TRAGEDI 11 September 2001 (911) sedekad yang lalu mendorong kita untuk meninjau implikasi tragedi tersebut ke atas perjalanan politik dan ekonomi negara kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan yang paling penting impaknya ke atas dunia.
Implikasi utama 911 adalah tindakan polisi pentadbiran George W. Bush (Januari 2001 - Januari 2009). Sepanjang dua penggal pentadbiran Bush, kita lihat tindak balas pentadbiran tersebut terhadap tragedi itu amat merugikan rakyat dan negara AS serta dunia amnya.
Perang anti-keganasan terhadap Afghanistan yang dilancarkan pada Oktober 2001 dan diikuti dengan perang ke atas Iraq pada Mac 2003 telah meninggalkan kesan hebat ke atas kedudukan kewangan AS dan juga reputasi negara tersebut.
Kesan buruk ini adalah hasil dasar Bush dan bukannya akibat tragedi 911. Seandainya Al-Gore berjaya dalam pilihan raya presiden AS tahun 2000, sudah tentu perjalanan politik AS akan jauh berbeza dan besar kemungkinan Iraq tidak akan diserang.
Hampir sejuta nyawa manusia hilang dalam perang anti-keganasan global yang dilancarkan oleh negara kuasa tunggal ini selepas berlaku tragedi 11 September. Mengikut jurnal perubatan The Lancet, di Iraq sahaja 655,000 orang awam terkorban. Lebih 6,200 askar AS maut sepanjang dekad lalu.
Sepanjang dua penggal pentadbiran Bush perbelanjaan pertahanan mencapai rekod paling tinggi di mana kerajaan persekutuan AS dipercayai membelanjakan jumlah wang yang besar melalui pelbagai polisi yang dilaksanakan demi memastikan AS bebas daripada serangan keganasan.
Sememangnya pasca-911, tiada sebarang insiden serangan berlaku ke atas AS. Tetapi ketaksuban AS dalam perang terhadap keganasan dan obsesinya dengan Al-Qaeda menyebabkan hutang negara tersebut meningkat berlipat kali ganda.
Penubuhan Department of Homeland Security dan perbelanjaan keselamatan sepanjang dekad lalu telah mencapai AS$360 bilion. Ditambah dengan perang di Iraq yang juga dikenali sebagai The Three Trillion Dollar War maka kos menentang keganasan ini telah mencapai hampir AS$4 trilion mengikut sumber yang dipercayai. Ini termasuk perbelanjaan di Pentagon, kos faedah hutang peperangan, kos kesihatan untuk veteran perang dan sebagainya.
Di samping itu, salah urus ekonomi telah memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat AS. Keadaan diburukkan lagi dengan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan sehingga mewujudkan gelembung hartanah yang sehingga kini tidak dapat ditangani.
Kesan kewangan ini terus menghantui penggal kedua pentadbiran Bush dan penggantinya Barack Obama. Pentadbiran Obama terus terbelenggu dalam krisis ekonomi yang tiada penghujung. Kadar pengganguran yang enggan berganjak dari 9.1 peratus (%), kadar inflasi yang terus melonjak naik pada 3.65%, kejatuhan harga rumah kesemuanya menghimpit rakyat AS.
Kegagalan pentadbiran Obama memperbaiki ekonomi AS memburukkan lagi keadaan. Pakej rangsangan ekonomi Obama jelas gagal mempertingkatkan ekonomi AS mahupun peluang pekerjaan. Pelan penjagaan kesihatan yang melibatkan perbelanjaan persekutuan yang begitu besar terus menekan ekonomi AS.
Krisis had hutang AS dan perbezaan pendapat antara pihak Demokrat dan Republikan di Kongres menyebabkan pasaran saham dunia jatuh merudum. Ini ditambah lagi dengan agensi penarafan yang menurunkan peringkat kredit negara itu. Kedua-dua peristiwa ini meninggalkan kesan besar ke atas pasaran kewangan global.
Jelas AS dan sekutunya telah melakukan kesilapan besar apabila menyerang Afghanistan dan Iraq. Sehingga kini keadaan di Iraq masih porak peranda dengan pelbagai masalah. Senario yang sama bakal menanti di Afghanistan apabila tentera AS dan Nato dijangka berundur sepenuhnya pada tahun 2014. Sebagaimana di Iraq keganasan puak-puak akan berterusan di Afghanistan.
