihargai dan dikenang dan kekal dalam kesedaran pelajar supaya dapat merujuk kepada nilai perjuangan insan yang murni menjadi ikutan dan teladan. Tokoh sejarah boleh dijadikan role model yang boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk berjaya.
Untuk mewujudkan pembuat polisi yang baik kita perlu melihat kepada pembentukan polisi yang awal, kebaikan dan kegagalannya, ini diperoleh daripada sejarah, belajar daripada kesilapan dan tidak mengulanginya.
Contoh terbaru, formula Malaysia atau orang kata formula Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam menangani kegawatan ekonomi nampaknya diterima Amerika Syarikat, pada waktu ini. Ia bermakna mereka belajar daripada sejarah yang dibentuk Malaysia.
Adakah kita sudah terlewat dan perlukah mata pelajaran ini diwajibkan?
Masih tidak terlambat. Di mana-mana di dunia mata pelajaran sejarah adalah subjek yang penting. Tidak kira sama ada kita sudah lebih 200 atau 300 tahun merdeka.
Perlu diwajibkan, kalau tidak ramai yang tidak akan mengambil mata pelajaran sejarah kerana menganggap ia tidak penting. Ada yang dipengaruhi oleh ibu bapa yang buta sejarah dan tidak nampak kepentingan sejarah kerana semata-mata mengejar mata pelajaran yang boleh menjanjikan pulangan yang besar pada masa depan. Mata pelajaran sejarah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sistem pendidikan serta mampu melahirkan pelajar yang holistik.
Apakah ketiadaan pengajaran sejarah selama ini memberikan kesan kepada generasi muda sekarang yang 'buta' sejarah?
Ya, saya bersetuju, sifat buta sejarah ini wujud kerana pertama, pengenalan pelajar kepada sejarah pada masa kini bermula pada usia agak lewat menyebabkan ramai pelajar tidak memahami apatah lagi menghargai sumbangan sejarah dalam hidup mereka.
Sudah tentu, dengan ini mereka tidak memahami atau menghargai sumbangan atau persefahaman yang diwujudkan oleh pemimpin terdahulu. Bagaimana wujudnya Malaysia sebagaimana adanya hari ini adalah hasil usaha pemimpin awal negara? Mereka tidak tahu untuk memahami perkembangan masa kini atau untuk melihat ke depan mereka harus belajar daripada sejarah.
Kedua, pendekatan sejarah oleh guru juga salah satu faktor yang menyumbang kepada ketiadaan minat pelajar mendalami atau menghargai sejarah.
Apakah cadangan Dr supaya keadaan ini dapat diperbetulkan?
Pertama, adalah satu cadangan yang baik mata pelajaran sejarah diperkenalkan kepada peringkat rendah tetapi sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini, ia mengambil pendekatan bersepadu melalui subjek pengajian sosial.
Kedua, harus ada perubahan dalam pedagogi. Kaedah pengajaran yang lapuk dan tidak menarik menyebabkan pelajar bosan. Perspektif atau anggapan bahawa sejarah itu hanyalah satu subjek yang memerlukan seseorang itu menghafal fakta patut diubah. Pendekatan interaktif harus ditekankan.
Pelajar contohnya, ingin mengetahui dan mengalami dan menyelami peristiwa sejarah itu sendiri dan ia melahirkan emosi dan 'sense of attachment' kepada warisan dan legasi sejarah. Dengan itu, pendekatan pengajaran sejarah haruslah menarik, dengan melawat tempat bersejarah, penggunaan visual seperti gambar lama, kartun, simbol dan sebagainya amat penting dalam memupuk minat terhadap sejarah. Jika diperkenalkan pada tahap yang rendah, mata pelajaran sejarah ini harus menarik persembahannya.
Ketiga, pembinaan kurikulum yang menarik, efektif dan berkesan serta bersifat 'interdisciplinary' kepada pelajar sekolah rendah. Kurikulum yang terkini selari dengan tuntutan dan perkembangan semasa ini harus bersifat inklusif dan bukan eksklusif supaya sumbangan setiap individu, komuniti dan masyarakat pada peringkat negara dan dunia akan dihargai. Pembinaan kurikulum sejarah untuk sekolah rendah harus ada kerjasama pelbagai pihak seperti kementerian, pendidik di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta pihak swasta.
Keempat, penggunaan teknologi baru seperti ICT. Ini menjadi amalan sejarawan Barat dan bagaimana mereka mengintegrasi sejarah dengan alatan media seperti komputer, internet, pemain cakera padat (CD-ROM), video, kamera digital dan papan kenyataan interaktif serta blog.

