Wednesday, September 07, 2011

Kenapa Obama Menang?



Dalam satu pilihanraya yang bersejarah, calon Presiden Parti Demokrat, Barack Hussein Obama, telah menang besar terutama sekali dalam meraih undi Majlis Pemilih (Electoral College) iaitu sebanyak 365 berbanding 162, calon Presiden Parti Republikan, John McCain. Kenapa Obama menang besar? Apakah faktor yang mendorong rakyat Amerika Syarikat (AS)  untuk memilih beliau?


1)      Krisis Ekonomi

Pada bulan September 2008, bermula krisis kewangan yang semakin hari semakin tenat di AS. Kejatuhan taraf kehidupan rakyat AS di sepanjang pentadbiran Bush juga semakin ketara. Krisis ini disamakan dengan Kemelesetan Besar yang melanda AS pada tahun 1930-an. Ramai berpendapat krisis ekonomi ini menjadi pemangkin kepada kemenangan Obama, manakala, ada juga yang melihat sebaliknya serta merujuk faktor ekonomi ini sebagai punca kekalahan pasukan McCain-Palin. Malahan Sarah Palin juga menekankan faktor ini sebagai punca kekalahan parti Republican dan enggan mengakui dirinya sebagai punca kekalahan McCain.

2) Kelemahan pentadbiran Bush

Rakyat AS dahagakan perubahan terutama sekali setelah berada di bawah pentadbiran Bush selama dua penggal. Perasaan negatif rakyat AS kepada Bush merupakan satu masalah besar bagi McCain kerana ramai yang bertanggapan beliau akan meneruskan dasar dan polisi Bush. Dasar luar pentadbiran Bush telah merealisasikan permusuhan dengan negara-negara yang tidak sehaluan dengan AS seperti  Iraq, Iran, Syria, Afghanistan, Korea Utara dan terkini Rusia. Disamping itu, salah urus ekonomi telah memberi kesan buruk kepada kehidupan ekonomi rakyat AS.  Rakyat AS dan dunia juga ternanti-nanti akan tarikh 20 Januari 2009 sama ada Obama dapat membawa “perubahan” yang dijanjikan ke atas rakyat AS dan dunia serta memperbaiki kesilapan dan kelemahan yang dilakukan oleh pentadbiran Bush.


3) Calon Naib Presiden

Calon Naib Presiden Parti Demokrat, Joe Biden, juga merupakan satu pilihan yang tepat. Oleh kerana ramai yang melihat Obama sebagai seorang calon muda yang kurang pengalaman eksekutif, maka, pemilihan Joe Biden yang telah lama berada di Senat dianggap sebagai calon “pelengkap” yang paling sesuai. Lagipun, rakyat AS membuat keputusan berdasarkan kepada pakej Presiden dan Naib Presiden yang ditawarkan oleh kedua-dua parti Demokrat dan Republikan. Faktor ini ditimbangkan dengan teliti kerana ramai yang melihat ada kemungkinan besar calon Naib Presiden akan menjadi Presiden. Umpamanya, ancaman bunuh terhadap Obama adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan. Maka, Joe Biden sesuai untuk menggantikan beliau sebagai Presiden. Sebaliknya, bagi pihak Republikan, calon Naib Presiden, Sarah Palin, dilihat sebagai calon yang paling tidak sesuai dan ramai yang tidak sanggup menanggung risiko seandainya Palin menjadi Presiden. Ini kerana usia McCain mencapai 72 tahun dan penyakit yang ditanggung beliau juga menyebabkan Palin berkemungkinan menjadi Presiden.

4) Ketrampilan Obama

Ramai yang melihat Obama sebagai pemimpin yang berkarisma dan sekaligus calon terbaik Presiden AS. Perawakan dan keperibadiannya yang menarik serta kebijakannya meneliti dan mengutarakan pendapat dan pandangan menarik perhatian ramai rakyat AS.  Sepanjang kempen pilihanraya Presiden AS, Obama jarang sekali mengambil taktik menyerang calon lawan dan ini nyata dalam debat Presiden yang berlangsung. Ini berbeza dengan strategi McCain dan calon Naib Presiden Parti Republikan Sarah Palin yang sering mengambil kesempatan untuk menyerang dan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Obama. Taktik ini tidak disenangi rakyat AS dan strategi menyerang calon lawan menyebabkan ramai yang kurang mengetahui strategi sebenar parti tersebut seandainya memegang kuasa.

