Showing posts with label George W. Bush. Show all posts
Showing posts with label George W. Bush. Show all posts

Tuesday, June 21, 2011

Bush dan China

Makna lawatan Bush ke China




LAWATAN pendek George W. Bush ke China pada bulan ini merupakan lawatan beliau yang ketiga sejak menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2001.
Sememangnya kedua pemimpin negara ini sering bertemu antara satu sama lain sama ada di Washington atau Beijing bagi memastikan hubungan dua hala yang baik sentiasa terjalin.
Masa depan hubungan antara AS dengan China bukan sahaja penting bagi kedua negara tersebut tetapi juga dunia pada abad ke 21 ini.
Seandainya hubungan Timur dengan Barat ini mengambil pendekatan kerjasama atau ``constructive strategic partnership'', maka ia akan meninggalkan kesan positif ke atas perkembangan ekonomi serta politik dunia.
Namun ia akan menjadi sebaliknya jika pendekatan ``persaingan kuasa besar'' diambil.
Apakah yang akan berlaku ke atas perjalanan dunia abad ke-21 seandainya China menjadi saingan kuasa tunggal AS?
Lawatan Bush kali ini jelas mempamerkan pendekatan kerjasama.
Washington ingin memastikan agar Beijing terus bekerjasama dengan AS dalam pelbagai segi khususnya memelihara pengaruh serta kepentingannya di rantau Asia Pasifik serta memastikan China terus bertindak selari dengan kestabilan rantau tersebut.
Negara China telah lama menarik minat AS dari segi sejarah.
Sejak pengeluaran nota diplomatik oleh Setiausaha Negara AS, John Hay pada 1899, AS melihat China bukan sahaja sebagai rakan dagang yang penting tetapi juga sebagai jambatan ekonomi dan politik ke rantau Asia Pasifik.
Walaupun lawatan Bush ke China berakhir dengan baik di mana kedua-dua pihak menyatakan hasrat menjalin hubungan dan penghormatan antara satu sama lain, namun, wujud banyak isu politik dan ekonomi yang membimbangkan negara AS terhadap China.
Antaranya usaha memodenkan ketenteraan yang dibuat oleh China, ketegangan hubungan China-Taiwan dan China-Jepun serta kawalan kewangan yang diamalkan oleh China.
Kawalan kewangan serta keengganan China menguatkuasakan hukuman ke atas pelanggaran hak intelektual telah memberikan negara tersebut kelebihan dari segi perdagangan.
Ramai pentadbir Washington bimbang negara China akan menggunakan pertumbuhan ekonomi serta kekuatan tenteranya sekali gus mengancam kepentingan AS di rantau Asia Pasifik.
Aliran hubungan negara China-AS masa kini merupakan sesuatu yang boleh meninggalkan kesan negatif ke atas kepentingan ekonomi dan keselamatan AS sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak di Washington.
Walau bagaimanapun, sekiranya negara kuasa besar itu cuba menekan atau membendung China daripada meneruskan usaha memodenkan tenteranya, ini boleh membawa tindak balas negatif.
Tekanan dari AS ini mungkin mendorong China untuk lebih agresif membangunkan kekuatan nuklearnya dan secara tidak langsung menggalakkan persaingan senjata di rantau tersebut.
Tekanan serta usaha membendung AS juga akan mendorong China untuk terus memencilkan diri dari sistem antarabangsa.
Atas dasar ini maka Bush semasa lawatannya ke China telah mengambil langkah berjaga-jaga dan menggunakan pertuturan paling diplomatik dalam usahanya mendesak negara tersebut untuk meluaskan amalan kebebasan politik dan beragama.
