Showing posts with label POLITIK AMERIKA SYARIKAT. Show all posts
Showing posts with label POLITIK AMERIKA SYARIKAT. Show all posts

Thursday, June 23, 2011

Sentimen Perkauman dI AS

Mangsa Katrina dedah sentimen perkauman AS



Pada 29 Ogos 2005, ribut taufan Katrina yang melanda Teluk Mexico di Amerika Syarikat (AS) telah membawa pelbagai kemusnahan ke atas kawasan-kawasan yang dilaluinya terutamanya Louisiana, Alabama dan Mississippi.
Kemusnahan paling teruk berlaku ke atas bandar raya New Orleans di Louisiana di mana sehingga kini jumlah yang terkorban masih lagi menjadi tanda tanya. Apa lagi jumlah kerugian harta benda yang anggarannya pada waktu ini mencecah AS$100 bilion.
Bagaimanapun, timbul persoalan yang menjadi tanda tanya mengenai peranan yang dimainkan oleh pihak berkuasa AS.
Persoalan penting yang muncul akibat tragedi yang menunggu masa untuk berlaku ini adalah sama ada tindak balas dari penguasa tempatan, negeri dan persekutuan berlaku dengan segera dan sama ada mereka mempunyai sumber yang mencukupi untuk mengatasi krisis ini.
Jelas ketiga-tiga pihak ini sama-sama bersalah kerana tidak bersedia serta bertindak terlalu lambat untuk menghadapi dan menangani krisis ini. Malahan, tiada langsung koordinasi di kalangan ketiga-tiga pihak semasa dan selepas bencana tersebut.
Walaupun amaran demi amaran telah pun dibunyikan sebelum ini oleh para penyelidik serta cendekiawan mengenai New Orleans yang mudah `diserang' kerana berada di bawah paras laut dan dengan ini terbuka kepada ancaman banjir akibat ribut taufan yang sering melanda kawasan sekitar tetapi tiada sebarang langkah persediaan awal yang diambil bagi menghadapi kemungkinan ini.
Walaupun Datuk Bandar New Orleans, Ray Nagin telah mengeluarkan arahan pemindahan wajib pada 28 Ogos namun ramai penduduk enggan berganjak dan terus mendiami bandar raya tersebut sama ada kerana terpaksa atau disebabkan oleh faktor-faktor lain.
Namun, ramai di kalangan mereka terutama golongan miskin, tua dan tidak berupaya gagal meninggalkan bandar raya tersebut kerana tidak mempunyai pengangkutan sendiri atau sumber kewangan yang mencukupi untuk menaiki pengangkutan lain.
Banci Penduduk AS tahun 2000 mencatatkan 27 peratus penduduk New Orleans atau 120,000 orang tidak mempunyai pengangkutan sendiri dan pada masa yang sama bandar raya ini mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi di AS iaitu 38 peratus.
Apakah usaha-usaha yang diambil oleh pihak berkuasa untuk menyediakan kemudahan pengangkutan kepada golongan tersebut dalam keadaan sebegini? Walaupun sistem amaran cuaca yang tercanggih di dunia wujud di AS tetapi jelas ia tidak dipergunakan sepenuhnya oleh penduduk New Orleans ataupun pihak yang bertanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa manusia.
Tiada suatu sistem pemindahan yang tersusun dan teratur wujud di bandar raya tersebut bagi menghadapi bencana sebegini. Terdapat ramai juga yang mampu tetapi enggan meninggalkan bandar tersebut kerana mengambil ringan arahan dan mungkin juga kerana pengalaman mereka sebelum ini.