5) Kebijakan Strategi Demokrat

Dalam kempen pilihanraya Presiden, Parti Demokrat telah menggunakan pendekatan yang berbeza dari segi mendapatkan sumber kewangan. Obama enggan menggunakan pembiayaan awam sebagaimana sebelumnya tetapi telah berjaya membina satu rangkaian penyumbang dana yang ramai serta tersebar di seluruh negara. Ini bererti Obama berjaya mendapat sumbangan yang besar bagi membiayai kempen beliau dan paling penting lagi tidak terikat dengan mana-mana kumpulan sekepentingan atau kumpulan lobi. Taktik ini juga digunakan dalam keraiaan yang bakal tiba ketika majlis perlantikan beliau sebagai Presiden AS pada 20 Januari 2009 nanti. 

6) Kempen Primary yang terlalu lama

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada kejayaan Obama adalah kempen primary yang berlangsung sehingga ke saat-saat akhir pada 3 Jun 2008 sebelum berlangsung Konvensyen Demokrat. Ini bererti Obama dapat mengenali budaya dan cabaran di setiap negeri serta juga membina rapport dengan penduduk di situ. Pada masa yang sama membina dan menyusun organisasi penyokong di setiap negeri. Ini membantu Obama dalam kempen merebut jawatan Presiden. Malahan, kejayaan beliau mengalahkan saingan kuat dan berpengaruh seperti Clinton bererti beliau telah berjaya membina rangkaian penyokong yang kuat.

7) Sokongan Pengundi Muda

Dua pertiga daripada pengundi muda (18-29 tahun) telah menyokong Obama. Rata-ratanya menyokong Obama kerana inginkan seorang Presiden yang muda yang dipercayai dapat memahami mereka dengan lebih baik berbanding McCain. Pengundi muda tanpa mengira kaum, gender, dan agama, hampir keseluruhannya menyokong Obama. Taktik Obama ketika semasa kempen primary lagi yang bertumpu di kampus universiti telah berjaya memancing undi golongan muda. Di samping itu,  jentera Demokrat telah mempergunakan sepenuhnya teknologi baru dan media elekronik terutamanya ‘internet’ dalam usaha mendapat sumbangan kewangan dan sistem sokongan dalam usaha kempen di merata negara. Penggunaan pesanan ringkas melalui telefon bimbit juga merupakan satu kaedah yang diekploitasi sepenuhnya oleh jentera kempen Obama. Penggunaan teknologi baru dan juga kemahiran organisasi jentera kempen Demokrat juga telah berjaya menimbulkan kesedaran politik di kalangan kaum muda arif dengan teknologi maklumat dan komunikasi yang terkini.

8) Peranan rakyat AS keturunan Afrika serta generasi pertama

Hampir 95 peratus rakyat AS keturunan Afrika berada di belakang Obama dalam pilihanraya ini tetapi harus di ingatkan walaupun golongan minoriti ini hanya membentuk 13 peratus dari jumlah penduduk AS, peranan mereka amat penting di negeri-negeri seperti Carolina Utara terutamanya dan juga Indiana serta Georgia. Carolina Utara merupakan satu kejayaan besar Demokrat kerana selepas tiga puluh dua tahun sebagai negeri “merah” (Republikan) kini menjadi negeri “biru” (Demokrat). Ini bererti strategi Demokrat menumpukan perhatian kepada “swing states” dan tidak jemu-jemu berkempen serta jentera pilihanraya yang diatur rapi telah berjaya mencapai matlamatnya. Pada masa yang sama, Obama juga berjaya mendapat sokongan generasi pertama golongan minoriti yang sudah mencapai usia mengundi (18 tahun).  Dasar imigrasi AS yang longgar pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an melihat sejumlah besar golongan minoriti yang terus menetap di AS. Antaranya beratus ribu pelajar luar negara dari merata dunia terus menetap dan bekerja di AS.  Ramai di kalangan mereka memilih kewarganegaraan AS dan kemudiannya berkeluarga. Maka, anak-anak yang lahir di tahun  akhir 1980-an sudah boleh mengundi dan golongan ini paling ramai menyokong Obama.  

9)  Dasar Luar

Satu lagi faktor yang tidak kurang penting yang membawa kepada kejayaan Obama adalah polisi atau pegangan dasar luarnya terutama merujuk kedudukan tentera AS di Iraq terutama perancangan penarikan keluar tentera AS dari negara tersebut.  Semasa kempen primary dan juga di peringkat awal kempen pilihanraya Presiden, dasar luar telah mendominasi kempen ini. Obama sering dilihat sebagai kurang berpengalaman dalam aspek ini berbanding McCain. Walau bagaimanapun, dalam peringkat terakhir kempen isu domestik mengambil tempat utama terutama sekali dengan kemelesetan ekonomi yang melanda negara itu. Ramai yang mengaitkan pembiayaan tentera AS di Iraq sebagai punca kejatuhan ekonomi di AS dan mempercayai  penarikan balik tentera AS akan membantu menyelesaikan masalah ekonomi yang melanda AS. Apapun, kemelesetan ekonomi yang melanda AS sebenarnya disumbangkan oleh pelbagai faktor lain.