Bagaimanapun usaha dan perkembangan kapitalisme dan pendemokrasian China berjalan merupakan sesuatu yang amat penting bagi rakyat AS.
Namun, sebelum itu dalam lawatannya ke Jepun beliau telah pun membuat ucapan memuji amalan demokratik negara Taiwan yang berjaya mewujudkan suatu masyarakat China yang demokratik.
Bush juga menekankan bagaimana pertumbuhan ekonomi di Taiwan telah membawa kepada liberalisasi politik serta usaha Taiwan ini boleh menjadi contoh kepada negara China.
Bush juga menekankan hasrat Washington agar isu Taiwan-China dapat diselesaikan dengan lebih baik.
Ucapan ini sudah pasti menyinggung perasaan pemimpin Beijing yang telah lima dekad berjuang menuntut haknya ke atas Taiwan.
Bush juga telah didesak oleh pelbagai pertubuhan dan organisasi di AS untuk mengemukakan pelbagai isu berhubung negara China itu.
Antaranya soal hak asasi dan juga isu Tibet.
Organisasi hak asasi mahu Bush menegur China agar mengambil berat ke atas pelanggaran isu hak asasi di negara tersebut.
Selain itu, Dalai Lama yang menjadi pemimpin agama di Tibet juga mengambil kesempatan memujuk Bush untuk mengemukakan usaha memperbaiki hubungan Tibet dengan China.
Walaupun negara China menuduh Tibet cuba mendapatkan kemerdekaan, pemimpin Tibet itu menafikan serta menekankan keinginan Tibet mendapat autonomi dan kebebasan budaya dari negara China.
Walaupun wujud cabaran-cabaran di atas, Presiden Bush tidak lupa untuk memuji negara China dalam usahanya menjadi hos rundingan enam pihak - AS, China, Jepun, Rusia dan Korea Selatan - mendesak Korea Utara menggantung program nuklearnya dan sokongan Beijing ke atas usaha AS menentang keganasan.
Pada masa ini hubungan AS-China nampak cerah tetapi banyak perkara yang harus diselesaikan di antara kedua buah negara untuk memelihara kepentingan bersama.
Hubungan kompleks antara kedua negara yang mempunyai sejarah yang panjang ini pada bila-bila masa boleh menjadi keruh apabila wujud suatu krisis.
Semakin tinggi pertumbuhan ekonomi negara China semakin besar permintaannya terhadap sumber tenaga.
Dengan sumber tenaga yang terhad di dunia, maka saingan yang akan diberikan oleh China akan menjadi faktor perselisihan di antara dua negara besar tersebut.
Begitu juga dengan krisis dagangan yang semakin tegang di mana wujud hubungan dagangan berat sebelah serta kebergantungan syarikat besar AS ke atas barangan murah dari China untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan sekali gus mengancam industri barangan tempatan.
Walaupun AS berjaya mewujudkan perjanjian tekstil dengan China di mana import pakaian China dihadkan (dan dengan ini melanggar pegangan dagangan bebas AS dan meningkatkan kos pengguna AS) ia hanya dapat membantu pengeluar tekstil AS sehingga tahun 2008.
Cetak rompak hak intelektual AS - muzik, buku, filem - yang berlaku secara berleluasa mengeruhkan lagi keadaan.
Menjelang akhir tahun ini defisit dagangan antara AS dengan China dijangka mencapai AS$200 bilion (RM740 bilion).
Bush mengakhiri lawatan empat negaranya di Asia di Mongolia kelmarin di mana beliau telah memuji negara tersebut sebagai model bagi Asia Tengah kerana berjaya mewujudkan suatu masyarakat yang bebas lagi demokratik.
Adakah ini ditujukan kepada China?
- DR. SHAKILA YACOB ialah pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM).