Hillary Clinton Dan Pilihan Raya Amerika Syarikat 2008



Oleh Dr Shakila Yacob

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pilihan raya Amerika Syarikat 2008 merupakan sesuatu yang menarik untuk diikuti kerana Parti Demokrat cuba mencipta sejarah baru terutama berhubung emansipasi (pembebasan) wanita dan rakyat Afrika di negara itu.

Memerhatikan kedudukan Barack Obama yang jelas mula mendahului Hillary Clinton apabila meraih kemenangan demi kemenangan dalam 11 `primaries' (pemilihan perwakilan bagi memilih calon presiden) sejak Super Tuesday pada 5 Feb lalu.

Manakala Clinton pula gagal meraih sebarang kemenangan.

Dengan ini Clinton mula bimbang dan mengetahui bahawa beliau perlu menang besar dalam kedua-dua `primary' yang dianggap penting iaitu di Texas dan Ohio yang akan diadakan pada 4 Mac 2008.

Kedua-dua negeri ini membawa pencalonan 384 delegasi dan ini merupakan satu jumlah yang besar yang harus direbut oleh kedua-dua calon untuk memperkukuhkan kedudukan masing-masing.

Setakat ini Obama mendahului Clinton dengan 1217 berbanding 1184 undi perwakilan. Untuk menjadi calon Presiden Parti Demokrat seseorang calon perlu mendapat 2,025 undi.

Mampukah Clinton meraih kemenangan besar di kedua-dua primary di Ohio dan Texas bagi mengukuhkan kedudukan beliau dalam pencalonan Presiden Parti Demokrat?.

Sekiranya kalah, adakah beliau akan menamatkan kempen pencalonan beliau?.

Bagaimanakah Clinton boleh mempertahankan kedudukannya?.

Seorang wanita gergasi yang sering disamakan dengan watak Lady Macbeth dalam karya Shakespeare, Clinton, seorang yang tidak mudah menyerah kalah. Beliau akan terus gigih mempertahankan kempen beliau. Dengan ini sekiranya persaingan sengit ini berterusan, maka beliau masih boleh menaruh harapan kepada undi superdelegates.

PERANAN SUPERDELEGATES

Dalam satu sistem pilihan calon yang kompleks ini, kita perlu memahami siapa dan apakah peranan superdelegates.

Superdelegates merujuk kepada perwakilan parti demokrat yang terdiri daripada ahli parti terutama mereka yang memegang jawatan senator, ahli Dewan Perwakilan, gabenor negeri dan juga bekas Presiden dan Naib Presiden dari Parti Demokrat seperti Bill Clinton, Al-Gore, Jimmy Carter dan sebagainya.

Pengesahan atau sokongan superdelegate yang ternama sudah pasti meninggalkan pengaruh besar ke atas pemilihan calon perwakilan biasa atau superdelegates yang lain.

Amalan parti demokrat yang diperkenalkan pada lewat tahun 1970-an, superdelegates mewakili hampir 1/5 atau 20 peratus daripada undi perwakilan untuk calon Presiden Parti Demokrat.

Terdapat 4,049 perwakilan yang dijadualkan menyertai Konvensyen Kebangsaan Parti Demokrat 2008 dari 25-28 Ogos 2008 di Denver, Colorado.