10) Faktor Ras

Ada juga yang mengaitkan kemenangan Obama dengan faktor ras kerana ramai yang mengatakan beliau disokong oleh rakyat AS keturunan Afrika kerana warna kulit. Manakala, golongan minoriti lain terutama golongan Hispanics juga menyokong kerana merasakan Obama dapat mewakili golongan ini serta akan membuka ruang bagi mereka menjawat jawatan politik yang sekarang ini masih dibolot oleh majoriti kulit putih. Dua pertiga daripada undi golongan Hispanics yang diterima Obama juga menjadi punca kemenangan beliau di beberapa buah negeri seperti New Mexico, Nevada dan Colorado.  Rakyat minoriti seluruh dunia juga meraikan kejayaan Obama kerana melihat perlantikan beliau sebagai contoh bagi membawa perubahan dinamika majoriti-minoriti dalam aspek politik di negara masing-masing.  Obama merupakan satu-satunya senator dari golongan rakyat AS keturunan Afrika sedangkan bagi Dewan Perwakilan pula hanya terdapat 39 perwakilan AS keturunan Afrika iaitu 9 peratus dari 13 peratus jumlah penduduk AS. Mampukah perlantikan Obama mengubah senario ini?  Benarkah golongan ini telah bebas dari diskriminasi yang telah dialami sejak beratus tahun dahulu? Benarkah dengan perlantikan Obama sebagai Presiden AS dari keturunan Afrika bererti rakyat AS telah berjaya mengatasi perbezaan ras, kelas, agama dan wilayah ?

Apa pun, kemenangan Obama jelas mempamirkan rakyat AS mulai sedar akan kepentingan melantik seorang Presiden yang bukan sahaja dapat membawa perubahan kepada negara mereka tetapi juga mampu memperbaiki hubungan dasar luar AS. Buat pertama kali rakyat AS berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka melantik Presiden AS dan  “Presiden Dunia”  yang berkaliber.


 


Prof. Madya Dr. Shakila Yacob telah mengadakan tinjauan pendapat awam mengenai pra- dan pasca Pilihanraya Amerika Syarikat 2008 di Washington DC, Carolina Utara, California dan Nevada, Amerika Syarikat dari 2-12 November 2008.