Dasar Luar Bush

Kepentingan AS di Asia Selatan



India, negara kedua selepas China yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia, mempunyai potensi menjadi suatu kuasa besar dunia. India dapat menyediakan perimbangan kuasa di Asia menghadapi China dan Pakistan.
Maka, atas faktor tersebut, pentadbiran George W. Bush melihat kepentingan mengadakan perikatan strategik dan ekonomi dengan negara tersebut. Dengan itu, Bush dalam siri lawatan tiga harinya ke India sanggup menghadapi risiko serangan militan dan kumpulan komunis.
Presiden Bush dan Perdana Menteri India Manmohan Singh telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Teknologi Nuklear Awam di mana AS menyatakan persetujuan untuk menghantar pakar dan tenaga nuklear kepada India seandainya India bersetuju membuka reaktor nuklearnya kepada pemeriksaan antarabangsa.
Pakatan nuklear dua buah negara yang diumumkan Khamis lepas, melihat India bersetuju membuka 14 reaktor nuklear awamnya kepada pemeriksaan antarabangsa. India juga berjanji akan mengasingkan perancangan bahan bakar nuklearnya bertujuan memenuhi permintaan tenaga yang tinggi di negaranya daripada program militarinya.
Jelas India enggan tunduk kepada telunjuk kuasa besar dan melalui satu perundingan yang hangat berjaya merahsiakan lapan dari pusat nuklearnya yang digunakan bagi tujuan militari. Pada masa yang sama juga Bush gagal memujuk India yang selama ini tidak menandatangani Perjanjian Tidak Cambah Senjata Nuklear yang bertujuan menyekat penyebaran senjata nuklear ke negara-negara bebas nuklear.
Isu nuklear merupakan antara isu yang memburukkan hubungan AS-India selepas India mengadakan ujian nuklear pada tahun 1998. Pakatan strategik AS-India kali ini akan meninggalkan kesan besar ke atas perjalanan politik dunia terutama berhubung perlumbaan senjata nuklear.
Kenapa pakatan strategik AS-India ini diadakan? Apakah kepentingannya kepada AS dan juga India?
Mengikut Bush dalam ucapannya di India, adalah perlu bagi AS membantu India meningkatkan keupayaan tenaga nuklearnya kerana ini akan dapat mengurangkan tekanan permintaan ke atas bahan bakar nuklear, menstabilkan pasaran minyak dunia dan sekali gus membawa keuntungan ekonomi AS.
Tetapi ada faktor-faktor lain yang berkepentingan bagi AS menjalin hubungan baik dengan India.
Kepentingannya ialah bagi memastikan tiada negara lain yang mampu membina kekuatan nuklear sebagaimana negara kuasa besar itu dan sekali gus menyekat potensi India menjadi saingan kepada kekuatan militari kuasa tunggal dunia tersebut.
Dengan mewujudkan hubungan istimewa bersama India, AS boleh menjamin keselamatan serta hubungan dagangnya dan juga memastikan ia terus menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia.
AS sedar negara Asia mempunyai potensi yang lebih hebat berbanding Eropah pada abad ke-21 ini. Seandainya abad ke-20 melihat Eropah menjadi tumpuan dasar luar AS tetapi pada abad ke-21 perhatian AS mula mengalih ke negara Asia.
Perhatian
Pasca Perang Dingin benua Asia Pasifik sedikit sebanyak menjadi agenda utama hubungan AS-Asia. AS menjadi rakan dagang terbesar negara-negara Asia Pasifik dan pertumbuhan ekonomi AS juga dirangsang oleh peperangan di Korea dan Vietnam. Kini, kebanyakan negara rantau mula mengalih perhatian ke China dan berdagang dengan negara tersebut.
Amat perlu bagi AS membina hubungan dengan negara lain selain China dan sekali gus India, dapat membantunya berkongsi masalah mengenai China. Di samping itu negara yang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat itu dapat menyediakan peluang perdagangan menggantikan peluang yang telah hilang diambil alih oleh China.
Terjalinnya hubungan baik dengan India yang mempunyai cita-cita global yang tinggi di samping penduduk kelas pertengahan yang beraspirasi tinggi serta pertumbuhan ekonomi yang pesat sudah tentu akan banyak membantu AS.
Hubungan dua hala ini juga berkepentingan kepada India. India ingin mengambil kesempatan hasil daripada pakatan strategik ini.
India inginkan hubungan baik dengan negara kuasa besar dunia itu dengan harapan ia juga dapat meningkatkan statusnya sebagai satu kuasa dunia yang harus dihormati.
India juga telah lama bercita-cita mendapatkan kerusi tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Di samping itu, India ingin membina kekuatan ketenteraan dan nuklearnya kerana ingin bersaing dengan jirannya Pakistan serta Iran.
Dari segi ekonomi juga, India berpeluang meraih peluang pelaburan dan perdagangan dengan negara ekonomi terbesar dunia.
- DR. SHAKILA YACOB ialah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM).