Ramai juga mula mempersoalkan sama ada wajar New Orleans dibina semula memandangkan lokasinya yang berada di bawah paras laut serta potensi berlakunya ribut taufan pada masa depan.
Persoalan kedua merujuk faktor kaum dan kelas di AS. Adakah faktor ini mempengaruhi layanan tidak sama rata kepada mangsa krisis yang rata-ratanya merupakan rakyat AS berkulit hitam.
Mengikut laporan Banci Penduduk AS itu lagi, rakyat kulit hitam membentuk hampir 70 peratus penduduk bandar tersebut berbanding dengan hanya 28 peratus kulit putih serta dua peratus lagi penduduk Asia, Hispanics dan lain-lain. Ini kerana sejak tahun-tahun 1950-an berlaku white flight di mana rakyat Amerika kulit putih dari kelas atasan dan menengah meninggalkan pusat bandar yang rata-rata diduduki oleh golongan bukan kulit putih dan tinggal di pinggir-pinggir bandar.
Terdedah
Pelbagai pertubuhan kulit hitam melahirkan rasa marah dan tidak puas hati kepada usaha pemindahan yang lembap dan mengaitkannya dengan faktor diskriminasi terhadap mereka yang rata-ratanya berada di bawah paras kemiskinan dan tinggal di kawasan yang paling rendah dan terdedah kepada bencana banjir.
Kumpulan ini juga tidak puas hati dengan rujukan `pelarian' yang diguna-kan oleh stesen-stesen TV kepada mangsa tersebut. Mereka juga kecewa dengan rakaman yang menunjukkan rompakan dilakukan oleh golongan berkulit hitam.
Persoalan ketiga merujuk sama ada Perang di Iraq merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kekurangan kakitangan, peralatan dan lain-lain sumber yang boleh membantu semasa dan selepas krisis berlaku.
Pemotongan belanjawan tempatan yang berlaku berulang kali dalam pentadbiran Bush ekoran perbelanjaan peperangan di Iraq menyebabkan tiada sumber kewangan untuk mengukuhkan atau meneruskan usaha-usaha kawalan banjir sehingga membawa kepada runtuhan tembok penahan banjir yang akhirnya membanjiri 80 peratus bandar raya New Orleans.
Pada masa yang sama, pentadbiran Bush juga dipersoalkan kerana enggan menerima bantuan antarabangsa pada peringkat awal dan dengan ini meletakkan maruah negara mengatasi nyawa rakyatnya.
Sewaktu berlakunya tragedi 11 September 2001, Bush dengan segera terbang ke Washington DC dan New York memberi sokongannya. Tetapi dalam peristiwa ini, Bush gagal ujian Presidensinya apabila tidak menghentikan percutiannya dan bertindak segera ke atas bencana alam yang berlaku di negaranya sendiri.
Malahan New York Times dalam laporannya mengkritik ucapan Bush pada 1 September sebagai ``bersahaja sehingga ke titik kelalaian.'' Beliau juga dituduh mengambil kesempatan mencari populariti semasa usaha bantuan dijalankan. Jelas tragedi 11 September tidak mengajar pentadbiran Bush atau pihak berkuasa tempatan untuk menghadapi krisis atau darurat yang berlaku baik disebabkan bencana semula jadi atau serangan keganasan.
- Dr. Shakila Yacob ialah pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