Krisis pentadbiran Obama


Kekalahan dramatik pihak Demokrat  dalam pertandingan kerusi Senat di Masachusetts pada 19 Januari 2010, sehari sebelum ulangtahun pertama perlantikan Obama,  menjadi  petanda kepada tsunami politik yang bakal melanda pentadbiran Obama dan kepimpinan Demokrat di Kongres.  Kerusi senat yang dikosongkan akibat kematian Senator Edward Kennedy  Ogos lalu gagal di isi oleh calon Demokrat Martha Oakley  yang kalah (47.1%) dengan calon Republikan, Scott Brown (51.9%).
Setelah mewarisi peperangan di dua buah negara, krisis kewangan yang besar dan hutang negara yang tinggi, pentadbiran Obama masih gagal menarik AS keluar daripada pelbagai permasalahan yang melanda.  Masalah ekonomi, hutang negara, reformasi sistem penjagaan kesihatan dan peningkatan penglibatan AS di Afghanistan merupakan isu-isu penting yang cuba ditangani oleh pentadbiran Obama setahun yang lalu tetapi masih belum memperlihatkan sebarang pembaikan atau kejayaan.
Seperti kebiasaannya dalam sejarah AS, masalah ekonomi menjadi tumpuan rakyat AS dan menjadi kayu pengukur sokongan rakyat AS terhadap kepimpinan seseorang presiden. Begitu jugalah dengan kepimpinan Obama.  Ekonomi yang masih lemah  akibat daripada letupan gelembung kewangan dan perumahan,  bersamaan dengan hutang negara yang melonjak tinggi serta kadar pengganguran yang kekal pada tahap 10 peratus melihat kebanyakan pelaburan dan sumber kewangan berpindah ke timur terutama sekali ke negara China. 
Dengan ini, populariti Obama menurun dengan mendadak. Mengikut undian yang dijalankan oleh Washington Post dan ABC News hanya 58 peratus rakyat AS yang menyokong kepimpinan Obama berbanding 79 peratus tahun lepas.
Baru-baru ini, data pengganguran AS telah diumumkan dan ramai yang terkejut melihat kadar pengganguran masih berada pada tahap 10 peratus walaupun pada penghujung tahun 2009 ramai yang meramal kadar pengganguran akan menurun kepada 7.5 peratus.
Strategi dan polisi pemulihan ekonomi Obama gagal meninggalkan impak yang diingini. Ini kerana keruntuhan kewangan yang berlaku pada tahun 2008  sebenarnya jauh lebih buruk impaknya ke atas perniagaan dan juga rakyat AS berbanding dengan apa yang dijangkakan. Ada pihak yang mendakwa pakej stimulus sebanyak USD1trillion yang dipohon oleh pentadbiran Obama dan pihak Kongres hanya meluluskan USD600 billion untuk memulihkan ekonomi AS sudah tentu tidak mencukupi untuk menghidupkan kembali ekonomi AS yang memerlukan sekurang-kurangnya USD2 trillion!  Ramai juga sebaliknya mendakwa perancangan dan perbelanjaan pakej stimulus itu tidak kena pada tempatnya dan penambahan pakej stimulus ini hanya akan meningkatkan hutang kerajaan dan perbelanjaan kerajaan yang sudahpun terlalu tinggi. dengan ini gagal menghidupkan kembali ekonomi AS. Begitu juga, campurtangan kerajaan yang semakin meningkat dalam ekonomi dan peningkatan cukai di masa depan membimbangkan komuniti peniaga AS.
Disamping itu, reformasi sistem kesihatan yang cuba diperkenalkan oleh pentadbiran Obama masih diperdebatkan oleh pihak Kongres.  Rakyat AS juga berbelah bahagi mengenai polisi baru ini.  Maka, keinginan pentadbiran Obama untuk segera memperkenalkan sistem kesihatan yang baharu ini pasti akan melalui pelbagai halangan.  Apa yang dijanjikan dan diusahakan oleh pentadbiran Obama dari segi ekonomi dan juga sistem kesihatan masih lagi tidak dapat diperkotakan. 
Kesemua permasalahan ini  terutama sekali merujuk ekonomi menjadikan  rakyat AS resah dan mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Obama. Rakyat  AS mula memikirkan kembali sama ada kewujudan majoriti daripada pihak Demokrat di Kongres (kedua-dua Dewan Senat dan Dewan Perwakilan) merupakan sesuatu yang baik untuk mereka.
Keresahan ini terpamir di Masachusetts apabila seorang calon yang kurang dikenali seperti Brown dipilih sebagai senator untuk mewakili Masachusetts berbanding mantan Senator Edward Kennedy, seorang ikon liberal, yang sangat popular di AS mahupun peringkat antarabangsa. Malahan, Masachusetts merupakan negeri “biru” yang sentiasa bersifat liberal serta merupakan pendokong Demokrat yang setia. Dan lagi, tiada seorang pun ahli Republikan dalam Dewan Perwakilan untuk negeri Masachusetts.
Brown akan menjadi ahli Republikan yang ke 41 dalam Senat dan sekaligus memecahkan 60 undi majoriti yang dipegang oleh pihak Demokrat sebelum ini. Dengan ini, pihak minoriti mempunyai undi yang memadai untuk menghalang atau menyekat kelulusan sebarang perundangan baru.
Ini juga bererti pihak Demokrat akan menghadapi cabaran yang besar bagi mengekalkan  pegangan majoriti mereka dalam Dewan Senat dan Perwakilan yang dinikmati mereka sejak 40 tahun yang lalu. Para strategis Demokrat yang bimbang akan kedudukan pihak Demokrat dalam pilihanraya akan datang mahu pentadbiran Obama menumpukan perhatian kepada ekonomi terutama sekali dalam aspek penyediaan peluang pekerjaan untuk rakyat AS bagi menyelamatkan keadaan dan bukan kepada polisi penjagaan kesihatan. 
Seandainya kadar pengganguran meningkat lebih 10 peratus pada masa akan datang, maka, sudah tentu populariti Obama akan terus menurun dan sekaligus kedudukan pihak Demokrat akan tercabar dalam pilihanraya Kongres pada November 2010. Maka, Obama harus bertindak bijak dan memastikan polisi dan strategi pembaharuan beliau menyediakan alternatif  yang seimbang atau berkecuali iaitu dapat diterima oleh kedua-dua pihak kiri dan kanan di AS.