Dasar Bush

Kontroversi pembelian menjerat Bush



AGENDA keselamatan kebangsaan Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush yang menjamin kemenangannya dalam pilihan raya 2004 lalu akhirnya menjerat leher sendiri.
Ini jelas dalam isu pembelian syarikat British yang berpusat di London iaitu Peninsular and Oriental Steam Navigation Company oleh Dubai Port World, sebuah syarikat milik kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Tentangan serta kritikan hebat oleh ramai kumpulan di Kongres, baik daripada pihak Republikan sendiri mahupun Demokrat, terhadap isu ini jelas menunjukkan kejayaan usaha Bush meletakakan keselamatan ke-bangsaan sebagai agenda utama negara AS buat masa kini.
Bukan sahaja mereka di Kongres tetapi sebahagian besar orang awam AS tidak dapat menerima hakikat bahawa sebuah syarikat dari UAE akan mengendalikan aktiviti enam pelabuhan utama mereka.
Namun mereka dapat menerima hakikat bahawa lebih 80 peratus dari pelabuhan AS kini dikendalikan oleh syarikat-syarikat yang berpusat di China termasuk Hong Kong, Singapura dan Denmark.
Pihak White House mempertahankan tindakan mereka membela penjualan operasi perkapalan tersebut kerana mereka menekankan bahawa soal-soal keselamatan tidak menjadi isu.
Ini kerana telah wujud beberapa langkah pengawalan serta syarat yang dipersetujui bagi memastikan keselamatan pelabuhan-pelabuhan AS tersebut.
Malah White House sendiri mengakui bahawa Bush hanya mengetahui mengenai usaha penjualan ini di saat-saat akhir.
Selain itu, mereka yang bertanggungjawab sepatutnya menjelaskan dengan terperinci mengenai penjualan operasi perkapalan tersebut serta tindakan-tindakan keselamatan yang telah diambil kira.
Malahan Dubai Port World merupakan antara yang pertama menandatangani inisiatif keselamatan kontena yang baru dimulakan iaitu memberi peluang memeriksa kargo di pelabuhan asing.
Apa yang sebenarnya patut dibimbangi oleh pentadbir dan rakyat AS adalah kecuaian pegawai-pegawai keselamatan AS yang bertanggungjawab (sebagai mana terbukti sejak insiden 11 September 2001) antaranya U.S. Coast Guard, U.S. Customs dan Department of Homeland Security (DHS).
Kedua-dua institusi inilah yang harus diletakkan tanggungjawab seandainya berlaku masalah atau ancaman keselamatan ke atas pelabuhan AS.
DHS ialah sebuah agensi kerajaan ditubuhkan pasca-11 September dan salah satu matlamat utamanya adalah menjaga hal ehwal dan keselamatan pelabuhan.
Perlu diingatkan, sejak peristiwa 11 September 2001, perbelanjaan persekutuan bagi keselamatan pelabuhan meningkat sehingga 700 peratus!
Walaupun Bush mengancam untuk mengunakan kuasa veto bagi memastikan operasi penjualan tersebut dapat dilaksanakan namun Dubai Port World mengumumkan bahawa ia akan menangguhkan pembelian syarikat British tersebut selama 45 hari bagi meneliti dan memperhalusi beberapa aspek keselamatan pelabuhan AS.
Penangguhan ini tidak bererti akan melenyapkan bantahan dari Kongres.
Isu ini menyediakan agenda yang menarik untuk dieksploitasi bagi memenangi pilihan raya Kongres yang akan berlangsung tahun ini.
Hal penjualan operasi perkapalan ini mewujudkan keadaan yang begitu sukar bagi Presiden AS itu dalam perancangan dasar luarnya terutama berhubung dengan negara-negara Asia Barat.
Dan tidak mengejutkan jika rata-rata bersetuju bahawa keadaan ini wujud akibat usaha Bush sendiri.
Pada masa ini, AS tidak mempunyai ramai rakan sekutu dari Asia Barat dan UAE merupakan salah sebuah negara dari benua itu yang bersekutu dengan AS serta memberi sokongan kuat kepada usaha antikeganasan yang diterajui Bush.
Untuk menafikan operasi penjualan ini, AS akan hilang rakan sekutu mereka di Asia Barat.
Dalam konteks ini ia akan melemahkan lagi keselamatan kebangsaan AS dan usaha keamanan yang cuba dibawa ke Asia Barat dan Afrika.
Maka, Bush harus bekerjasama dengan negara tersebut dalam aspek perisikan dan lain-lain bidang kerjasama bagi menentang keganasan.
Mudah kata, Bush berada dalam dilema. Seandainya beliau enggan membenarkan atau menyokong penjualan operasi perkapalan ini maka usaha beliau selama ini akan ditafsir sebagai anti-Muslim atau anti-Arab dan bukannya antikeganasan.
Ini bertentangan dengan polisi luar yang beliau perjuangkan selama ini iaitu menceroboh Iraq atas dasar antikeganasan.
Bantahan yang muncul terhadap usaha penjualan operasi perkapalan ini jelas memaparkan standard berbeza yang digunakan oleh pentadbir AS dalam menyokong usaha perniagaan dari sebuah negara Islam.
Dari kaca mata dunia Islam, amat jelas bahawa rata-rata pentadbir serta penduduk AS dihimpit oleh `Islamophobia' atau `Arabphobia' yang begitu hebat serta akan terus memandang serong terhadap sebarang usaha negara Islam atau syarikat Islam untuk merebut peluang ekonomi di AS.
Polisi ini bertentangan dengan dasar perdagangan bebas global yang dipegang oleh AS.
Mungkin kontroversi penjualan ini dapat menyedarkan White House seandainya globalisasi ekonomi dibiarkan tanpa kawalan, maka konsortium korporat antarabangsa akan mengambil alih perjalanan serta urusan antarabangsa dan bukannya negara.
Pengajaran bagi negara-negara Islam pula ialah pentingnya untuk bergabung dan bersatu padu di bawah satu payung. Dalam hal ini Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menyediakan platform yang sempurna bagi membentuk satu kesatuan dagang yang kukuh dan kuat selain mampu menandingi cabaran-cabaran ekonomi global.