Tuesday, June 21, 2011

Akta Imigrasi AS

Kesan pindaan Akta Imigrasi AS ke atas jiran




AKTA Pembaharuan Imigrasi telah diluluskan oleh Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS). Akta yang akan menjadikan 11 juta pendatang tanpa izin yang ada di AS pada hari ini dianggap sebagai penjenayah telah membawa kepada bantahan, dilancarkan di beberapa bandar raya besar antaranya ialah Los Angeles, Chicago dan ibu kota Washington.
Di Los Angeles umpamanya lebih 500,000 telah melancarkan protes menentang perundangan ketat terhadap pendatang tanpa izin.
Kumpulan ini sebaliknya menyokong hak imigrasi dan layanan yang lebih baik kepada imigran.
Namun, pihak Senat yang tunduk kepada tuntutan syarikat korporat dan White House serta lobi oleh pelbagai kumpulan etnik selain kesatuan sekerja bagi mendapatkan tenaga buruh murah, akhirnya telah meluluskan perundangan itu.
Akta terbabit akan memberi peluang kepada pendatang tanpa izin ini mendapatkan kerakyatan.
Kumpulan ini juga rata-rata berpandangan golongan imigran ini merupakan satu faedah kepada negara AS kerana mereka memainkan peranan serta memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi AS.
Antara yang gembira dengan keputusan Senat ini termasuklah pemilik restoran, kumpulan-kumpulan yang berkongsi kepentingan terutama merujuk kepada sektor pertanian, para Demokrat dan sudah tentu kumpulan-kumpulan pro-imigran termasuklah para imigran sendiri, terutama dari Mexico, yang telah lama menuntut agar mereka diberi peluang mendapat kerakyatan AS.
Tindakan Senat telah menimbulkan debat sama ada keputusan yang dibuat akan membantu atau memburukkan lagi keadaan sosioekonomi masyarakat AS.
Ramai juga daripada kalangan ahli Kongres dan rakyat AS yang mempersoalkan kemenangan hak imigran ini.
Ada juga yang mempersoalkan sama ada AS akan membiarkan kumpulan pendatang ini menentukan polisi dan masa depan AS.
Mereka juga menekankan bahawa kehadiran beramai-ramai pendatang tanpa izin akan membelahbahagikan masyarakat dan negara AS terutama sekiranya mereka tidak dapat mengasimilasi diri dengan cara hidup rakyat AS yang lain.
Tidak kurang juga yang menghujahkan bahawa dengan menghalalkan pendatang tanpa izin maka kawalan yang lebih baik dapat dilakukan.
Namun apa yang jelas apabila pihak Kongres pada tahun 1986 memberi pengampunan kepada lebih tiga juta pendatang tanpa izin dan selepas itu membenarkan hampir sejuta imigran masuk ke AS secara sah setiap tahun, jumlah kehadiran pendatang tanpa izin ini kian meningkat.
Hari ini bilangan pendatang telah mencapai angka 11 juta.
Salah satu puncanya adalah kerana imigran yang sah akan memberi perlindungan dan bantuan kehidupan kepada pendatang tanpa izin ini.
Walaupun wujud imigran mahir dan separuh mahir dari Korea Selatan, China, India umpamanya, rata-rata pendatang tanpa izin ini adalah daripada kalangan mereka yang kurang mahir, tiada pendidikan dan miskin.
Paling ketara adalah imigran dari Mexico yang setiap hari berjaya menembusi sempadan AS-Mexico yang kurang ketat kawalan keselamatannya.
Mengikut Robert Samuelson, wartawan Washington Post, polisi imigrasi AS merupakan satu resipi mengimport kemiskinan.
Kerana hari ini lebih 162 peratus golongan Hispanik yang pendapatannya berada di bawah garis kemiskinan kerajaan AS iaitu AS$19,300 atau RM72,000 bagi empat ahli keluarga.
Walaupun begitu rata-rata mereka masih mempunyai pekerjaan (kerana sanggup menerima upah yang lebih rendah dari pasaran) serta ramai juga daripada kalangan mereka yang kemudiannya memulakan perniagaan sendiri dan dengan ini menyediakan ruang pekerjaan kepada yang lain.
Ini berbeza dengan situasi rakyat kulit hitam AS.
Impak daripada persaingan mendapatkan pekerjaan kurang mahir dengan upah yang rendah ini meninggalkan kesan nyata ke atas rakyat kulit hitam. Mereka ini terus dihimpit kemiskinan.
Laporan New York Times menyebut, peratus tenaga muda kulit hitam yang tidak mempunyai pekerjaan meningkat dan menjelang tahun 2004, 72 peratus pelajar kulit hitam tercicir daripada pendidikan menengah atas berbanding dengan 34 peratus kulit putih dan 19 peratus golongan Hispanik.
Pada tahun 1978, Senator Edward Kennedy secara tepat mengenal pasti salah satu masalah besar yang akan menghantui rakyat AS iaitu merujuk kepada satu kelas bawahan kekal dalam masyarakat negara itu.
Kelas ini merujuk kepada golongan miskin di bandar. Hari ini tahap kemiskinan yang tinggi tertumpu di bandar kulit hitam seperti antaranya New Orleans (sebagaimana dimanifestasikan dalam kes ribut taufan Katrina), Philadelphia, Cleveland, Atlanta, dan Louisville. Berbeza dengan negara Eropah di mana tahap kemiskinan tertinggi tertumpu di kawasan-kawasan yang didiami imigran.
AS sebuah negara imigran terbentuk oleh pelbagai bangsa dari seluruh dunia menjanjikan pencapaian The American Dream pada sebahagian besar golongan imigran tetapi tidak kepada rakyat kulit hitamnya sendiri.

