Kekalahan dramatik pihak Demokrat dalam pertandingan kerusi Senat di Masachusetts pada 19 Januari 2010, sehari sebelum ulangtahun pertama perlantikan Obama, menjadi petanda kepada tsunami politik yang bakal melanda pentadbiran Obama dan kepimpinan Demokrat di Kongres. Kerusi senat yang dikosongkan akibat kematian Senator Edward Kennedy Ogos lalu gagal di isi oleh calon Demokrat Martha Oakley yang kalah (47.1%) dengan calon Republikan, Scott Brown (51.9%).
Setelah mewarisi peperangan di dua buah negara, krisis kewangan yang besar dan hutang negara yang tinggi, pentadbiran Obama masih gagal menarik AS keluar daripada pelbagai permasalahan yang melanda. Masalah ekonomi, hutang negara, reformasi sistem penjagaan kesihatan dan peningkatan penglibatan AS di Afghanistan merupakan isu-isu penting yang cuba ditangani oleh pentadbiran Obama setahun yang lalu tetapi masih belum memperlihatkan sebarang pembaikan atau kejayaan.
Seperti kebiasaannya dalam sejarah AS, masalah ekonomi menjadi tumpuan rakyat AS dan menjadi kayu pengukur sokongan rakyat AS terhadap kepimpinan seseorang presiden. Begitu jugalah dengan kepimpinan Obama. Ekonomi yang masih lemah akibat daripada letupan gelembung kewangan dan perumahan, bersamaan dengan hutang negara yang melonjak tinggi serta kadar pengganguran yang kekal pada tahap 10 peratus melihat kebanyakan pelaburan dan sumber kewangan berpindah ke timur terutama sekali ke negara China.
Dengan ini, populariti Obama menurun dengan mendadak. Mengikut undian yang dijalankan oleh Washington Post dan ABC News hanya 58 peratus rakyat AS yang menyokong kepimpinan Obama berbanding 79 peratus tahun lepas.
Baru-baru ini, data pengganguran AS telah diumumkan dan ramai yang terkejut melihat kadar pengganguran masih berada pada tahap 10 peratus walaupun pada penghujung tahun 2009 ramai yang meramal kadar pengganguran akan menurun kepada 7.5 peratus.
Strategi dan polisi pemulihan ekonomi Obama gagal meninggalkan impak yang diingini. Ini kerana keruntuhan kewangan yang berlaku pada tahun 2008 sebenarnya jauh lebih buruk impaknya ke atas perniagaan dan juga rakyat AS berbanding dengan apa yang dijangkakan. Ada pihak yang mendakwa pakej stimulus sebanyak USD1trillion yang dipohon oleh pentadbiran Obama dan pihak Kongres hanya meluluskan USD600 billion untuk memulihkan ekonomi AS sudah tentu tidak mencukupi untuk menghidupkan kembali ekonomi AS yang memerlukan sekurang-kurangnya USD2 trillion! Ramai juga sebaliknya mendakwa perancangan dan perbelanjaan pakej stimulus itu tidak kena pada tempatnya dan penambahan pakej stimulus ini hanya akan meningkatkan hutang kerajaan dan perbelanjaan kerajaan yang sudahpun terlalu tinggi. dengan ini gagal menghidupkan kembali ekonomi AS. Begitu juga, campurtangan kerajaan yang semakin meningkat dalam ekonomi dan peningkatan cukai di masa depan membimbangkan komuniti peniaga AS.
Disamping itu, reformasi sistem kesihatan yang cuba diperkenalkan oleh pentadbiran Obama masih diperdebatkan oleh pihak Kongres. Rakyat AS juga berbelah bahagi mengenai polisi baru ini. Maka, keinginan pentadbiran Obama untuk segera memperkenalkan sistem kesihatan yang baharu ini pasti akan melalui pelbagai halangan. Apa yang dijanjikan dan diusahakan oleh pentadbiran Obama dari segi ekonomi dan juga sistem kesihatan masih lagi tidak dapat diperkotakan.
Kesemua permasalahan ini terutama sekali merujuk ekonomi menjadikan rakyat AS resah dan mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Obama. Rakyat AS mula memikirkan kembali sama ada kewujudan majoriti daripada pihak Demokrat di Kongres (kedua-dua Dewan Senat dan Dewan Perwakilan) merupakan sesuatu yang baik untuk mereka.
Keresahan ini terpamir di Masachusetts apabila seorang calon yang kurang dikenali seperti Brown dipilih sebagai senator untuk mewakili Masachusetts berbanding mantan Senator Edward Kennedy, seorang ikon liberal, yang sangat popular di AS mahupun peringkat antarabangsa. Malahan, Masachusetts merupakan negeri “biru” yang sentiasa bersifat liberal serta merupakan pendokong Demokrat yang setia. Dan lagi, tiada seorang pun ahli Republikan dalam Dewan Perwakilan untuk negeri Masachusetts.
Brown akan menjadi ahli Republikan yang ke 41 dalam Senat dan sekaligus memecahkan 60 undi majoriti yang dipegang oleh pihak Demokrat sebelum ini. Dengan ini, pihak minoriti mempunyai undi yang memadai untuk menghalang atau menyekat kelulusan sebarang perundangan baru.
Ini juga bererti pihak Demokrat akan menghadapi cabaran yang besar bagi mengekalkan pegangan majoriti mereka dalam Dewan Senat dan Perwakilan yang dinikmati mereka sejak 40 tahun yang lalu. Para strategis Demokrat yang bimbang akan kedudukan pihak Demokrat dalam pilihanraya akan datang mahu pentadbiran Obama menumpukan perhatian kepada ekonomi terutama sekali dalam aspek penyediaan peluang pekerjaan untuk rakyat AS bagi menyelamatkan keadaan dan bukan kepada polisi penjagaan kesihatan.
Seandainya kadar pengganguran meningkat lebih 10 peratus pada masa akan datang, maka, sudah tentu populariti Obama akan terus menurun dan sekaligus kedudukan pihak Demokrat akan tercabar dalam pilihanraya Kongres pada November 2010. Maka, Obama harus bertindak bijak dan memastikan polisi dan strategi pembaharuan beliau menyediakan alternatif yang seimbang atau berkecuali iaitu dapat diterima oleh kedua-dua pihak kiri dan kanan di AS.
No comments:
Post a Comment