Bush dan Guantanamo

Hak tahanan Guantanamo




PEMBUKAAN kem tahanan di Teluk Guantanamo sejak 2001 terus dipertikaikan oleh masyarakat antarabangsa.



SEKALI lagi pentadbiran George W. Bush enggan mengakui kedaulatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila Washington menolak sama sekali laporan badan dunia itu yang disediakan oleh lima pakar hak asasi manusia.
Laporan berkisar mengenai layanan yang diberikan kepada para tahanan di Teluk Guantanamo, Cuba yang ditahan tanpa dakwaan dan sebarang ruang perbicaraan.
Alasan yang diberikan adalah ahli panel tersebut enggan melawat pusat tahanan terbabit untuk mendapat gambaran sebenar keadaan di situ.
Keengganan ini adalah kerana mereka tidak diberi peluang untuk menemu duga tahanan-tahanan di sana.
Jelas di sini bahawa polisi pentadbiran Bush tidak mempedulikan undang-undang serta melanggar hak asasi manusia seperti disebut dalam Akta Hak (Bill of Rights) yang tercatat dalam perlembagaan Amerika Syarikat (AS) sendiri.
Ini jelas boleh memusnahkan reputasi AS sebagai pejuang demokrasi dan menimbulkan persoalan mengenai ketelusan negara tersebut dalam misi demokrasinya di Afghanistan dan juga Asia Barat.
Pentadbiran Bush, sebagaimana yang ditekankan oleh Setiausaha Pertahanannya Donald Rumsfeld, menolak dakwaan bahawa tahanan Guantanamo (iaitu seramai 490 tahanan yang didakwa pengganas) telah dinafikan hak mereka, diseksa, dianiaya dan didera serta dikenakan lain-lain tindakan salah laku.
Pada masa ini bukan sahaja PBB yang mahukan pusat tahanan Guantanamo berkenaan ditutup kerana `pelbagai perkara hitam' dicatatkan di situ, malahan di kalangan pemimpin di AS sendiri seperti Senator Joseph Biden pernah menyuarakan perkara sama.
Dan terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kapasiti sebagai Pengerusi Persidangan Islam Antarabangsa (OIC) dan Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) membuat kenyataan bahawa kem tahanan di Teluk Guantanamo itu wajar ditutup sahaja.
Sebelum ini, bahkan sebaik sahaja ia dibuka, bukan tiada pihak yang mahu pusat tahanan itu ditutup. Desakan supaya ia ditutup pernah bergema kuat sebelum ini apabila berlaku insiden askar AS menganiayai para tahanan Iraq di penjara Abu Ghraib.
Gesaan penutupan pusat tahanan di Teluk Guantanamo kembali berbunyi lantang apabila televisyen Australia menyiarkan semula imej-imej kekejaman tentera AS terhadap tahanan-tahanan Iraq baru-baru ini.
Rata-rata menyamakan bahawa kekejaman askar AS itu sama sahaja baik di penjara Abu Ghraib mahupun di pusat tahanan Teluk Guantanamo.
Namun apa yang menjadi persoalan bukan semata-mata isu layanan terhadap tahanan tetapi kewujudan pusat tahanan itu sendiri di Teluk Guantanamo.
Teluk Guantanamo telah diperoleh oleh AS melalui Perang Amerika-Sepanyol pada tahun 1898 setelah berjaya mengalahkan Sepanyol yang menjajah Cuba.