Jelas polisi luar AS terhadap kedua-dua negara itu gagal mencapai matlamat pendemokrasian tetapi mewujudkan keadaan yang semakin meruncing yang telah membuka ruang kepada aktiviti keganasan di negara Asia Barat dan juga Pakistan contohnya.
Maka apabila kita berbicara mengenai satu dekad selepas 911 kita harus menilai tindak balas polisi pentadbiran Bush dan Obama. Oleh sebab permasalahan ekonomi yang gagal diatasi, justeru rakyat AS mula menukar haluan dan menyokong pihak konservatif atau sayap kanan yang ekstrem.
Ini jelas terbukti apabila pilihan raya Kongres 2010 memperlihatkan kejayaan wakil Republikan memenangi kerusi majoriti di Dewan Perwakilan sehingga menyukarkan Obama untuk memperkenalkan sebarang polisi kerana harus berhadapan dengan tentangan pihak Republikan.
Pelampau politik dan agama ini pasti akan terus mendapat sokongan sesetengah rakyat AS yang tidak mampu berfikir dengan rasional akibat tekanan ekonomi. Tambahan lagi, penerimaan terhadap golongan kanan yang ekstrem dan juga golongan fundamentalis Kristian ini begitu jelas di Eropah dan di negara sekutu AS seperti Perancis dan Britain. Maka trend ini akan berterusan dan menjadi semakin ketara di AS. Semangat Islamofobia di Eropah jelas bersemarak di AS juga.
Dari segi politik, strategi mendampingi dunia Islam yang juga merupakan sebahagian daripada diplomasi 'lembut' Obama gagal merentasi batasan Timur-Barat yang wujud selama ini.
Dalam hal ini apa yang nyata adalah Islamofobia atau Arabfobia yang semakin menyemarak kesan daripada tragedi 911 telah menyukarkan kehidupan masyarakat muslim di AS khususnya dan dunia amnya.
Bagaimanapun dalam senario politik antarabangsa yang lebih luas, 911 bukanlah suatu peristiwa yang besar sepanjang dekad yang telah berlalu ini.
Apa yang telah mentransformasi dunia adalah pertumbuhan pesat yang dialami oleh negara China, India dan Brazil terutamanya. Pertumbuhan pesat negara-negara inilah yang telah mengubah senario politik dunia.
Dengan terhakisnya kuasa hegemoni AS dan perselisihan antara pihak Barat dengan sesetengah negara Islam hanyalah side show dalam senario politik yang lebih besar ini. Negara maju dan kaya di Barat dan dunia Islam terutamanya akan menghadapi risiko peminggiran politik dan ekonomi yang serius dalam orde baru dunia ini.
Dalam order baru dunia ini, Israel juga akan bangkit sebagai satu kuasa unggul di rantau Asia Barat yang dilanda pergolakan politik. Bermula dari sini kuasa Israel akan mengukuhkan kedudukannya di dunia sebagaimana kita lihat sebelum ini Israel telah pun secara senyap membina kekuatan militernya. Keunggulan Israel menjadi semakin ketara apabila AS dan kuasa-kuasa Eropah seperti Sepanyol, Portugal dan Itali mula goyah kedudukan ekonominya akibat krisis kewangan.
Dalam konteks orde baru dunia ini, amat penting bagi Malaysia untuk mempelbagaikan hubungan luarnya dalam usaha mengelak kebergantungan kepada sesuatu negara.
Malaysia harus terus mengambil kesempatan daripada hubungan bersejarahnya dengan mengukuhkan hubungan dengan negara China serta juga negara India dibawah pergerakan negara-negara berkecuali (NAM) dan Komanwel. Pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan baik dengan AS sebagaimana wujud dalam pentadbiran Najib-Obama setakat ini bagi mengimbangi kuasa China di Asia Tenggara.
Kepimpinan Malaysia masa kini telah melaksanakan strategi yang tepat dengan mempelbagaikan hubungan luarnya di samping meneruskan kerjasama selatan-selatan lanjutan dari inisiatif yang dimulakan oleh pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.
No comments:
Post a Comment