Jumlah ini tidak mengambil kira undi perwakilan daripada Florida dan Michigan kerana kedua-dua buah negeri ini terkeluar daripada jadual primary yang telah disusun.

Daripada jumlah ini 3,253 adalah perwakilan yang dipilih melalui primary atau caucus yang diadakan manakala 796 merujuk kepada perwakilan atau superdelegates.

Tujuan diwujudkan perwakilan sebegini adalah untuk menimbang tara undi rakyat supaya parti masih memegang kuasa menentukan siapa yang layak dilantik mewakili parti dalam pilihan raya Presiden.

Superdelegates ini walau bagaimanapun bebas mengundi. Mereka tidak terikat dengan calon presiden yang dipilih melalui primary atau caucus mahupun undi popular sesebuah negeri.

SUPERDELEGATES BEBAS MENGUNDI

Mereka bebas membuat pilihan sendiri merujuk kepada calon yang mereka rasa paling layak atau mungkin memilih calon yang dapat memenuhi kepentingan politik peribadi masing-masing.

Ada di kalangan superdelegates ini yang telahpun menyatakan pendirian mereka menyokong calon presiden pilihan raya 2008 sebelum sebarang primary atau caucus diadakan.

Sekiranya calon mereka gagal meneruskan pertandingan maka perwakilan ini boleh menukar sokongan kepada calon lain atau sekiranya mereka mendapati calon yang mereka sokong tidak popular atau muncul sebarang kontroversi mereka boleh memilih untuk menyokong calon lain.

Ada juga superdelegates yang memilih untuk menunggu sehingga konvensyen Parti Demokrat sebelum membuat keputusan pilihan calon mereka.

Setakat ini superdelegates ini ramai memihak kepada Clinton sehingga Clinton masih mampu menyaingi Obama disebabkan undi yang datang dari superdelegates.

Tetapi Clinton semakin bimbang kerana kekalahan beliau yang ketara baru-baru ini menyebabkan ramai superdelegates yang sebelum ini memihak kepada beliau telah mula mengubah pendirian dan menyokong Obama.

Hillary Clinton umpamanya sudah pasti menggunakan jaringan dan pengaruh suaminya Bill Clinton untuk mendapatkan sokongan beberapa superdelegates memandangkan beliau pernah menjadi Presiden Amerika sebelum ini.

Sudah tentu mereka yang setia kepada Obama di Illinois (memandangkan beliau senator dari sana) akan mengundi untuk beliau. Begitu juga undi New York pergi kepada Clinton. Yang akan menjadi tumpuan adalah mereka yang masih belum membuat keputusan serta mereka yang duduk di atas pagar.

SISTEM PEMILIHAN KOMPLEKS

Pemilihan pencalonan Presiden merupakan sesuatu yang kompleks dalam politik Amerika.

Para pengasas Amerika dalam keghairahan mereka memastikan wujudnya ciri-ciri demokrasi dan sistem pemilihan yang telus sebaliknya mewujudkan satu sistem yang begitu kompleks yang masih dapat dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

Contohnya politik berpihak serta kronisme menjadi amalan apabila wujud persaingan sengit sepertimana dalam kes pencalonan Obama dan Clinton.

Kedua-dua pihak dalam usaha memenangi hati superdelegates ini akan mengambil pelbagai langkah dan membelanjakan wang yang banyak sehingga kadangkala usaha ini melanggar etika dan batasan politik.

Persoalannya mampukah Hillary Clinton terus mempertahankan status atau kedudukannya di kalangan superdelegates dan seterusnya memberi beliau tiket untuk terus berkempen dan berjaya meraih pencalonan Presiden Parti Demokrat 2008?.

Penulis ialah Profesor Madya di Jabatan Sejarah merangkap Timbalan Pengarah, Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan, Universiti Malaya.