AS telah mendirikan pangkalan tenteranya di Teluk berkenaan dan melalui beberapa siri perjanjian dengan Cuba, AS terus menguasainya sehingga kini.
Ia menjadi satu-satunya pangkalan tentera negara kuasa besar itu di sebuah negara komunis.
Pusat tahanan berkenaan telah didirikan pada tahun 2001 selepas peristiwa 11 September bagi menempatkan mereka yang ditangkap semasa dan selepas perang di Afghanistan.
Malah individu dari negara lain juga ditahan di pusat ini sekiranya AS mengesyaki mereka boleh mengancam keselamatan.
Tujuan pusat tahanan ini dibina di Teluk Guantanamo adalah bagi mengelak daripada penguatkuasaan undang-undang antarabangsa mahupun undang-undang AS sendiri.
Ini bermakna AS boleh melakukan sesuka hati mereka terhadap tahanan-tahanan di pusat ini tanpa diberikan ruang undang-undang seperti hak mendapatkan peguam, mengemukakan bukti dan perbicaraan oleh hakim yang berkecuali.
Penglibatan
Penguatkuasaan undang-undang sebegini sudah tentu akan menghalang tujuan utama tahanan ini dipenjarakan.
Apakah tujuan sebenar tahanan ini dipenjarakan? Mereka ini bukanlah ditahan kerana tindakan dan penglibatan mereka dalam perang di Afghanistan semata-mata.
Malahan bukan untuk menghalang mereka terlibat sekali lagi dalam aktiviti pengganas tetapi paling utama adalah mereka ini dianggap oleh AS sebagai aset perisikan yang boleh mendedahkan maklumat sulit mengenai operasi Al-Qaeda, Taliban dan lain-lain markas pengganas di seluruh dunia.
Tetapi setelah lima tahun berlalu adakah maklumat yang diperoleh dari tahanan ini masih relevan?
Penahanan sebegini sebagaimana yang telah dijelaskan dalam laporan PBB jelas melanggar Konvensyen Geneva.
Keengganan Washington memberi layanan serta hak undang-undang kepada tahanan Guantanamo dan seterusnya menutup pusat tahanan ini walaupun didesak oleh pelbagai pihak (juga sekutunya Britain walaupun pendirian Perdana Menteri, Tony Blair terhadap isu ini agak kabur) menjadi duri dalam daging dalam kempen antikeganasan pentadbiran Bush.
Ini kerana isu tahanan Guantanamo jelas menggugat usaha AS memperbaiki dan meningkatkan pengaruhnya di dunia Islam.
Sekiranya AS ingin memulihkan kedudukannya sebagai pejuang demokrasi maka Washington harus akur dengan cadangan PBB untuk menutup pusat tahanan Guantanamo dan seterusnya mengadili serta membebaskan tahanan yang tidak bersalah.
Seandainya tindakan sebegini dilakukan oleh mana-mana negara membangun sudah pasti pemerintah negara berkenaan akan dilabelkan oleh AS sebagai kejam dan zalim.
Adakah pentadbir AS lupa akan kempen mereka mengutuk kekejaman rejim Khmer Rouge pada pertengahan hingga akhir 1970-an di Kemboja?
Sebagaimana Augusto Pinochet di Chile yang dibicarakan atas salah laku hak asasi manusia, adakah Bush juga dalam 20 tahun akan datang bakal dibicarakan atas salah laku tahanan Guantanamo?
Masa boleh menentukan nasib Bush itu.
- DR. SHAKILA PARVEEN YACOB ialah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM)