Thursday, June 09, 2011

'Hubungan baru' AS dan dunia Islam


'Pulang kampung nih!' Ia antara kata-kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama yang menarik perhatian audiens sebelum memulakan ucapannya di Universitas Indonesia di Jakarta, Indonesia baru-baru ini. Ramai yang menjangka lawatan ini memandangkan Obama mempunyai sejarah kehidupan kanak-kanak selama empat tahun di negara itu. Lawatan Obama ke Indonesia sudah tentu mempunyai objektif yang jauh lebih penting.

Pentadbiran Obama memilih Indonesia sebagai pentas (platform) kedua selepas Kaherah, Mesir untuk mendampingi negara Islam. Di Kaherah, Obama cuba mencari satu 'permulaan baru' dalam hubungan AS dengan dunia Islam. Dalam ucapan tersebut, beliau berjanji untuk bergerak lebih jauh dari isu keganasan dan keselamatan dan cuba mencari isu-isu kepentingan bersama yang dapat memupuk satu ikatan yang baik antara negara AS dan penduduk Muslim dunia seramai 1.57 bilion itu. Obama menekankan perkaitan antara pembangunan, demokrasi dan kepercayaan agama dan menganjurkan Indonesia sebagai salah satu contoh baik bagi negara Islam lain di dunia.

Dalam ucapan itu juga, Obama mengatakan negara AS akan sentiasa menyokong kebebasan dan demokrasi serta hak rakyat untuk mentadbir dan membentuk kerajaan mereka sendiri. Obama menekankan kejayaan Indonesia dalam membina satu sistem demokrasi yang kukuh melalui mekanisme timbang dan tara (checks and balances) yang baik, masyarakat madani yang dinamik, parti politik dan kesatuan sekerja, media yang berkembang baik, manakala rakyat yang peka akan memastikan kesinambungan sistem demokrasi di Indonesia.

Sama seperti di Kaherah, ucapan Obama di Indonesia bertujuan menunjukkan negara AS di bawah pentadbirannya sedang cuba sedaya upaya untuk mendapatkan kerjasama negara Islam sederhana di dunia Islam. Usaha ini selaras dengan agenda ataupun strategi mendampingi dunia Islam yang juga sebahagian daripada diplomasi 'lembut' Obama di mana negara-negara seperti Indonesia dan juga Malaysia ibarat jambatan yang menghubungkan, sekali gus merentasi batasan Timur-Barat yang wujud selama ini.

Pada masa yang sama, Obama cuba menutup kegagalan AS menangani permasalahan di Palestin yang jelas tidak ada sebarang kemajuan ke arah proses perdamaian yang diusahakan oleh pentadbirannya selama ini.

Justeru, berbanding dengan Bush, adalah jelas pentadbiran Obama lebih sensitif dengan persepsi dan pandangan dunia Islam terhadap AS. Dalam kata lain, ia merupakan satu usaha 'perhubungan awam' di peringkat antarabangsa dengan fokus yang menjurus kepada dunia Islam.

AS cuba menjalin hubungan baik dengan negara-negara Islam sederhana dan dalam kalangan negara-negara itu, Indonesia, Turki dan Mesir merupakan tiga negara utama yang menarik perhatian kerajaan AS untuk memperbaiki imej AS di mata dunia Islam.

Kepentingan negara Indonesia bukan sahaja disebabkan saiz penduduk Islamnya, tetapi juga kedudukan geopolitiknya yang strategik.

Turki pula kerana keahliannya yang lama di dalam perikatan tentera NATO (North Atlantic Treaty Organisation) iaitu sejak 1951, dua tahun selepas NATO ditubuhkan dan juga bersifat agak sekular.

Manakala, Mesir pula merupakan negara terbesar di Asia Barat dan mempunyai latar belakang sebagai pemimpin nasionalisme Arab (semasa zaman Gamal Abdel Nasser) dan peranannya menerajui Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang mewakili hemisfera Selatan, selain daripada negara utama dalam konflik Arab-Israel.

Jelas saiz dan pengaruh sesebuah negara merupakan pertimbangan yang penting dalam hubungan luar AS. Dalam konteks Asia Tenggara, kenapa Obama memilih untuk melawat Indonesia dan bukannya Malaysia yang juga merupakan negara Islam sederhana? Selain daripada saiz negara Indonesia yang lebih besar berbanding dengan Malaysia, adalah penting bagi AS memelihara hubungannya dengan Indonesia bagi tujuan memelihara kepentingan serantau strategik AS.

Semasa Perang Dingin yang berlangsung sepanjang tempoh 1947 hingga 1991, penting bagi AS memastikan Indonesia tidak terlibat dengan blok Soviet. Disebabkan Tanah Melayu berada di bawah rakan sekutunya iaitu British, maka Malaysia dianggap selamat daripada ancaman Soviet.

Selain itu, dalam tempoh masa tersebut, Indonesia merupakan sumber tenaga minyak dan gas yang penting termasuk sumber asli yang lain. Tambahan pula, Indonesia dikurniakan dengan akses yang luas dan lebar bagi Selat Melaka. Lokasi ataupun kawasan ini sentiasa menarik perhatian AS kerana Selat Melaka merupakan satu-satunya jalan perkapalan yang terpenting. Banyak kapal kargo yang melalui Selat Melaka, dan AS juga bimbang atau lebih tepat lagi obses seandainya komponen atau bahan nuklear dibawa melalui selat yang paling sibuk dan terpanjang di dunia ini.

Justeru, sudah tentu AS menganggap Indonesia sebagai salah satu rakan penting di rantau ini. Ini amat jelas. Misalnya, walaupun Indonesia berada di bawah rejim tentera Suharto dan tidak mengamalkan demokrasi, namun AS masih terus menyokong Indonesia.

Malahan, semasa era konfrontasi Indonesia dengan Malaysia antara 1963 hingga 1966, pentadbiran AS di bawah Presiden Lyndon B Johnson terus memberi bantuan kepada Indonesia dengan alasan negara penerima bantuan itu menjadi benteng anti-komunis walaupun dibantah oleh pemimpin Malaysia ketika itu yang merasa terkilan dengan tindakan AS.

Pada pasca 11 September, Indonesia terus mendapat perhatian istimewa negara AS. Ini disebabkan bahaya kumpulan Jihad yang terus berkembang di Indonesia. Ia dapat dilihat dalam peristiwa pengeboman di Bali dan Jakarta. Pertimbangan ini juga terus mendominasi hubungan luar AS dan Indonesia.

Bagi Malaysia pula, selepas kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, hubungan dengan AS berjalan lancar. Persahabatan ini diperkukuhkan oleh pendirian Malaysia yang anti-komunis dan Malaysia juga merupakan sumber penting bahan strategik terutama getah dan timah. Persahabatan ini berterusan sehingga era Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila wujud sedikit pertelingkahan politik dan ekonomi.

Dalam tempoh pasca 11 September, minat AS terhadap Malaysia tertumpu kepada usaha untuk mengelak senario pertumbuhan kumpulan Jihad selepas berlaku beberapa peristiwa keganasan melibatkan Malaysia. Sebenarnya, AS di bawah pentadbiran Obama dengan sewenang-wenangnya menganggap rantau Asia Tenggara sebagai medan terrorisme yang kedua (second front). Di samping itu, terdapat beberapa peristiwa yang mendapat perhatian kuasa besar itu seperti pemerdagangan manusia dan aktiviti 'money laundering', selain kononnya Malaysia terlibat dalam jaringan percambahan nuklear.

Sekiranya diperhatikan hubungan AS dengan Malaysia dalam konteks masa kini di bawah pentadbiran Najib, Malaysia sebenarnya memerlukan AS dan bukan sebaliknya. Ini terutamanya bagi membantu Najib mengukuhkan kedudukan politik dan menaikkan imej tempatan serta antarabangsa beliau.

Hubungan AS dan Malaysia mengikut perspektif AS akan berterusan atas dasar 'memerangi keganasan'. Secara keseluruhan, hubungan AS dan Malaysia di era Najib lebih memuaskan berbanding era Mahathir.

Dalam konteks ASEAN, adalah normal bagi Indonesia mendahului Malaysia dari segi hubungan dengan AS. Maka sebab itulah Obama untuk tahun 2010 melangkaui Malaysia dalam lawatannya ke Asia. Untuk tahun 2011, mungkinkah Obama akan membuat lawatan rasmi ke Malaysia?

Prof Madya Dr. Shakila Yacob ialah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya yang kini bercuti sabatikal di Louisiana State University, Baton Rouge, Louisiana