Bush dan Iraq

Bush tidak peduli kesudahan nasib Iraq




Kenyataan terakhir Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush mengenai Perang Iraq merujuk kepada kemungkinan peperangan itu berlangsung sehingga selepas tempoh jawatannya berakhir pada 20 Januari 2009. Menurut beliau lagi, keputusan untuk mengundur tentera AS dari Iraq akan dibuat oleh penggantinya atau pemimpin Iraq sendiri.
Bush menekankan sebuah Iraq yang stabil dan demokratik adalah penting bagi menyebarkan pembaharuan di negara-negara Asia Barat dan pada masa yang sama menyekat sokongan terhadap keganasan. Selagi matlamat ini belum tercapai maka adalah mustahil untuk menarik balik 130,000 tentera AS yang sekarang berada di Iraq.
Ini mengingatkan kita kembali kepada campur tangan AS di Vietnam. Peperangan yang mengambil masa begitu lama dan melibatkan lima Presiden AS dari kedua-dua parti Demokrat dan Republikan termasuk Dwight D. Eisenhower, John F. Kennedy, Lyndon B. Johnson dan Richard M. Nixon.
Matlamat penglibatan AS untuk memperjuangkan kebebasan dan demokrasi dan yang paling penting mempertahankan kepentingan AS di Vietnam akhirnya tidak tercapai.
Kegagalan di Vietnam, sebagai mana di tekankan oleh Henry Kissinger, bekas Setiausaha Negara AS semasa pentadbiran Nixon dan Ford adalah disebabkan oleh perpecahan dan perselisihan pendapat yang berlaku mengenai objektif AS yang sering bertukar ganti semasa Perang Vietnam.
Perkara yang sama berlaku di AS mengenai objektif kuasa besar itu dalam Perang Iraq. Pendirian pentadbiran Bush mengenai persoalan di Iraq sentiasa bertukar ganti. Sokongan rakyat AS terhadap campur tangan negara mereka di Iraq mula menurun.
Setelah tiga tahun campur tangan mereka di Iraq, kepimpinan demokratik yang ingin dilaksanakan masih menghadapi kebuntuan.
Keganasan berpuak yang berlaku setiap hari yang membawa maut kepada penduduk Iraq sukar dihentikan sehingga bekas Perdana Menteri Ayad Allawi mendakwa berlakunya Perang Saudara di Iraq.
Namun dakwaan ini dinafikan oleh Setiausaha Pertahanan AS Donald Rumsfeld dan juga Setiausaha Pertahanan Britain, John Reid. Malahan Presiden Bush sendiri menafikan perkara tersebut.
Proses pembinaan negara bangsa bagi Iraq yang mempunyai sejarah perselisihan kesukuan, etnik dan agama yang berabad lamanya akan mengambil masa yang panjang untuk dibina. Adalah terlalu sukar untuk membina kepercayaan atau mencari jalan perpaduan di antara pelbagai pihak dan suku yang berbeza (antaranya Sunnah, Syiah dan Kurdish) di Iraq, walaupun tidak dinafikan telah wujud usaha-usaha ke arah kerjasama di antara pihak yang pelbagai ini.
Kerajaan Sementara Iraq akan mengutarakan cadangan perlembagaan pada Isnin depan diikuti satu referendum yang akan diadakan pada bulan Oktober. Ini disambut dengan pilihan raya bagi sebuah kerajaan yang tetap.
Cara untuk mencapai kejayaan bagi membina kerajaan campuran yang efektif dan efisien di Iraq mungkin boleh dipelajari daripada pengalaman Barisan Nasional di Malaysia. Apa yang paling penting bagi pemimpin dan rakyat Iraq adalah untuk memadam semangat kesukuan yang menghantui sejarah negara itu.
Begitu juga mereka harus menerima perbezaan yang wujud antara satu sama lain di kalangan mereka dan bertolak ansur ke arah mencapai perpaduan yang dianjurkan dalam sistem pentadbiran Islam. Perpaduan kebangsaan amat penting untuk masa depan Iraq yang aman dan makmur dan jalan ke arah kejayaan ini hanyalah dengan adanya kesedaran yang tinggi tentang perpaduan.
Jelas AS dan sekutunya telah melakukan kesilapan besar apabila menyerang Iraq. Hari ini AS dan sekutunya memikul satu tanggungjawab besar bagi memastikan wujudnya sebuah Iraq yang demokratik. Masalahnya bilakah matlamat tersebut akan tercapai?
Seandainya AS mengundurkan tenteranya di Iraq pada masa kini (sebagaimana yang dituntut oleh sesetengah rakyatnya) apakah yang akan berlaku di Iraq? Siapa pula yang akan bertanggungjawab ke atas keadaan porak-peranda yang diwujudkan oleh AS apabila ia campur tangan di Iraq tanpa menunggu kerjasama Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Bagi pihak Iraq pula, sehingga bila mereka akan membiarkan pembunuhan sesama sendiri atau perang saudara berterusan?
- SHAKILA YACOB ialah Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya.